Monday, December 21, 2009

JTK pantau laman web Portal Job Malaysia


KUANTAN (klik) - Jabatan Tenaga Kerja Pahang (JTK) akan memantau laman web Portal Job Malaysia dalam usaha mengenal pasti majikan menawarkan jawatan kosong melalui portal berkenaan kepada graduan.

Pengarahnya, Sazali Keteh berkata, kebanyakan graduan hanya memohon jawatan yang ditawarkan tanpa membuat tindakan susulan selepas membuat permohonan. Menurutnya, sikap tunggu dan lihat dalam kalangan graduan merugikan mereka kerana peluang sedia ada tidak digunakan dengan bijak.

Proses mencari kerja bukan bergantung kepada satu cara sahaja tetapi graduan harus bijak meneroka peluang itu melalui pelbagai tawaran disediakan. “JTK akan ambil inisiatif memantau dan mengenal pasti majikan menawarkan jawatan kosong, selain melihat kelayakan ditetapkan. “Dengan kata lain, JTK akan menjadi orang tengah menghubungkan graduan menganggur kepada majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Persediaan Temu Duga dan Menguruskan Kerjaya di Kolej Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam. Program itu adalah anjuran JTK dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang. :Hadir sama Presiden GPMS Pahang, Wan Emril Wan Embong dan Pegawai Khas Menteri Besar, Mustafa Long.

Dalam perkembangan lain, Sazali berkata, JTK giat turun padang ke Felda bagi mendekati golongan muda melalui Program Hari Penempatan Pekerjaan. Katanya, program berkenaan sebahagian daripada usaha JTK menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi kedua Felda.

Majikan pelbagai bidang menyertai program berkenaan dan banyak peluang kerja boleh diterokai golongan muda yang menganggur. “Mereka perlu ambil perhatian khusus terhadap tiga aspek yang dinilai iaitu kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan penampilan sewaktu hadir temu duga,” katanya.

Bagaimanapun, Sazali berkata, graduan kini sudah mempunyai kesedaran terhadap aspek berkenaan malah melihat perubahan demi perubahan dalam setiap sesi temu duga yang dijalankan. Katanya, sepanjang bulan ini, JTK sudah menjelajah beberapa Felda di negeri ini, antaranya Felda Selendang, Rompin, Felda Sungai Koyan, Lipis, Felda Lepar Hilir, Kuantan, Felda Jengka 15, Maran dan Felda Mempaga, Bentong.

Sunday, December 20, 2009

KaLau TiDak DipEcahkan RuYung...


P
engerusi GPMS Pahang menyampaikan kalam penghargaan kpd pihak JTK sempena program sulung GPMS Pahang...

Pengarah JTK Pahang, Encik Sazali Keteh menyampaikan ucapan perasmian, GPMS bersedia menjadi rakan kongsi JTK pada program akan datang

Para Peserta sedang khusyuk mendengar ceramah kerjaya, cara membuat resume dan persediaan menghadapi temuduga...

Sambutan amat menggalakan daripada ahli GPMS Pahang..

Majlis Penyampaian Cenderahati oleh Pengerusi GPMS Pahang kepada Pengarah JTK, sambil disaksikan oleh Mantan Pengerusi, Encik Mustapa dan Cikgu Nasrul

Merenung masa depan....apa nak jadi lepas grad...

Thumbs up
EXCO2 yg hadir:
1) Cikgu Nasrul - S/U
2) Mr Karem - Naib Pengerusi III
3) Wan Azam -Pengerusi Penaja GPMS Cameron
4) Rohaifi Azri - EXCO
5) Zulfazli - YDP GPMS Kuantan
6) Rahila - SUK

Friday, December 18, 2009

Belia Mesti Berani Berubah! - ADNAN


BENTONG – Generasi muda perlu berani berubah seiring dengan perkembangan semasa supaya mampu bersaing dan mencapai kejayaan cemerlang pada masa hadapan. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub berkata, generasi muda dilihat mampu menjana pembangunan negara menerusi sumbangan idea dan pandangan yang disalurkan.
Menurutnya, mereka ini seharusnya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran termasuk penguasaan dalam bahasa selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
“Walaupun ada kalanya wujud kekangan dan keupayaan terhad untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang terutamanya melibatkan masalah kemiskinan keluarga ia tidak sepatutnya dijalankan penghalang. “Jalan perlu dicari untuk keluar dari kepompong kehidupan sedemikian dan cara yang paling baik ialah menerusi pendidikan berterusan,” katanya.
Adnan berkata, bagi mereka yang kurang berminat meneruskan pelajaran atau tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan boleh beralih kepada bidang kemahiran.
Menurutnya, menerusi bidang kemahiran juga seseorang itu mampu berjaya kerana tenaga kerja dalam bidang ini sentiasa diperlukan dan peluang luas terbuka terutama bagi mereka yang ingin menjalankan perniagaan.
“Sikap belia itu sendiri perlu berubah memandangkan banyak kemudahan tersedia untuk mereka dalam semua bidang termasuk sukan dan pendidikan. “Apa yang perlu ada dalam diri mereka ialah sentiasa berusaha dan tidak bersikap malas kerana sesuatu kejayaan itu tidak datang sekelip mata,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan satu pertemuan akan diadakan bersama belia yang gemar aktiviti bermotosikal atau ‘mat rempit’ pada tarikh yang bakal ditetapkan kelak bagi memberikan suntikan motivasi dan membincangkan permasalahan yang wujud serta cara mengatasinya.

Program Modal Insan Menerusi ECER


KUANTAN – Program pembangunan modal insan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama berjumlah RM7 bilion yang diumumkan kerajaan bagi keseluruhan ECER.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, program kerjaya ECER melibatkan tiga program utama iaitu program penempatan graduan, program penempatan pekerja dan program latihan kemahiran. Menurutnya, pada akhir tempoh latihan itu yang dijangka berlangsung selama satu hingga lapan bulan, Majlis Pembangunan ECER menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada peserta yang dilatih akan layak ditempatkan dengan syarikat-syarikat terlibat. “Bagi peringkat negeri Pahang, seramai 610 peserta sudah pun berdaftar untuk mengikuti pelbagai latihan kemahiran.
“Antaranya termasuk dalam bidang-bidang berteknologi tinggi seperti teknologi ICT dan optik fiber, teknologi pemasangan robotik dan automation, kursus-kursus premusaji dan kulinari, program-program pembangunan pengurusan seperti program pembangunan pengurusan penyeliaan serta sistem pengkomputeran,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis pelancaran Program Kerjaya ECER Peringkat Negeri di Pejabat ECER Pahang, di sini semalam. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John.

Beliau berkata, sepanjang tempoh sembilan bulan pertama, peserta akan diberi pendedahan kepada latihan di tempat kerja serta turut menerima gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan oleh Majlis Pembangunan ECER serta syarikat-syarikat yang terlibat, selain berpeluang untuk diserapkan sebagai pekerja tetap pada akhir tempoh dua tahun.

Menurutnya, bagi program penempatan pekerja, Majlis Pembangunan ECER akan membantu syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini untuk mencari pekerja tetap dan sambilan dalam kalangan pekerja yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi baru-baru ini. “Pihak Majlis Pembangunan ECER mensasarkan untuk menempatkan lebih 360 pekerja di lebih 50 syarikat terpilih di serata negeri ini. “Selain itu, Majlis Pembangunan ECER juga mengendalikan program latihan kemahiran untuk penganggur, graduan serta pelajar lepasan sekolah sejak Ogos tahun ini melibatkan lebih 2,000 peserta,” katanya. Adnan berkata, pelaksanaan program pembangunan modal insan olah Majlis Pembangunan ECER itu sememangnya bertepatan pada masanya serta selari dengan pembangunan pesat ekonomi negeri ini.
Menurutnya, daripada Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Majlis Pembangunan ECER, terdapat beberapa projek berimpak tinggi yang sedang dijalankan, termasuk projek pembangunan bersepadu Bandar Pelabuhan Kuantan serta penaiktarafan Pelabuhan Kuantan untuk menjadi pintu masuk bagi perdagangan antara Malaysia dan negara-negara di rantau Asia Pasifik.

Saya yakin program kerjaya yang julung kali dilancarkan di negeri ini bukan sahaja akan meningkatkan pembangunan modal insan di negeri ini, bahkan akan membantu syarikat-syarikat di Pahang untuk mendapatkan pekerja-pekerja mahir dan separuh mahir yang berkelayakan,” katanya.
Katanya, program kerjaya itu juga dilihat mampu membantu memastikan tenaga kerja tempatan akan sentiasa dilengkapi kemahiran terbaik dan sepadan dengan kemahiran yang diperlukan oleh pihak industri, selain membantu mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke luar ECER dan mendorong anak watan Pahang yang terlatih dan mahir untuk kembali berkhidmat di negeri ini.

(GPMS Pahang berhasrat untuk mewujudkan one-stop centre dan pusat kordinasi graduan dgn ECER dan terbaru kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja sedang dirangka untuk memastikan perencanaan membantu graduan menganggur dapat dilaksanakan selaras dengan credos GPMS - Responsif Terhadap Isu...}

Wednesday, December 16, 2009

PROGRAM PERSEDIAAN TEMUDUGA DAN MENGURUS KERJAYA BERSAMA JTK


PROGRAM PERSEDIAAN TEMUDUGA DAN MENGURUS KERJAYA BERSAMA JABATAN TENAGA KERJA PAHANG
ANJURAN JTK DENGAN KERJASAMA GPMS PAHANG DI KIPSAS PADA 20 DISEMBER 2009 (AHAD)
____________________________________

8.OOpg Pendaftaran peserta

9.00pg Senario Pasaran Kerja Semasa

11.00 pg Persediaan Menghadapi Temuduga
Makan Tgh / Solat

2.30 ptg Cara-cara membuat Resume

3.30 ptg Bengkel Membuat Resume

4.30 ptg Majlis Perasmian Penutup oleh
Encik Sazali Keteh, Pengarah JTK Pahang

Thursday, December 10, 2009

GPMS buat laporan POLIS terhadap KULASEGARAN !


Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini membuat laporan di Balai Polis Sentul berhubung kenyataan Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran yang terus mempersoalkan perihal ketuanan Melayu.

Laporan polis itu dibuat oleh Presiden GPMS, Jais Abdul Karim yang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kira-kira pukul 10 pagi ini ditemani beberapa ahli gabungan itu.

Menurut Jais, apa yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat itu dilihat satu kenyataan berbaur hasutan yang boleh menimbulkan suasana tidak selesa di negara ini.

Katanya, kenyataan Kulasegaran itu turut termaktub dalam lima perkara yang boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan.

"Sehubungan itu, GPMS hari ini membuat laporan agar pihak polis dapat menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan atas apa yang dikeluarkan oleh Kulasegaran.

"Kenyataan itu dilihat boleh menyebabkan perpecahan kaum dan mengakibatkan berlaku huru-hara dalam negara," katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan IPD Sentul di sini hari ini.

Kulasegaran pada 3 Disember lalu mengeluarkan kenyataan mempersoalkan perihal ketuanan Melayu kerana disifatkan tidak adil untuk kaum lain semasa sidang Parlimen.

Jelas Jais, GMPS turut menghantar memorandum bantahan kepada Kulasegaran di bangunan Parlimen hari ini.

Tuesday, December 8, 2009

Perlukah GPMS menjadi Non-Partisan?


Salah satu daripada agenda kepimpinan baru GPMS Pusat adalah menjadikan GPMS sebagai pertubuhan non-partisan? Apakah maksud sebenar non-partisan? Adakah selama ini GPMS partisan? Mengapa baru KINI?
Adakah dengan menyokong dasar2 kerajaan atau menyatakan pendirian sealiran dengan parti2 tertentu GPMS dilihat partisan?

Thursday, December 3, 2009

Bicarawara Tokoh : Pemikiran Aminuddin Baki


PENGAJIAN tinggi negara boleh dikatakan bermula lebih dari 60 tahun yang lalu apabila Suruhanjaya Maclean menerbitkan Penyatanya pada 17 Jun 1939. Suruhanjaya tersebut menyatakan hasrat untuk menyatukan dua institusi - Raffles dan King Edward VII Medical College - yang telah ditubuhkan sebelum itu menjadi sebuah "University College Malaya" ataupun Universiti Kolej Malaya.

Sir William Maclean, pemegang ijazah doktor falsafah, berpendapat bahawa masanya belum tiba untuk ditubuhkan sebuah universiti di Singapura, yang pada ketika itu sebahagian dari Malaya di bawah jajahan Inggeris.

Namun oleh kerana peperangan cadangan tersebut ditunda sehinggalah pada 1943, apabila satu lagi surahanjaya ditubuhkan yang mengulangi hasrat yang sama. Kali ini Suruhanjaya Asquith berjaya menyaksikan penubuhan Kolej Universiti tersebut sehinggalah pada pada tahun 1947 apabila ia dinaik taraf kepada sebuah universiti penuh.

Ini adalah ekoran laporan Suruhanjaya Carr-Saunders yang mencadangkan bahawa Malaya wajar mempunyai universitinya sendiri. Profesor Carr-Saunders yang merupakan pakar dalam bidang pendidikan menyarankan tiga aliran dimuatkan dalam institusi pengajian tinggi tersebut: aliran sastera, sains dan perubatan.

Ini sudah tentunya berpandukan kepada kolej perubatan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1905, dan juga Raffles Colleges yang ditubuhkan pada 1929.

Maka pada 8 Oktober 1949, tertubuhlah dengan rasminya sebuah universiti bergelar "University of Malaya" berikutan perisytiharan yang dibuat oleh Cancelor pertamanya Malcolm MacDonald di Dewan Raffles College, Singapura. Antara intipati petikan ucapannya berbunyi: "Marilah hari ini kita tubuhkan dengan baik dan suci hati universiti ini. Marilah kita nyalakan dan angkat tinggi obor pengetahuan, obor kebenaran, obor kebajikan dan obor kecantikan dari turun-temurun, dan menyadupadukan manusia dalam ikatan kasih mesra terhadap makhluk Tuhan."

Dengan kata lain, satu lembaran baru bermula di tanah air yang bakal menentukan nasib dan masa hadapan bangsa dan negara yang dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu ketika itu.

Antara yang mengalukan perkembangan ini adalah wira pendidikan negara yang pernah menjejak kaki di universiti tersebut sewaktu ia diisytiharkan. Allahyarham Aminuddin Baki setelah lulus dari Raffles College pada Jun 1949 terus diterima masuk mengikuti program sarjana muda sastera.

Beliau lulus pada tahun berikutnya dengan ijazah Bachelor of Arts dan terpilih pula melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah dengan kepujian. Beliau kemudian ditawarkan Queen's Scholarship untuk ke United Kingdom, antara tahun 1951-1952.

Aminuddin Baki yang juga pernah menjadi pengasas dan Yang di Pertua GPMS (ketika itu, Gabungan Penuntut-penuntut Melayu Semenanjung dan Singapura) ada menulis: "Memanglah telah diakui dunia, sebuah universiti mestilah bebas mentadbir dirinya sendiri; ia harus sebagai satu pertubuhan yang tidak dikongkong oleh kerajaan, supaya ia dapat dijadikan satu tempat bagi mempelajari segala perkara secara objektif, walaupun perkara itu berlawanan dengan dasar pemerintah."

"Sebab pun dikehendaki kebebasan yang demikian adalah kerana hanya dari segala pelajaran itulah sahaja kebenaran mungkin didapati. Sebagaimana tuntutan itu Universiti Malaya adalah satu pertubuhan yang berkuasa sendiri dalam urusannya dan berkuasa buat mengambil segala langkah-langkah yang selaras dengan perlembagaannya. Satu pertubuhan yang dipunyai oleh ramai, dibina oleh ramai, dan bagi orang ramai," kata beliau.

Yang paling menarik adalah kata-kata mutiara ini dimuatkan dalam isu sulung lidah rasmi GPMS - Penuntut - keluaran April 1950. Ini sekali gus menampakkan kepemimpinan luar biasa Aminuddin Baki pada masa dan zaman di mana makna "university" itu masih samar-samar dan kabur seperti mana yang beliau cuba perjelaskan dalam penulisannya.

Allahyarham Aminuddin Baki yang kemudiannya menjadi seorang yang meneraju perkembangan pendidikan tanah air yang amat disanjung dan disegani telah pun mendahului apa yang kini mula dibincangkan semula selepas sekian lama beliau meninggalkan kita.

Ringkasnya, apa yang ingin beliau utarakan adalah apa yang kini diistilahkan sebagai "autonomi," dari pada kata Inggeris yang bermaksud "kebebasan untuk menentukan" termasuk dari segi tadbir urus, dari segi urusan kewangan, begitu juga dari segi perundangan.

Apalagi dari segi urusan ilmiah seperti mana yang diungkapkan oleh Aminuddin Baki hampir 60 tahun lalu. Kematangan anak muda ini wajar diteladani khususnya dalam mencerna maksud "autonomi" pada zaman ini sesuai dengan tuntutan di bawah perlembagaannya.

Apa yang jelas Perdana Menteri dalam ucapan belajawannya baru-baru ini telah pun mengangkat perbincangan tentang autonomi agar ia dijadikan salah satu landasan dalam kita membudayakan inovasi sebagai satu cara hidup. Ini sekali gus akan melonjakkan kedudukan negara dalam mencapai matlamat Wawasan 2020.

Tanpa autonomi, ataupun "dikongkong" seperti yang ditulis oleh Aminuddin, inovasi akan malap malah mati sama sekali. Ini telah terbukti apabila universiti dikenakan, baik disedari atau tidak, pelbagai bentuk peraturan, dasar pentadbiran, apalagi perundangan yang menidakkan apa yang dihasrat oleh Aminuddin dalam penulisannya.

Bayangkan sahaja para karyawan jika dibelenggu dengan segala macam rintangan sehinggakan membantutkan daya kreatifnya, sudah tentu menghampakan penghasilan karya yang bermutu.

Begitu jugalah dalam banyak hal yang lain, kerana "berkarya" itu sebenarnya membawa maksud "bekerja" - dan kongkongan yang dikenakan akan memberi gejala yang sama, dan hanya melebarkan kerenah birokrasi.

Secara keseluruhan, sedikit sebanyak ini telah dapat dikesan apatah lagi dalam usaha melonjakkan Malaysia ke tahap negara berpendapatan tinggi yang rata-rata berpaksikan kepada budaya ilmu dan inovasi.

Hakikatnya pembangunan yang hanya 'meminjam' akan ilmu dan inovasi orang lain sudah tidak lagi boleh menjamin masa hadapan kita. Yang amat menyedihkan adalah budaya 'meminjam' inilah yang semakin bermaharajalela di kalangan masyarakat Malaysia apabila mereka menghadapi ketandusan idea-idea baru.

Yang lebih malang lagi gagasan Wawasan 2020 sepatutnya didorong oleh prinsip 'acuan kita sendiri' yang sering dikumandangkan pada peringkat awal pelaksanaannya kian luntur dan diganti dengan budaya ikut-ikutan, kadang kala secara membabi buta sahaja. Episod "maling-sia" baru-baru ini bagaikan kemuncak kepada budaya tersebut.

Akibatnya kita menjadi masyarakat yang malas berfikir, bukan kerana kita kurang kreatif, tetapi semata-mata kerana kita lebih gah dengan cipta-cipta dan rekaan orang lain. Lantas masyarakat kita menjadi masyarakat lambakan, termasuk barangan tiruan, ijazah palsu, mahupun jolokan palsu asalkan saja ia berjenama dan berstatus, seolah-olah mengisi jiwa yang agak kosong. Bagi sebuah masyarakat yang dikatakan telah 'merdeka' tidak ada kontradiksi yang lebih buruk dari ini.

Oleh yang demikian, mahu tidak mahu pemupukan inovasi wajar diterajui oleh autonomi yang dipenuhi dengan rasa tanggungjawab dan beramanah (akauntabiliti) agar ia tidak disalahgunakan untuk memporak-perandakan.

Di atas sebab itu jugalah keluhuran berilmu dan berhemat lagi berwibawa menjadi landasan mutlak dalam menyalakan obor kebenaran. Kesemua ini memerlukan sifat kejujuran sebagaimana yang dicerminkan oleh Allahyarham Aminuddin Baki, semoga Allah mencucuri Rahmat keatas rohnya. Amin.

Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Naib Canselor USM dan Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia.