Tuesday, June 30, 2009

Perkasa GPMS... SMK Tg Lumpur




Tg Lumpur, 30 Jun (Selasa)- GPMS Pahang mengorak langkah ke arah memperkasakan pertubuhan keramat ini di SMK Tg Lumpur melibatkan seramai 57 pelajar tingkatan 6 di sekolah tersebut. Turut hadir Drs Kamarulzaman, Wan Emril, Azrul @ Karem , Rahilla SUK dan diselaraskan oleh Cikgu Sejarah Md Zin. Menjadi harapan pihak sekolah agar GPMS dapat mengadakan Seminar Teknik Menjawab Soalan untuk pelajar Tingkatan 6 dan mendapatkan panel penggubal kertas soalan peperiksaan STPM.

Monday, June 29, 2009

Perlukah Biasiswa Nasional (BN)?


Langkah kerajaan memperkenalkan Biasiswa Nasional tahun depan yang berdasarkan sepenuhnya kepada merit adalah selaras dengan konsep 1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Persoalan di sini perlukah Biasiswa Nasional?

Kerajaan perlu memperkenalkan satu dasar bagi membantu setiap pelajar yang mempunyai masalah kewangan, mempunyai latar belakang menarik dan mencapai keputusan peperiksaan cemerlang -jika dilihat daripada faktor sosio-ekonomi.

Kerajaan harus memberikan penekanan lebih kepada masyarakat luar bandar yang menghadapi kekangan dalam mendapatkan pendidikan dan adalah tidak adil untuk mereka bersaing berpandukan merit sahaja. Pemberian biasiswa berdasarkan 100 peratus merit ini baik tetapi kerajaan perlu mengambil kira aspek luar bandar dan bandar serta kewangan sesebuah keluarga.

GPMS Pahang berpendapat biasiswa kerajaan atau agensi berkaitan kerajaan (GLC) yang berasaskan 100 peratus merit, bercanggah dengan sistem berasaskan kuota untuk Bumiputera yang terkandung dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,.
Namun, dari segi hak asasi manusia, pemberian biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran berasaskan merit adalah sistem adil kepada semua kaum di negara ini.

Persoalannya biasiswa kerajaan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang mempertahankan kuota hak orang Melayu dan berharap kerajaan mengkaji dengan teliti supaya tidak bercanggah dengan perlembagaan dan perlu dihormati seperti dipersetujui bersama dalam kontrak sosial.

Wednesday, June 24, 2009

Pendaftaran Semula Cawangan GPMS Pahang


17 cawangan GPMS Pahang dan 5 cawangan khas melibatkan IPT telah didaftarkan semula di bawah Registrar of Youth (ROY) selaras dengan Akta Belia, antaranya:-
1)Kuala LIpis
2)Kuantan
3)Jengka
4)Bera
5)Sg Tekam
6)Jerantut
7) Paya Besar
8)Lurah Bilut
9)Pekan
10)Raub
11)Temerloh
12)Chenor
13)Bentong
14)Lepar
15)Chenor
16)Rompin
17)Muadzam Shah

Cawangan KHas:-
1) KIPSAS
2) POLISAS
3) Kolej Shahputra
4) Kolej Antarabangsa IKIP
5) KOlej Profesional Mara Indera Mahkota
Sehubungan itu, barisan pelapis untuk setiap cawangan tersebut amatlah diperlukan untuk memastikan kesinambungan GPMS Pahang.

Thursday, June 18, 2009

Dendam Husam Terbalas?


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas dan Ahli Parlimen Bachok jika masih meneruskan hasrat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.
Nik Abdul Aziz turut meminta Nasharudin supaya keluar daripada Pas dan menyertai UMNO kerana tindak-tanduknya itu lebih banyak menimbulkan kecelaruan kepada ahli parti itu.
Beliau dengan nada marah menyifatkan pemimpin nombor dua Pas itu sebagai tidak bermoral kerana telah membuat ‘sampah’ dalam parti tersebut.
Berikut ialah transkrip kenyataan Nik Abdul Aziz mengenai kerajaan perpaduan pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini:
1) Komen Tok Guru kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak yang yakin dengan keikhlasan Pas berhubung cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dan reaksi balas Timbalan Presiden Pas hari ini?
Pertama sekali saya nak ulangi kenyataan saya dulu bahawa isu perpaduan ini bukan datang daripada Pas tetapi lontaran (idea) daripada peribadi tertentu. Bukan daripada Pas.
Kalau Perdana Menteri kata ianya dari Pas, itu tak betul. Itu lontaran peribadi dan tidak masuk dalam kertas agenda mesyuarat parti dan juga kertas agenda mesyuarat pakatan (pembangkang). Sebab itu pakatan tidak tahu. Maka bagaimana hendak sebut Pas setuju... tidak boleh.
2) Kalau setakat hendak berunding untuk kerjasama sahaja dan bukan untuk kerajaan perpaduan bagaimana pendapat Tok Guru?
Bawa benda ini dalam mesyuarat parti dan yang kedua kepada pakatan. Kalau Pas setuju dan pakatan setuju, lain masalahnya.
Pas tidak bincang, pakatan pun tidak bincang. Mana boleh kita hendak bercakap benda ini sebab itu saya kata ini kerja boneka UMNO. Saya ulangi lagi ini kerja boneka UMNO.
Kalau benar Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa hendak setuju, lebih baik masuk UMNO, terang. Saya sebut lebih baik masuk UMNO, letak jawatan di Bachok dan bertanding (semula).
Apa yang duduk buat sampah ini, menyusahkan orang. Dia tidak tahu bagaimana susahnya saya ada yang telefon, datang jumpa sendiri menangis-nangis dan sebak dari dalam dan luar Kelantan. Malah ada setengah yang datang jumpa saya sebak tidak boleh kata apa, tidak boleh cerita.
Apa cerita ini, dia masuk UMNO senanglah daripada duduk bertenggek dalam Pas. Tidak ada moral orang panggil, tidak boleh macam ini.
Kalau semua setuju, pakatan setuju, Pas setuju. Semua jadi anggota kerajaan, DAP jadi menteri, Pas jadi menteri, Keadilan jadi menteri, baru benar-benar perpaduan.
Ini bukan perpaduan tetapi perpecahan. UMNO sekarang berpesta. Pesta bahawa Pas sudah masuk perangkap. Pas sama Pas kalut, Pas dengan pakatan bergaduh. Pas sudah bercelaru, Pas dengan pakatan pun bercelaru. UMNO sudah berjaya pecah belahkan orang Pas tetapi Alhamdulillah dapat dibendung dengan kenyataan saya baru-baru ini. Tidak boleh terima orang ini, boneka UMNO.
3
) Tok Guru akan terus beri nasihat kepada orang Pas yang menyokong kerajaan perpaduan?
Hendak nasihat apa lagi orang ini, boneka UMNO.
4) Nasihat kepada ahli Pas yang memahami isu perpaduan ini?
Saya ucapkan terima kasih sebab semua orang sudah faham selepas saya buat kenyataan dulu. Cukuplah setakat ini.

Tuesday, June 16, 2009

Biasiswa JPA untuk pelajar bukan bumiputera meningkat


Bilangan pelajar bukan Bumiputera yang layak menerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meningkat dengan ketara tahun ini, iaitu mencecah sehingga 600 peratus berbanding tahun 2000, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menurut perangkaan JPA, seramai 924 pelajar bukan bumiputera daripada keseluruhan 2,100 pelajar layak menerima tajaan JPA untuk mengikuti pengajian di luar negara tahun ini, berbanding hanya 150 daripada 748 pelajar pada 2000.
Tahun lepas, seramai 900 pelajar bukan bumiputera mendapat manfaat daripada pemberian biasiswa itu daripada keseluruhan 2,000 pelajar yang layak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika menjawab soalan Tan Ah Eng (BN-Gelang Patah) berkata kerajaan telah menggubal dasar penajaan Program Ijazah Luar Negara (PILN) 2009 bagi mengatasi ketidakseimbangan permohonan biasiswa JPA antara bumiputera dan bukan bumiputera.
Kerajaan, pada 14 Jan tahun ini, juga telah memutuskan dasar penajaan itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu kecemerlangan akademik, populasi kaum, bumiputera Sabah dan Sarawak serta golongan pelajar luar bandar dan bandar yang berpendapatan rendah dan mempunyai kemudahan pembelajaran terhad.
(Tok Adi agak terkejut dengan perkembangan ini, ternyata kerajaan terlalu berlembut dan melayan kehendak bukan Bumiputera sehingga mengorbankan hak keistimewaan golongan Bumi, tu pun masih ada lagi puak yang tak reti nak bersyukur dan berterima kasih menuduh kerajaan berat sebelah , elok hantar balik ke negara asal baru tau tinggi rendahnya langit...)

Berubah Pemuda Sebelum Diubah!


- Milik siapakah SUV ini? Tentunya Ketua Pemuda PAS Pahang tak termimpi untuk pakai SUV macam ni...Lagi zuhud lagi baik
- Satu kebanggaan bila melihat pemimpin dan tokoh pemuda Pahang menggayakan kenderaan berstatus elit macam ni, tetapi berbaloi-baloi tak untuk dipertontonkan kepada rakyat marhaen yang hanya sekadar menunggang Ex5 atau bergaya dengan kereta buatan Malaysia kancil 660?
- Gaya hidup elegan dan berstatus 'high-profile' menunjukkan UMNO-BN parti yang berjaya melahirkan ramai usahawan dan hartawan muda, namun dalam politik, lagi 'humble' dan tawadhuk orang yang kaya tu makin tinggi la 'saham' dan 'undi' di mata rakyat.
- PM pernah berpesan dalam Perhimpunan Agong UMNO, kalau kita tidak berubah, kita akan diubah oleh rakyat! Tentunya kalimah keramat tu perlu kita amati untuk mengelakkan daripada ianya terjadi.
- Bentuk persepsi di kalangan rakyat terutamanya golongan muda yang Pemuda UMNO adalah gurkha rakyat dan "berlakon lah sikit" dengan menyembunyikan kemewahan yang sementara, demi untuk mendapatkan keyakinan dan mengembalikan kepercayaan semula.
- Bandingkan pimpinan Pemuda UMNO di Cawangan @ Bahagian anda dengan pimpinan Pemuda dari Parti Pembangkang, siapa lebih berpendidikan, berhemah dan bersahsiah ?
-Pemuda Parti mana yang lebih mesra berdampingan dengan rakyat marhaen, pemandu teksi, nelayan, Orang kelainan Upaya (OKU), petani hingga lah kepada golongan profesional mahupun mahasiswa yang akan mendaftar sebagai pengundi muda?
- Wujudkah sistem K10 (Jalinan Mesra) seperti mana dalam Wanita UMNO di kalangan pimpinan Pemuda?
- Pendekatan apa yang paling sesuai untuk Pemuda bawa untuk mendekati 2 juta pengundi muda?

(Cetusan Hati Pemuda Marhaen)

Monday, June 15, 2009

Kenapa Chin Peng?


Chin Peng (klik here)(lahir 21 Oktober 1924) ialah nama samaran Ong Boon Hwa, ketua Parti Komunis Malaya. Beliau bukannya berasal dari China sebagaimana sangkaan ramai. Chin Peng dilahirkan di sebuah kedai kecil dua tingkat menjual basikal, di No. 36, Jalan Kampung Koh, Sitiawan yang terletaknya 50 kilometer dari barat daya bandar Ipoh, Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada enam beradik yang hidup dalam kemiskinan. Ayahnya datang dari negara China dan kecewa akibat kemelesetan ekonomi 1930. Buku memoirnya bertajuk "Chin Peng: Sejarah dari belah saya" ("Chin Peng: My Side of history") diterbitkan di Singapura.
Semasa kecil Chin Peng minat sekali membaca bahan-bahan media cetak dan menyoroti perkembangan di negara China. Ketika itu berlaku pertikaian antara Chiang Kai Shek dan Mao Tse Tung. Tentera Jepun pula merampas Manchuria dan menguasai pedalaman China. Negara China merupakan tanah kelahiran bapa dan nenek moyangnya di kawasan Kwantung. Semasa remajanya 15 tahun, Chin Peng mempunyai perasaan yang dekat dengan nasionalis berpendidikan barat Ching Kai Shek yang menguasai kawasan selatan China dan Taiwan. Tapi buku kecil 'On Protacted War' karangan Mao Tze Tung mengubah pendiriannya kepada aliran komunisme. Tekadnya jelas untuk menentang Jepun yang kemudian menyerang Tanah Melayu tahun 1941.
Tahun 1940 dia diterima menyertai Parti Komunis Malaya iaitu satu cabang Parti Komunis China di seberang laut. Dia turut menyertai Force 136, satu pasukan bersenjata yang ditubuhkan oleh perisik British bagi menentang Jepun di Tanah Melayu. Ketika itu umurnya 18 tahun. Chin Peng memimpin MPAJA atau Malayan People Anti Japanese Army , sebuah pasukan gerila bagi menentang Jepun. Tentera British (Pasukan Special Air Services dan MI6) yang diterjunkan di hutan Perak, telah memberi pelbagai senjata, kewangan, latihan dan pelbagai peralatan lain bagi memperlengkapkan Force 136 dan MPAJA. Tentera MPAJA pernah menyerang tentera Jepun di Sungai Perak berhampiran dengan tebing Pasir Salak pada tahun 1942.
Selepas Perang Dunia II, beberapa pihak yang berfahaman radikal didalam MPAJA telah bertindak keluar hutan untuk membunuh menyiksa mereka yang bersubahat dengan tentera Jepun dan tali barut British dan turut membunuh pemimpin tempatan seperti para Penghulu dan para Imam kampung sebagai taktik memantapkan penguasaan mereka. Selain itu, puak radikal didalam MPAJA turut cuba merampas pentadbiran terutamanya dibahagian selatan Tanah Melayu.
Tindakan puak radikal didalam MPAJA ini telah menimbulkan kemarahan orang-orang Melayu yang bangkit untuk menentang pihak komunis di bawah beberapa pemimpin seperti Panglima Salleh Selempang Merah. Akibat daripada tindakbalas orang Melayu ini, Parti Komunis Malaya gagal merampas kuasa malah terpaksa meminta campur tangan Tunku agar mententeramkan orang-orang Melayu yang bangkit ketika itu.
Malah ada beberapa fakta yang menunjukkan bahawa beberapa pihak didalam kelompok Melayu elit yang telah menghasut dan membangkitkan isu perkauman Cina/Melayu dalam usaha mereka mengekalkan kekuasaan mereka. Kelompok Melayu elit ini rata-rata amat mengharapkan agar pihak British akan datang kembali dan seterusnya membolehkan mereka bertapak kukuh didalam urusan politik tempatan. Malah pihak-pihak ini juga menghasut agar beberapa individu dan pertubuhan dilabelkan sebagai puak kiri dan kemudiannya berjaya mengharamkan pertubuhan tersebut dan menangkap pemimpin-pemimpin dan ahli-ahlinya.
Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan pihak Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api disamping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.
Atas jasanya terhadap perjuangan penentangan pendudukan Jepun, Chin Peng dijemput ke London untuk menerima medal 'Order of the British Empire ' kerana sumbangannya yang besar memimpin MPAJA dan Force 136 menentang Jepun. Tapi tekadnya untuk menubuhkan kerajaan komunis di Tanah Melayu dan menyingkirkan British dan akhirnya memerdekakan Malaya semakin membuak-buak selepas itu. Suasana aman dan maju di kota London meningkatkan azamnya untuk berjuang di dalam hutan Tanah Melayu.
Ketika umurnya 23 tahun, Chin Peng dilantik sebagai Setiausaha Agung , Parti Komunis Malaya menggantikan Lai Tek yang telah dibunuhnya di Thailand. Lai Tek adalah perisik tiga mata yang telah belot dan melarikan wang Parti Komunis Malaya .
Di bawah pimpinannya Parti Komunis Malaya semakin agresif dan militan dengan menyerang ladang-ladang, gudang getah, rumah asap dan rumah pengurus milik orang British di Tanah Melayu. Lantaran itu ahli PKM semakin menyanjung keberanian dan wawasan Chin Peng. Taktik ini membawa padah kepada Parti Komunis Malaya kerana tidak langsung diterima di kalangan orang Melayu.
Parti Komunis Malaya juga tidak mengamalkan athiesme. Walaupun prinsip utama komunisme yang ditulis oleh Karl Marx tidak mempercayai tuhan dan menyatakan bahawa agama itu adalah candu manusia, namun apa yang berlaku di tanah melayu pada waktu itu ialah mereka mengamal prinsip keagamaan seperti mana yang kita dapat lihat dalam salah seorang tokoh parti komunis malaya iaitu Rashid Maidin, Abdullah C.D dan Suraini Abdullah. Mereka tetap mendirikan solat lima waktu seperti mana yang dituntut oleh agama islam walaupun di dalam hutan semasa perjuangan. Mereka juga telah menunaikan ibadah haji. Sememangnya Rashid Maidin adalah seorang yang warak dan berilmu agama yang tinggi malah beliau juga mengajar cucunya dan beberapa budak-budak kampung membaca Al Quran dan Tajwid.
Ketika darurat, British dengan kerjasama golongan Melayu elit telah melancarkan perang saraf iaitu propaganda melalui media massa untuk mempengaruhi fikiran orang-orang Melayu supaya mereka yakin bahawa Parti Komunis Malaya itu kejam dan tidak sesuai diikuti. Pengalaman orang-orang Melayu selepas Perang Dunia II dan taktik komunis yang membunuh beratus-ratus rakyat yang tidak berdosa menyebabkan kebanyakannya orang Melayu menolak cara ganas komunis. Perjuangan bangsa Melayu untuk mendapatkan kemerdekaan tanpa pertumpahan darah tidak disenangi komunis yang inginkan kuasa politik jatuh ketangan mereka dengan cara menggunakan keganasan dan menanam rasa takut kepada rakyat amnya.
Perjuangan komunis tidak boleh dianggap sebagai perjuangan untuk kemerdekaan kerana mereka hanya berjuang untuk kepentingan PKM dan bukan untuk kemerdekaan Malaya. Ini terbukti, mereka tetap meneruskan taktik ganas mereka walaupun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Kemerdekaan terbukti boleh dicapai bukan dengan perjuangan menumpah darah dengan sia-sia tetapi dengan rundingan damai yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk semua pihak.
Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Rundingan Baling diadakan di Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putera, Baling pada tahun 1955. Tunku Abdul Rahman yang mendapati Chin Peng enggan menerima syarat pembubaran PKM dan enggan menyertai pilihan raya melalui parti lain sebagai syarat pengampunan, bertindak menolak tuntutan PKM agar dibenarkan bergerak sebagai sebuah parti politik yang sah.
Dengan keengganan Parti Komunis Malaya berdamai, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka tanpa Parti Komunis Malaya. Parti Komunis Malaya yang lemah diasak semakin jauh ke dalam hutan, sehinggakan kadang-kala tersingkir keluar dari pada Malaysia, khususnya di sempadan Malaysia Thailand.
Setelah komunis runtuh di Rusia dan di runtuhnya Tembok Berlin di Jerman Timur tahun 1989, PKM semakin goyah. Satu perjanjian damai antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Thailand dengan Parti Komunis Malaysia telah ditandatangani di Haadyai pada 1989. Perjanjian ini dikenali sebagai Perjanjian Haadyai.
Setelah 1989 tidak ada lagi perjuangan bersenjata . Ahli PKM diterima sebagai warganegara Malaysia dan boleh kembali ke Malaysia. Tetapi pemimpin utama seperti Chin Peng dan Rashid Maidin dibenarkan hanya menetap di sebuah perkampungan khas di Yala, Thailand.
Chin Peng sedang membawa kesnya di mahkamah Pulau Pinang agar dia diterima pulang ke Malaysia. Penerimaan Chin Peng kembali ke Malaysia ditentang hebat oleh ramai sanak saudara mangsa kekejaman Komunis Malaya, polis dan tentera yang cedera dan terkorban. Ini disebabkan Chin Peng merupakan orang yang bertanggung jawab dengan kegagalan Perundingan Baling dengan berkeras menuntut agar Parti Komunis Malaya diterima sebagai sebuah parti politik, walaupun telah ditawarkan pengampunan sebelumnya.

(Tok Adi rase baik PKR lantik Chin Peng jadi penasihat parti tu @ perunding imej, pastu tukor la nama parti jadi Parti Komunis Republik ke...politik liberal yang menusuk kalbu)

Saturday, June 13, 2009

SCAH juga sedia jumpa Pemuda Umno, GPMS


Dewan Perhimpunan Cina Selangor (SCAH) bersedia berdialog dengan Pemuda Umno mengenai aspirasi nasional, termasuk konsep '1 Malaysia'."Kalau mereka mahu berjumpa dan berdialog, SCAH akan datang," kata Ketua Pemuda SCAH, Ng Chen Soon."Kami harap dialog itu mendatangkan hasil yang positif," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.Ng berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai majlis dialog antara Pemuda Umno dengan lapan NGO Cina Khamis depan.Ketuanya, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata ia bertujuan untuk mendapatkan pandangan mereka, termasuk mengenai konsep '1 Malaysia'Bagaimanapun, Ng berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai majlis dialog tersebut."Kami tidak tahu dengan siapa Pemuda Umno mahu mengadakan dialog tersebut."Mereka sudah ada senarai pertubuhan-pertubuhan berkenaan, tetapi mungkin bukan dengan kami," katanya.

GPMS alu-alukan

Khairy juga dilaporkan berkata, Ketua Pemuda MCA yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong pula akan mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan Melayu, termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).Sementara itu, Naib Presiden GPMS, Jais Karim ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima undangan untuk menghadiri perjumpaan tersebut.Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya mengalu-alu dialog tersebut kerana ia membolehkan pihaknya mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai isu perpaduan negara."Walaupun negara telah merdeka selama 50 tahun tetapi isu perpaduan masih menjadi perbahasan di kalangan rakyat."Kita harap melalui dialog seperti ini, isu itu akan menemui jalan penyelesaiannya," katanya.

Friday, June 12, 2009

"Half-billion RM player"


Manchester United bersetuju menjual ayam tambatannya, Cristiano Ronaldo kepada Real Madrid dengan harga yang mencecah rekod dunia 80 juta pound (RM464 juta), menurut kelab elit itu, semalam.

"Manchester United menerima tawaran rekod dunia, tanpa syarat bernilai 80 juta pound untuk Cristiano Ronaldo dari Real Madrid," kata kelab itu dalam kenyataan di laman webnya.

"Atas permintaan Cristiano yang sekali lagi melahirkan hasrat untuk meninggalkan kelab ini dan selepas perbincangan dengan wakil pemain, United bersetuju untuk memberikan Real kelulusan berbincang dengan pemain itu.

(TOk AdI: Brape la harge kaki kanan mamat ni?...)

Sultan Perak: Jangan pertikai kedaulatan Yang di-Pertuan Agong


Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah bahawa sebarang gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, bukan sahaja telah melanggar peruntukan asas dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri ini adalah persetujuan yang dicapai secara bersama dalam semangat memberi dan menerima, serta dalam semangat memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.

"Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-raja Melayu," titah baginda pada perasmian Majlis Wacana Ilmu di Institut Tadbiran Islam Perak di Ipoh hari ini. Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, lapor Bernama.

"Pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis iaitu asas-asas yang telah dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka," titah Baginda.

Sultan Azlan bertitah penyimpangan daripada semangat asal yang telah dicapai itu tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.

"Pada masa yang sama, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalahgunakan di peringkat pelaksanaan sehingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas.

"Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum lain yang sah dari segi undang-undang turut dilindungi," titahnya.

Baginda bertitah amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku kerana setiap warganegara yang sah adalah rakyat yang harus diberikan keadilan yang setimpal.

Tafsir berdasar ilmu

Sultan Azlan bertitah manusia biasanya dapat berfikir dengan rasional jika asas pertimbangan sentiasa didasarkan kepada ilmu pada sesuatu peristiwa yang ditafsirkan secara objektif berdasarkan fakta.

Manusia yang mengasaskan tafsiran berdasarkan ilmu dapat memisahkan diri daripada pengaruh sentimen dan emosi yang dapat membezakan tentang apa yang dianggap fakta dengan apa yang diharapkan berlaku, titah baginda.

"Ilmu menjadi bernilai jika yang dipelajari itu dapat diamalkan dalam kehidupan harian. Ujian sebenar terhadap penguasaan ilmu adalah di peringkat aplikasi. Manusia yang berjaya menghayati ilmu akan memperlihatkan penguasaannya terhadap ilmu di peringkat aplikasi," titahnya.

"Lima puluh tahun yang lalu ketika negara masih kurang bilangan cerdik pandai dan profesional, kesopanan dan kesusilaan merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat di negara ini, merupakan komponen yang ditekankan dalam proses pendidikan dan penyampaian ilmu, merupakan elemen penting untuk mewujudkan kestabilan," titah Sultan Azlan Shah.

Baginda bertitah negara telah memiliki bilangan cerdik pandai dan profesional yang jauh lebih ramai namun ia mula memperlihatkan kelunturan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang menjadi prinsip kelima dalam Rukun Negara.

Titahnya aspek kesopanan dan kesusilaan juga bagaikan tidak diutamakan lagi walaupun institusi ilmu tumbuh bercambah pada hari ini.

"Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian, atau kemungkinan berlakunya satu keadaan tidak seimbang di antara pendekatan menyampai dan menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing hingga teralpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan," titahnya.

Sultan Azlan bertitah ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat.

"Semoga komponen kesopanan dan kesusilaan diberikan perhatian penting dan dianyam dengan bijak oleh setiap insan dan setiap institusi yang terlibat dengan aktiviti keilmuan," titah baginda.

(Pihak mempertikaikan kedaulatan dan peranan raja-raja Melayu tentunya inginkan negara ini menjadi republik, spt mana yang berlaku di Nepal, justeru sebagai rakyat kita wajar mempertahankan kedudukan istimewa dan maruah institusi kesultanan Melayu sebagai benteng terakhir kuasa Melayu!)

Thursday, June 11, 2009

"Egonomik" Perpaduan Politik


Oleh Presiden GPMS Dato Sri Reezal Merican Naina Merican (disiarkan di dalam Utusan Malaysia, 11 Jun 2009).

Penulis baru sahaja habis membaca sebuah buku yang secara luarannya nampak kecil, tetapi sebenarnya sangat menguji minda. Buku yang bertajuk Egonomics: What Makes Ego our Greatest Assets or Most Expensive Liability (2007), tulisan David Marcum dan Steven Smith.
Biarkan sahaja penulis mengakui bahawa pembelian buku ini pada asalnya kerana tertarik dengan warnanya yang sangat terang dan menarik hati. Benar, jangan kita menilai buku dengan kulit luarannya, namun sebagai manusia biasa - penulis terpaksa menerima hakikat, bahawa 'pandangan luar' itu kadang kala amat mendatangkan keterujaan.
Apa yang ingin diperkatakan buku ini, secara ringkas dan dengan bahasa mudahnya adalah bagaimana sifat ego sebenarnya boleh mendatangkan kesan dan impak langsung kepada prestasi syarikat. Buku ini cuba menterjemah bagaimana 'ego' sebenarnya mempunyai implikasi dan kesan ekonomi kepada sesebuah syarikat! Sekali imbas, hipotesis ini nampak longgar dan tidak meyakinkan. Tetapi setelah memberikan cukup ruang untuk penjelasan, helai demi helai - bab demi bab; ia sesuatu yang sebenarnya boleh diterima akal.
Bagaimana kerana 'ego', mungkin si Pengurus A tidak mahu bercakap dengan Pengurus B - dan akhirnya memberikan kesan langsung kepada prestasi syarikat secara keseluruhannya. Bagaimana si Pengurus Besar A, tidak dapat menerima pelantikan rakannya yang lain ke jawatan lebih tinggi. Semua ketidakpuasan hati, riak dan bangga diri ini menyumbang kepada untung rugi syarikat. Kajian David Marcum dan Steven Smith ini juga diperakui oleh ramai peneraju syarikat di dunia.
Jika wahana egonomik ini mampu penulis tanggapi dengan betul - ia mampu menghadirkan kesan yang positif atau negatif, bukan sahaja kepada sebuah syarikat - malahan sebuah perjuangan. Benar, dalam perniagaan, profit and loss itu adalah terma dan nuansa biasa; namun usahawan mana yang mahu dagangannya rugi dan melingkup. Jika ego tidak dilunasi secara 'hikmah', maka kerugian akan menjadi jawapan yang pasti kepada sebuah usaha niaga.
Kepada David dan Steven, sikap keegoan yang melampau ini boleh dikesan dalam empat kaedah yang bunyinya cukup mudah. Penulis buku ini mencadangkan kewujudan 'buku timbang kira ego' dalam menentukan sama ada ia mendatangkan faedah atau musibah kepada sesebuah syarikat:
1. mempunyai sikap perbandingan yang melampau (bagaimana menjadi terlalu kompetitif; sebenarnya menjadikan sebuah syarikat itu kurang kompetitif);
2. bersikap defensif (mengenali perbezaan antara mempertahan idea; dan bersikap 'defensif')
3. menunjuk-nunjuk;
4. mengejar penerimaan (seeking acceptance);
Penulis cuba untuk mengisbatkan gejala 'keegoan' ini dalam skala yang lebih besar. Dalam ruang lingkup kemasyarakatan. Dalam ruang lingkup kita ingin membina sebuah negara bangsa. Malahan, dalam ruang niat dan hasrat kita membina sebuah umat yang kuat dan dihormati. Apakah dengan pengamalan konsep holier-than-thou, menidakkan kepentingan bekerjasama itu sebahagian daripada jelmaan 'egonomik' yang merosakkan akar ummatik yang kita sama-sama ingin bentuk dan bina. (next...

Wednesday, June 10, 2009

GPMS Pahang kutuk serangan ke atas masjid di Narathiwat


GPMS Pahang hari ini mengutuk sekeras-kerasnya kejadian serangan di sebuah masjid di Narathiwat, selatan Thailand malam Isnin lepas yang mengorbankan 11 orang termasuk imam serta mencederakan 19 orang lagi yang sedang bersolat.
Sambil menyifatkan serangan itu sebagai yang paling dahsyat dalam siri serangan ke atas masjid dan tempat beribadah di selatan Thailand.
GPMS percaya serangan bersenjata itu dilakukan oleh kumpulan yang disokong oleh pihak tertentu dengan tujuan menakut-nakutkan umat Islam supaya berhenti daripada menuntut hak mereka.
"Kita menggesa kerajaan Thailand supaya menyiasat kejadian itu dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Kerajaan Thailand juga hendaklah mengambil langkah bagi memberi perlindungan ke atas nyawa dan harta benda umat Islam di selatan Thailand dan di seluruh negara itu daripada ancaman keganasan," ujar GPMS Pahang dalam satu kenyataan .

Dalam kejadian itu enam lelaki bersenjatakan rifal automatik memasuki masjid Al-Furqan di daerah Cho-i-Rong, wilayah Narathiwat ketika waktu solat Isyak dan melepaskan tembakan ke arah jemaah menyebabkan 11 orang termasuk imam Wan Abdullah Wan Latif terbunuh dan 19 lagi cedera.
(Tok Adi terpikir sebagai umat Islam di Malaysia kita wajar bersyukur atas nikmat keamanan yang Allah kurniakan kepada kita, kukuhkan lah semangat perpaduan di kalangan kita, Berpeganglah kamu pada tali Allah dan jangan berpecah belah....)

TESCO lambang kemajuan Kelate?


9 Jun jam 9.30 malam, teman berkesempatan bersama Pengerusi GPMS Pahang menyaksikan secara live Debat Hujah di Sri Pentas Tv9 yang menemukan YAB Dato Sri Adnan Yaakob, UMNO- dan YB Khalid Abd Samad, MP Shah Alam tentunya mewakili Parti PAS B-team Erdogan. Moderator Prof Agus meng'highlight' kan program hujah pada malam ini menampilkan 2 orang tokoh politik luar Kelantan yang memberikan perspektif tentang halatuju politik di negeri Cik Siti wan Kembang tu. Namun, yang menjadi keunikannya bilamana YB Khalid menjadikan TESCO (sah2 shareholder dipegang oleh musuh Islam) Kota Bharu sebagai kayu ukur kemajuan di negeri Kelate. MB Pahang nampak berhalus dan nak menjadikan sesi hujah tu lebih santai, namun kenyataan provokatif adik kepada bekas Menteri BN ni memang menusuk kalbu.
Tok Nan menunjukkan keterbukaannya dengan menunjukkan sikap hormat pada Mursyidul Am PAS serta meminta semua pihak bersikap terbuka dan jangan mentup pintu rundingan untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan.

Monday, June 8, 2009

Tun M setuju syor bahasa Inggeris wajib lulus dalam SPM


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Katanya, cadangan itu boleh memberi nilai tambah kepada masa depan pelajar terbabit khususnya untuk bersaing dalam dunia pekerjaan dalam era globalisasi. Bagaimanapun, beliau berharap kementerian terbabit akan mendapatkan pandangan daripada orang ramai khususnya ibu bapa terlebih dahulu sebelum melaksanakannya kerana ia menyentuh masa depan anak-anak mereka.

Sebenarnya keputusan sama ada cadangan itu boleh dilaksanakan atau tidak bergantung kepada ibu bapa dan bukannya kerajaan kerana ia membabitkan masa depan anak-anak mereka. "Lagipun dengan menguasai pelbagai bahasa khususnya bahasa Inggeris ia memudahkan mereka untuk menyambung pelajaran di luar negara dan memperolehi pekerjaan yang baik," katanya kepada media selepas menerima anugerah Doktor Kehormat Kemanusiaan daripada Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing (LUCT) di sini, hari ini. Beliau mengulas cadangan Kementerian Pelajaran semalam yang mahu menjadikan bahasa Inggeris mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaaan SPM.
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyuarakan cadangan itu dilaporkan bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak sebelum ia dilaksanakan. Mengenai kemungkinan kerajaan tidak melaksanakan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Dr Mahathir berkata: "Saya berasa amat sedih (jika PPSMI tidak dilaksanakan) kerana ia menyebabkan rakyat Malaysia dan orang Melayu menjadi `bodoh' pada masa akan datang," katanya.

Patutkah bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib?


Sasterawan ulung Inggeris, William Shakespeare pernah berkata: 'to be or not to be, that is the question'. Petikan pujangga itu bermain di fikiran apabila merujuk kepada sama ada bahasa Inggeris patut dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin melontarkan persoalan itu untuk dibincangkan oleh orang ramai dan bagi kerajaan mendapatkan maklum balas.

Katanya beliau dimaklumkan bahawa ramai pelajar di luar bandar akan gagal SPM jika bahasa Inggeris dijadikan mata pelajaran wajib untuk lulus. "Dengan itu, saya tidak fikir ia (tidak menjadikan mata pelajaran bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib untuk lulus) memenuhi tujuan kerana bahasa Inggeris adalah bahasa yang amat penting yang kita gunakan dalam kehidupan seharian kita," katanya semasa merasmikan penubuhan Persatuan Alumni Maktab Kirby yang baru di sini hari ini. Beliau berkata untuk meningkatkan kualiti kemahiran dan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, pengajaran mata pelajaran bahasa Inggeris perlu dilakukan oleh guru berkelayakan.
"Mungkin idea yang baik ialah mencontohi konsep Maktab Kirby, (iaitu) menghantar guru belajar bahasa Inggeris di persekitaran yang bertutur dalam bahasa Inggeris," katanya. Sementara itu, Muhyiddin berkata sumbangan guru lepasan Maktab Kirby adalah amat besar dan mereka telah berkhidmat dengan penuh dedikasi pada tahun 1950-an dan 1960-an iaitu ketika sekolah-sekolah masih daif dan kemudahan pelajaran masih kurang. "Walaupun negara kita masih mundur dan tahap keselamatan agak membimbangkan pada ketika itu, kehadiran guru-guru Maktab Kirby yang terlatih dalam bilik-bilik darjah telah membawa pembaharuan kepada sistem pelajaran negara. "Saya juga dimaklumkan bahawa Maktab Kirby yang (melahirkan guru) berbilang bangsa dan agama ini merupakan ''miniature Malaysia'' di mana semangat ''1Malaya'' dan ''Malaya Boleh'' mula disemai," katanya.
Beliau berkata guru lepasan Maktab Kirby juga menjadi kayu ukur kepada kecemerlangan profesion perguruan di negara ini, dan ini terbukti dengan pemilihan empat bekas pelajar Maktab Kirby sebagai Tokoh Guru Kebangsaan dari tahun 1988 hingga 1998 iaitu Harith Laiki, Idris Tain, Lau Hut Yee dan Dr Yahya Ibrahim. Muhyiddin turut melancarkan buku "Kirby College-A Heritage" hasil tulisan Dr Shaari Isa serta merasmikan Pameran Maktab Kirby anjuran Muzium Pendidikan Universiti Pendidikan Sultan Idris. Maktab Kirby merupakan satu eksperimen pendidikan yang unik dengan sebuah negara asing iaitu Malaya (kini Malaysia) dibenarkan membuka sebuah Maktab Latihan Guru di England pada 1951. Maktab itu beroperasi selama sepuluh tahun iaitu dari 1952 hingga 1962 dan telah berjaya melahirkan lebih 1,500 guru pelatih dan 405 pelatih guru, dengan bantuan pakar daripada Institute of Education, University of Liverpool. - Bernama

PAS Dilemma


- Muktamar Agong PAS berakhir, menariknya timbul semula cadangan kerajaan Perpaduan, tapi bagaimana?

- Perwakilan Perlis menyatakan yang PAS cukuplah menjadi tunggul? Siapa makan cili dia yang terasa bahangnya! Sape yang terbaring depan kereta Raja Muda Perak dalam krisis kerajaan Perak, menjerit2 macam Israel bunuh Palestin je,pastinya bukan orang DAP

-Tiada persefahaman dalam Pakatan Rakyat dalam isu kerajaan Perpaduan. Apa sudah jadi? DAP dan PKR dok menafi..

-Dr Haron Din mendakwa ada musuh dalam selimut, better check, takut bukan dalam selimut je...

- Halatuju PAS selepas muktamar, Team A- pro ulama atau Team B-pro Erdogan? Kenapa perwakilan tolak Husam Musa? Tolak Husam bermakna tolak calon "blue-eye-boy" Nik Aziz
- Benarkah PAS sekadar di pinggiran, dan menjadi kuda tunggangan Bung Anwar dan Pak Kit Siang?
-PAS cube rebranding parti dengan menarik sokongan bukan Islam, are they really sincere @ any hidden agenda?

- PRK Manek Urai bakal medan ujian hubungan Pakatan Rakyat!

Friday, June 5, 2009

Bapa Borek Anak Rintik


Anak sulung pengerusi GPMS Pahang telah ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang arkitek di USA. Tahniah dan syabas GPMS Pahang ucapkan, moga menjadi role model kepada generasi muda!

Pemimpin GPMS Pahang berdiskusi bersama MAMPAN







Cameron Highlands, 20 mei 09- Pengerusi GPMS Pahang, Mustapa Long telah dipertemukan di dalam gelanggang forum bersama NP GPMS, YB Norol Azali Sulaiman (ADUN Guai) dan dimoderatorkan oleh Sdr Wan Emril Nizam, pensyarah KIPSAS, bertemakan Politik dan Mahasiswa; Cabaran dan Realiti. Seramai 60 org pimpinan Mahasiswa anak Pahang yang bernaung di bawah MAMPAN mengikuti siri diskusi ini diselang seli dengan soalan dan kemusykilan tentang penglibatan mahasiswa dalam arus politik perdana, ketuanan Melayu, politik matang dan cabaran yang dihadapi oleh mahasiswa pada hari mendatang. (klik)

(Tok Adi terkenang sejarah MAMPAN ditubuhkan pada hujung 1999, ketika mana gerakan mahasiswa pada ketika itu cenderung kepada anti-establishment dan mirip pro-pembangkang, namun keupayaan dan kebijaksanaan YAB MB Pahang, Ayah Long Nan mewujudkan majlis mahasiswa spt MAMPAN dapat menghasilkan hubungan tri-partite antara pemimpin-mahasiswa-masyarakat dan menjadi platform untuk bertukar pandangan dan ide. Banyak peruntukan disalurkan oleh kerajaan Pahang melalui Yayasan Pahang, almost RM2 milion! untuk MAMPAN dan badan gabungan persatuan anak Pahang di IPT menjalankan aktiviti dan program. Ini membuktikan MB Pahang bukan sahaja prihatin dengan suara generasi muda bahkan mesra pelajar. Bukan itu sahaja, Tok Adi dimaklumkan MAMPAN turut dijadikan model negeri2 lain spt Johor, Terengganu, Pulau Pinang, N.9 dan Wilayah Persekutuan untuk mewujudkan versi MAMPAN di negeri masing2. Golongan muda perlu didekati dan perjumpaan lebih kerap wajar digerakkan untuk memastikan golongan ini mendapat maklumat yang tepat dan benar..)

Thursday, June 4, 2009

MB Pahang dapat perintah tangguh bayar RM63 juta


KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, untuk menangguhkan bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta kepada sebuah syarikat kerana didakwa melanggar perjanjian pemberian konsesi pembalakan di Pekan dekat sini. Hakim Datuk V T Singham membenarkan permohonan itu sehingga kes rayuan Menteri Besar terhadap perintah mandamus yang diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Halim Aman pada 20 April lalu didengar di Mahkamah Rayuan. Beliau berkata, jika permohonan penangguhan berkenaan ditolak dan jika rayuan Adnan pula berjaya, ia kemungkinan menyebabkan bayaran penghakiman yang dibuat tidak dapat diperoleh kembali kerana mahkamah mengambil kira faktor kewangan syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd yang hanya mempunyai modal berbayar RM100 dan tidak mengemukakan penyata akaun beraudit kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia sejak 2001. Jika MB berjaya dalam rayuannya, kerajaan negeri akan menghadapi kesukaran (mendapatkan balik jika bayaran sudah dibuat)," kata Hakim Singham. - Bernama (3.33, 4 Jun 09)

(Tok Adi pikir matlamat undang2 wujud adalah untuk keadilan sosial dan menjaga kepentingan awam, tapi dalam kes ni mcm ne kompeni RM100 nak saman kerajaan negeri dan MB , pastu banyak hanky-panky yang tidak terjawab, Long Nan ni plak jenis tak suke kepoh2, padan pun tak layan kes gini)

Wednesday, June 3, 2009

Halatuju GPMS Pahang...suara akar umbi atau hak mutlak Presiden?


Selaras dengan Akta Belia, akan berlaku perubahan pucuk pimpinan GPMS Pahang. Kalau mengikut seniority, Timbalan Pengerusi YB Dato Sahfri akan memikul tanggungjawab meneruskan kesinambungan kepemimpinan Pengerusi sekarang, Mustapa Long. Namun hakikatnya beliau al maklum YB bertaraf EXCO, tentunya sibuk dengan tanggungjawab terhadap kerajaan negeri dan rakyat serta parti.
Khabarnya, Sdr Wan Emril dan YB Norol menjadi nama pilihan yang disebut-sebut untuk mengganti tugas penting meneruskan legasi Pak Mus. Tetapi jika kita merujuk Perlembagaan GPMS, kuasa melantik pengerusi negeri adalah hak milik mutlak Presiden GPMS Pusat. Justeru, biar siapapun yang akan dipilih, pastinya calon itu mesti disenangi dan yang penting menjadi orang kepercayaan Presiden pusat di Pahang, tambahan pula negeri Perdana Menteri Malaysia beb!
Ada cadangan ditimbulkan supaya GPMS ini dipimpin oleh golongan pelajar atau mahasiswa kerana mereka adalah golongan terdekat dan berada dalam lingkungan pelajar. Di kalangan pelajar pulak rasa macam tak praktikal sebab diaorang pun masih terikat dengan institusi masing2 dan masalah funding yang menjadi keutamaan...
Kepada senior2, pimpinan2, rakan2, sahabat2, aktivis2, dan sesiapa sahaja dipohon memberikan ide dan buah fikiran untuk membawa halatuju GPMS Pahang ke satu dimensi yang seterusnya