Tuesday, September 15, 2009

Lulusan STAM; Biar sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampau..


Lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kini diterima melanjutkan pengajian di IPTA selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengiktiraf peperiksaan itu setaraf Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai hala tuju pengajian aliran agama.
Keputusan ini memberikan kelegaan dan ibarat talian hayat kepada pelajar lepasan sekolah agama yang menduduki STAM, pembelaan yang menjamin masa depan mereka khusus untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Sepertimana yang sedia maklum, sebelum ini pelajar lepasan STAM yang cemerlang (mendapat jayyid jiddan - mumtaz) akan menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar Mesir dan beberapa institusi pengajian yang terkemuka di Timur Tengah. Setidak-tidaknya, keputusan hikmah kerajaan ini mampu mengurangkan proses indoktrinasi pemikiran pelajar lepasan STAM/ sekolah agama agar tidak dipengaruhi pemikiran anti-establishment dan mirip kepada parti pembangkang.
Selain itu, mereka juga boleh memilih bidang pengajian yang tidak bersifat tipikal dengan pemelajaran mereka di sekolah, terutamanya mencari bidang yang lebih bersifat kebolehpasaran (marketability). Sebagai produk sekolah agama, mereka wajar pantas menjadi "visible" di pasaran, sekali merengkuh dayung dua tiga pulau terlampau, sekali membuka pura, dua tiga hutang langsai, berkayuh biar sampai ke hilir. Bukan hanya sekadar 2nd class graduan!

No comments: