Tuesday, January 26, 2010

PERKASA Pahang Wadah Bangsa

YAB Menteri Besar Pahang menyampaikan ucapan perasmian.

Sesi Fotografi Jawatankuasa PERKASA Pahang bersama YAB Menteri Besar Pahang dan tetamu yang lain.

Presiden PERKASA, Dato Paduka Ibrahim Ali sedang membisikkan sesuatu kepada MB Pahang.

TEMERLOH – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa golongan ekstremis politik supaya lebih berhati-hati dan meletakkan keamanan negara lebih dari segala-galanya.

Presidennya, Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata, tidak ada maknanya politik diperjuangkan jika negara berada dalam kekacauan dan huru-hara.

“Saya menggesa golongan ini supaya tidak terlalu meletakkan kepentingan politik lebih daripada segala-galanya kerana jika keselamatan negara terancam tidak ada pihak untung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Perkasa peringkat negeri yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakub di Dewan Tun Razak di Dewan Tun Abdul Razak Temerloh, semalam (24 Jan).

Ibrahim berkata, Perkasa turut menggesa kerajaan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan dan menggugat keselamatan negara.

Beliau berkata, kerajaan jangan tunduk dan tidak terpengaruh dengan politik dalam melaksanakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan keharmonian negara.

“Tidak ada istilah kompromi kepada sesiapa yang cuba gugat keselamatan negara, melainkan tindakan tegas perlu dikenakan ke atas mereka.

“Kerajaan tidak boleh bertolak ansur kerana jika keselamatan negara tergugat dan terancam, tidak ada pihak untung malah akan menyulitkan lagi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kerajaan perlu bijak menangani masalah keselamatan negara supaya ia benar-benar terjamin.

Ibrahim juga memohon Perdana Menteri supaya menekankan aspek penyusunan semula masyarakat khususnya Orang Melayu dengan meletakkan 30 peratus bidang ekonomi baru ditentukan dalam perancangan ekonomi yang belum tercapai.

“Ini yang Perkasa memandang serius hak-hak istimewa Orang Melayu yang perlu diberi perhatian serius kerajaan,” katanya.

YAB Dato Seri Adnan Menteri Besar Pahang mengakhir ucapan beliau dengan merasmikan dan melancarkan Perkasa Negeri Pahang dengan memukul gong sebanyak tiga kali dan berjanji akan turut membantu Perkasa untuk menjaga kepentingan Melayu selaras dengan konsep 1Malaysia.
(Syabas! Perkasa Pahang telah dilancarkan dengan rasminya, dan diharapkan mampu menjadi wadah terbaik memelihara Melayu dan Pribumi sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan...pihak GPMS juga difahamkan Pengerusinya akan dilantik sebagai Pengerusi Pemuda (Wira Muda) PERKASA. Moga GPMS terus Di PERKASAkan....)

Monday, January 25, 2010

Belasungkawa King Ghaz; Negarawan Ulung (1922-2010)


Bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Muhammad Ghazali Shafie yang meninggal dunia malam tadi adalah seorang yang dikenali sangat tegas dalam segala kerja yang dibuatnya sehinggakan beliau digelar 'King Ghaz'.
Bagi mereka yang mengenali beliau termasuk para wartawan yang pernah menemuramah beliau, Muhammad Ghazali sentiasa mengharapkan agar mereka mempunyai pengetahuan lengkap mengenai sesuatu isu atau perkara yang ingin ditanya pada beliau.
Ini menyebabkan ramai wartawan cukup berhati-hati apabila berdepan dengan beliau ketika membuat liputan.
Allahyarham berkhidmat di bawah empat perdana menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr Mahathir Mohamad dan turut dikenali di peringkat antarabangsa ketika menjadi Menteri Luar selain berkhidmat dalam beberapa pertubuhan dan misi antarabangsa.
Muhammad Ghazali terselamat dalam suatu kemalangan pesawat ringan di Kampung Janda Baik pada 10 Jan 1982 yang mengorbankan pengawal peribadi dan pembantu juruterbangnya - peristiwa yang mengejutkan negara pada masa itu.
Anak kelahiran Kuala Lipis pada 22 Mac 1922 ini mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah Melayu dan Inggeris di sekitar Raub, Kuala Lipis, Bentong dan Penjum sebelum melanjutkan pelajaran di Clifford School, Kuala Lipis pada 1939 hingga 1940.
Pada 1941, beliau melanjutkan pendidikan di Raffles College Singapura sebelum ke London di mana beliau menerima Ijazah LLB (Kepujian) di University College of Wales dan kemudian mendapat ijazah dalam bidang pengajian antarabangsa di London School of Economics pada 1954.
Dari 1941 hingga 1946, beliau berkhidmat dalam beberapa pasukan pertahanan termasuk Pasukan Sukarelawan Malaya dan Pasukan Gerakan Menentang Jepun.
Muhammad Ghazali yang pernah bekerja sebagai seorang kerani di Selangor dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke India pada 1957 dan kemudian menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri pada 1959 dan menjadi menteri di kementerian yang sama dari Julai 1981 sehingga Julai 1984 sebelum meletakkan jawatan pada bulan yang sama.
Salah satu tugas penting yang dipegangnya dalam sejarah negara ialah menganggotai Suruhanjaya Cobbold mengenai pembentukan Malaysia.
Satu lagi sumbangan besar beliau kepada negara adalah berhubung pembentukan Rukun Negara, satu prinsip bagi mencetus dan mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini berikutan peristiwa hitam 13 Mei, 1969.
Perkhidmatannya dalam kabinet agak lama bermula pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan kemudiannya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan Penerangan pada April 1972.
Kira-kira 16 bulan kemudian beliau diberikan kepercayaan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan, di mana jawatan Menteri Dalam Negeri itu dipegangnya sehingga Julai 1981 apabila beliau bertukar ke jawatan Menteri Luar.
Setelah meletak jawatan daripada kabinet pada Julai 1984, allahyarham menumpukan perhatian pada bidang lain yang menyaksikan beliau menjawat jawatan penting dalam sektor swasta dan pertubuhan antarabangsa.
Antaranya sebagai Pengerusi Paremba, Pengerusi Landmarks Holdings Bhd, Pengerusi Lembaga Penasihat Rolls-Royce Asia Tenggara, dan juga Pengerusi Westmont Bank Manila, Filipina, serta Pengerusi Intermega Energy NL, Australia.
Dalam bidang politik tanah air, beliau pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahli Parlimen Kuala Lipis, Ketua Umno Bahagian Kuala Lipis, Ahli Jawatankuasa Veteran Umno, tetapi pernah tewas untuk jawatan Naib Presiden parti pada 1972 dan 1975. Namun beliau memenangi jawatan Naib Presiden Umno dalam pemilihan pada 1981.
Sumbangannya juga agak besar dalam beberapa bidang tertentu termasuk menjadi ahli pengasas dan presiden pertama Galeri Seni Negara pada 1959, Ahli Majlis Pengelola Universiti Malaya, Ahli Majlis Gerakan Negara (Mageran), Pengerusi Majlis Pengelola Institut Teknologi Mara, Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia dan ahli pengasas Malayan Forum, United Kingdom,
Sumbangannya dalam bidang sukan juga amat besar melalui beberapa jawatan penting yang disandangnya termasuk Presiden Kehormat Seumur Hidup Kelab Penerbangan Diraja Selangor serta Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sejak 1962 hingga 1988, sehingga beliau diberikan Anugerah Tokoh Sukan pada tahun 2002.
Kepakarannya dalam bidang perhubungan antarabangsa amat terserlah serta dihormati dan ini dapat dilihat melalui jawatan-jawatan yang disandang termasuk Pengerusi Persidangan Asia mengenai persoalan Palestin pada 1983, ahli Suruhanjaya Selatan dan juga Pengerusi Suruhanjaya yang ditubuhkan bagi membuat cadangan mengenai rombakan dan pengukuhan mekanisme Asean.
Satu lagi penghormatan ialah terpilih sebagai ahli dalam pasukan eminent person Komanwel untuk Afrika Selatan bagi memberi sokongan kepada proses rundingan pelbagai parti pada 1981, ahli Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihanraya Umum Afrika Selatan, ahli Kumpulan Pemerhati Pilihanraya Sri Lanka, dan Pilihanraya Bosnia Herzegovina serta Pengerusi Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihanraya Bangladesh.
Allahyarham yang pernah menjadi penasihat khas kepada Perdana Menteri mengenai hal ehwal luar serta pernah bertugas sebagai perunding World Bank Economic Development Institute.
Allahyarham juga telah menerima beberapa anugerah kehormat kerajaan asing termasuk dari Singapura, Perancis, Republik of Korea, Iran, Filipina, Jepun, Tunisia, Thailand, Austria dan Korea Utara.
GPMS PAHANG mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat olehNya, Al-fatihah...

Thursday, January 21, 2010

Bangsa Melayu Perlu Kekal Bersatu - Titah Sultan Pahang






MARAN: Kaum Melayu perlu kekal bersatu dalam menjamin survival dan pembinaan sebuah negara Malaysia, titah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Baginda bertitah ia penting dalam menghadapi cabaran kemasukan pengaruh asing dari sudut ideologi, baik yang muncul dari dalam negara mahupun dari tamadun barat yang mampu menggugat asas dan jati diri orang Melayu.

Titah baginda lambakan budaya dan pemikiran khususnya pengaruh ideologi seperti sekularisme, liberalisme dan materialisme boleh menggugat perpaduan sekaligus merungkai kestabilan negara.

Bagaimanapun baginda berkata perpaduan di kalangan orang Melayu tidak seharusnya dirasakan menjadi satu ancaman kepada kaum lain dalam negara.

"Perpaduan bangsa Melayu seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang membawa manfaat kepada semua bangsa dalam negara," titah baginda selepas merasmikan Forum Hak dan Perpaduan Melayu Dalam Konteks 1 Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Khazanah Alam, Jengka di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Terdahulu dalam titah ucapannya pada majlis itu, Sultan Ahmad Shah bertitah kepelbagaian bangsa dan etnik dalam negara merupakan aset yang penting dalam mencapai status negara maju sebagaimana yang digariskan dalam Wawasan 2020.

Kemudian Tuanku Sultan menyaksikan forum bertajuk Hak dan Perpaduan Melayu Dalam Konteks 1 Malaysia yang membariskan Prof Dr Haidar , Penasihat Undang-undang UitM sebagai moderator manakala panelnya terdiri daripada Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah, dari Universiti Pertahanan Nasional, Ezam Mohd Nor, Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara yang berpengkalan di Jakarta dan pensyarah KIPSAS merangkap Pengerusi GPMS Pahang, Sdr Wan Emril Nizam Wan Embong.

Monday, January 18, 2010

Forum Hak dan Perpaduan Melayu

Forum Hak dan Perpaduan Melayu Melalui Konsep 1Malaysia di UitM Jengka Pahang pada 21 Januari 2010
(KHamis jam 2 ptg)

Ahli PAnel:
Dr Ridhuan Tee Abdullah (UPNM), Ezam Mohd Noor
(Pengerusi Yayasan Generasi Baru Nusantara)
dan Sdr Wan Emril Nizam (GPMS)....


Sunday, January 17, 2010

Deklarasi Muhibah dan Keharmonian NGO Islam-NGO Kristian

Peristiwa Bersejarah Termeterai......Ahli-ahli Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam dan Kristian Negeri Pahang Darul Makmur (mewakili 17 NGO ISLAM antaranya ABIM, GPMS, KERIS, GAMIS, JIM, PEKIDA manakala NGO Kristian diwakili Pertubuhan Gereja Epiphany, Chapel Kuantan, Shalom dll) meletakkan tangan sebagai simbol perpaduan selepas Majlis Pernyataan Muhibbah dan Perpaduan Antara Badan Bukan Kerajaan Islam dan Krsitian Negeri Pahang di Hotel Megaview,jam 3 petang pada 17 Januari.

KUANTAN 17 Jan. – Sebanyak 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan 13 NGO Kristian Pahang hari ini mengadakan perjumpaan dalam mencari kesepakatan mengenai isu serangan rumah ibadat di beberapa tempat di dalam negara sejak akhir-akhir ini.

NGO-NGO Islam itu adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Mahasiswa Anak Pahang (MAMPAN), Kelab Warisan Negara (KRIS), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis).

Selain itu ia turut disertai Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Himpunan Lepasan IPT Malaysia (Haluan) dan Pertubuhan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

NGO lain adalah Majlis Belia Negeri Pahang, Majlis Belia Daerah Kuantan, Wadah Pencerdasan Ummah (Wadah), Ikatan Pengkajian Islam Pahang (Ikatan), Gerakan Belia 4B Malaysia cawangan Pahang, Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia cawangan Pahang, Masjid Tok Sira dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Sementara itu, 13 NGO Kristian antaranya Grace Charismatic Center, Rapha Children Home, Kuantan Baptis Church, Gereja Warisan Milik Kristus, Cristian Praise Center, Kuantan Chapel, Presbyterian Church, Church of Epiphany, Victory Assembly, Maranatha Hope Fellowship, Shalom Fellowship, Kingdom Gospel Center dan Kuantan Presbyterian Center.

Wakli NGO Islam yang juga Timbalan Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan berkata, beberapa insiden yang mengakibatkan perbuatan khianat ke atas rumah ibadat seperti masjid dan gereja baru-baru ini menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, keharmonian dan perpaduan rakyat berbilang agama dan bangsa sedang digugat oleh pihak tertentu.

“Sekiranya perilaku ini tidak dibendung ia dikhuatiri akan merebak dan menjadi semakin serius,” katanya pada sidang media selepas Majlis Muhibbah dan Perpaduan NGO Islam dan Kristian itu di sini hari ini.

Pada majlis itu juga, semua NGO Islam dan Kristian itu bersama-sama mengutuk perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang membakar beberapa gereja, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, dalam perjumpaan itu juga, satu pernyataan muhibbah turut diwujudkan dan akan disebarkan kepada rakyat di negeri ini selain menyarankan kepada NGO di seluruh negara supaya mengadakan perjumpaan seperti itu kerana kesannya adalah positif.

“Perjumpaan ini dilakukan kerana menyedari bahawa teras perpaduan rakyat amat berkait rapat dengan keharmonian hubungan rakyat berbilang agama.

“Kami turut menyedari dan memahami bahawa setiap individu perlu memainkan peranan dalam menjamin kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, wakil paderi Kristian Kuantan, George Lau menggesa agar semua pihak menghormati kedudukan agama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Sebagai NGO, kami menggesa agar semua pihak menghentikan segala kekacauan yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, pihak yang terbabit yang menyebabkan kemusnahan masjid dan gereja mesti segera dibawa ke muka pengadilan.

Katanya lagi, NGO sentiasa menyokong inisiatif dalam meningkatkan interaksi dan persefahaman antara agama.

Wednesday, January 13, 2010

Tahniah YB Norol, Presiden Majlis Belia Pahang 2009-2012


Syabas dan tahniah Deputi Pengerusi GPMS Pahang, YB Norol Azali Sulaiman telah dinobatkan sebagai Presiden Majlis Belia Pahang yang baru menggantikan Dato Fatah Abdullah pada Mesyuarat Agong Tahunan MBNP yang telah diadakan di Kuala Lipis pada 31 Disember yang lalu. Mesyuarat Agong itu telah dirasmikan oleh YB Dato Shabery Chik Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Selain YB NOrol, GPMS Pahang turut berbangga kerana Pengerusi GPMS Raub, Cikgu Zaidi turut terpilih sebagai EXCO MBNP, dan difahamkan Naib Pengerusi GPMS Temerloh, Shikin sedang mengintai jawatan NAib Presiden (Wanita) Majlis Belia Pahang.. Turut memuncakkan GPMS, Naib Pengerusinya, Azrul Khairi dilantik sebagai Setiausaha Agong.
Belajar Terus Belajar.......

Idea Parlimen Mahasiswa: IPT perlu cungkil bakat kepimpinan, ketengah idea


KUANTAN - Penubuhan Parlimen Mahasiswa di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) boleh menjadi saluran terbaik kepada mahasiswa untuk menonjolkan diri dalam masyarakat.

Ia secara tidak langsung merupakan pendekatan terbaru yang mewujudkan ruang kepada mahasiswa menyuarakan pendapat mereka.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Pahang, Wan Emril Wan Embong berkata, mahasiswa perlu diberikan pendedahan yang realistik dan praktikal untuk mengenali sistem kepimpinan Parlimen.

Menurutnya, bakat kepimpinan mahasiswa dapat dicungkil sejak awal sekiranya Parlimen Mahasiswa diwujudkan, ia akan menjadi medan mengetengahkan idea dan membahaskan cadangan demi kebaikan semua.

“Dalam usaha melahirkan generasi pemimpin pelapis, alternatif mewujudkan Parlimen Mahasiswa adalah langkah proaktif yang wajar diteliti dan mendapat sokongan.

“Bagaimanapun, Kementerian Pengajian Tinggi perlu meletakkan garis panduan kepada mahasiswa agar tidak melampaui batas dan masih berada di bawah kawalan pensyarah, selain tidak menyalahi peraturan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Wan Emril berkata, melalui Parlimen Mahasiswa itu, mahasiswa hanya dibenarkan membahaskan isu berkaitan kebajikan dan perkembangan akademik dan tidak sesekali menyentuh isu politik.

“Mereka perlu berdebat secara intelektual dan masih mematuhi peraturan ditetapkan malah harus dibimbing agar mampu menunjukkan daya kepimpinan sebenar.

“Melihat situasi semasa, mahasiswa kini sudah bijak dan mereka tidak boleh dikawal kerana hakikatnya mereka mempunyai peranan tersendiri dalam ruang lingkup dalam masa sama masih berlandaskan kepada budaya akademik,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang, Zul Fadzli Shamsudin berkata, mahasiswa perlu mendapat peluang untuk menunjukkan bakat kepimpinan dan melibatkan diri dalam komuniti.

“Pendedahan perlu diberikan dalam aspek penglibatan dan peranan mereka dalam menegakkan pendirian di samping memperjuangkan kepentingan pelajar lain menerusi isu yang diketengahkan.

“Namun, mereka perlu ingat agar tidak melanggar garis panduan ditetapkan kerana mereka dianggap masyarakat sebagai golongan intelektual yang bijak membezakan baik dan buruk,” katanya.

Sunday, January 10, 2010

Ada pihak menangguk di air keruh – GPMS Pahang (Keratan Akhbar Utusan Malaysia - 10 Jan 2010)

KUANTAN 9 Jan. – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) negeri, tidak menolak kemungkinan ada pihak ‘menangguk di air keruh’ berikutan insiden cubaan membakar dua gereja di Lembah Klang semalam.

Pengerusinya, Wan Emril Wan Embong menegaskan, pihak ketiga itu dipercayai cuba mengambil kesempatan ke atas isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam yang menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.

“Perbuatan itu mungkin dilakukan oleh pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi suasana.

“Islam tidak mengajar umatnya menjadi ganas sebaliknya mahu umatnya bertindak rasional dan mengutamakan keharmonian,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau mengulas insiden kebakaran dua gereja di Desa Melawati, Kuala Lumpur dan Jalan Templer, Petaling Jaya awal pagi semalam.

Sebuah lagi gereja di Petaling Jaya turut menerima ugutan.

Berikutan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin pelbagai peringkat mengutuk perbuatan itu yang disifatkan boleh menghancurkan keharmonian kaum dan agama.

Wan Emril menegaskan, pihaknya percaya umat Islam di negara ini masih waras dan tidak akan melakukan sesuatu di luar batas undang-undang.

Sejak timbulnya isu kalimah Allah itu, jelasnya, kebanyakan NGO Islam bertindak mengikut undang-undang termasuk demonstrasi aman di kawasan masjid.

Wan Emril Wan Embong (kiri sekali)
berucap pada perhimpunan secara aman bagi membantah
kebenaran penggunaan kalimah Allah
oleh gereja di pekarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, kelmarin.