Monday, December 21, 2009

JTK pantau laman web Portal Job Malaysia


KUANTAN (klik) - Jabatan Tenaga Kerja Pahang (JTK) akan memantau laman web Portal Job Malaysia dalam usaha mengenal pasti majikan menawarkan jawatan kosong melalui portal berkenaan kepada graduan.

Pengarahnya, Sazali Keteh berkata, kebanyakan graduan hanya memohon jawatan yang ditawarkan tanpa membuat tindakan susulan selepas membuat permohonan. Menurutnya, sikap tunggu dan lihat dalam kalangan graduan merugikan mereka kerana peluang sedia ada tidak digunakan dengan bijak.

Proses mencari kerja bukan bergantung kepada satu cara sahaja tetapi graduan harus bijak meneroka peluang itu melalui pelbagai tawaran disediakan. “JTK akan ambil inisiatif memantau dan mengenal pasti majikan menawarkan jawatan kosong, selain melihat kelayakan ditetapkan. “Dengan kata lain, JTK akan menjadi orang tengah menghubungkan graduan menganggur kepada majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Persediaan Temu Duga dan Menguruskan Kerjaya di Kolej Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam. Program itu adalah anjuran JTK dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang. :Hadir sama Presiden GPMS Pahang, Wan Emril Wan Embong dan Pegawai Khas Menteri Besar, Mustafa Long.

Dalam perkembangan lain, Sazali berkata, JTK giat turun padang ke Felda bagi mendekati golongan muda melalui Program Hari Penempatan Pekerjaan. Katanya, program berkenaan sebahagian daripada usaha JTK menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi kedua Felda.

Majikan pelbagai bidang menyertai program berkenaan dan banyak peluang kerja boleh diterokai golongan muda yang menganggur. “Mereka perlu ambil perhatian khusus terhadap tiga aspek yang dinilai iaitu kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan penampilan sewaktu hadir temu duga,” katanya.

Bagaimanapun, Sazali berkata, graduan kini sudah mempunyai kesedaran terhadap aspek berkenaan malah melihat perubahan demi perubahan dalam setiap sesi temu duga yang dijalankan. Katanya, sepanjang bulan ini, JTK sudah menjelajah beberapa Felda di negeri ini, antaranya Felda Selendang, Rompin, Felda Sungai Koyan, Lipis, Felda Lepar Hilir, Kuantan, Felda Jengka 15, Maran dan Felda Mempaga, Bentong.

Sunday, December 20, 2009

KaLau TiDak DipEcahkan RuYung...


P
engerusi GPMS Pahang menyampaikan kalam penghargaan kpd pihak JTK sempena program sulung GPMS Pahang...

Pengarah JTK Pahang, Encik Sazali Keteh menyampaikan ucapan perasmian, GPMS bersedia menjadi rakan kongsi JTK pada program akan datang

Para Peserta sedang khusyuk mendengar ceramah kerjaya, cara membuat resume dan persediaan menghadapi temuduga...

Sambutan amat menggalakan daripada ahli GPMS Pahang..

Majlis Penyampaian Cenderahati oleh Pengerusi GPMS Pahang kepada Pengarah JTK, sambil disaksikan oleh Mantan Pengerusi, Encik Mustapa dan Cikgu Nasrul

Merenung masa depan....apa nak jadi lepas grad...

Thumbs up
EXCO2 yg hadir:
1) Cikgu Nasrul - S/U
2) Mr Karem - Naib Pengerusi III
3) Wan Azam -Pengerusi Penaja GPMS Cameron
4) Rohaifi Azri - EXCO
5) Zulfazli - YDP GPMS Kuantan
6) Rahila - SUK

Friday, December 18, 2009

Belia Mesti Berani Berubah! - ADNAN


BENTONG – Generasi muda perlu berani berubah seiring dengan perkembangan semasa supaya mampu bersaing dan mencapai kejayaan cemerlang pada masa hadapan. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub berkata, generasi muda dilihat mampu menjana pembangunan negara menerusi sumbangan idea dan pandangan yang disalurkan.
Menurutnya, mereka ini seharusnya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran termasuk penguasaan dalam bahasa selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
“Walaupun ada kalanya wujud kekangan dan keupayaan terhad untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang terutamanya melibatkan masalah kemiskinan keluarga ia tidak sepatutnya dijalankan penghalang. “Jalan perlu dicari untuk keluar dari kepompong kehidupan sedemikian dan cara yang paling baik ialah menerusi pendidikan berterusan,” katanya.
Adnan berkata, bagi mereka yang kurang berminat meneruskan pelajaran atau tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan boleh beralih kepada bidang kemahiran.
Menurutnya, menerusi bidang kemahiran juga seseorang itu mampu berjaya kerana tenaga kerja dalam bidang ini sentiasa diperlukan dan peluang luas terbuka terutama bagi mereka yang ingin menjalankan perniagaan.
“Sikap belia itu sendiri perlu berubah memandangkan banyak kemudahan tersedia untuk mereka dalam semua bidang termasuk sukan dan pendidikan. “Apa yang perlu ada dalam diri mereka ialah sentiasa berusaha dan tidak bersikap malas kerana sesuatu kejayaan itu tidak datang sekelip mata,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan satu pertemuan akan diadakan bersama belia yang gemar aktiviti bermotosikal atau ‘mat rempit’ pada tarikh yang bakal ditetapkan kelak bagi memberikan suntikan motivasi dan membincangkan permasalahan yang wujud serta cara mengatasinya.

Program Modal Insan Menerusi ECER


KUANTAN – Program pembangunan modal insan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama berjumlah RM7 bilion yang diumumkan kerajaan bagi keseluruhan ECER.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, program kerjaya ECER melibatkan tiga program utama iaitu program penempatan graduan, program penempatan pekerja dan program latihan kemahiran. Menurutnya, pada akhir tempoh latihan itu yang dijangka berlangsung selama satu hingga lapan bulan, Majlis Pembangunan ECER menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada peserta yang dilatih akan layak ditempatkan dengan syarikat-syarikat terlibat. “Bagi peringkat negeri Pahang, seramai 610 peserta sudah pun berdaftar untuk mengikuti pelbagai latihan kemahiran.
“Antaranya termasuk dalam bidang-bidang berteknologi tinggi seperti teknologi ICT dan optik fiber, teknologi pemasangan robotik dan automation, kursus-kursus premusaji dan kulinari, program-program pembangunan pengurusan seperti program pembangunan pengurusan penyeliaan serta sistem pengkomputeran,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis pelancaran Program Kerjaya ECER Peringkat Negeri di Pejabat ECER Pahang, di sini semalam. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John.

Beliau berkata, sepanjang tempoh sembilan bulan pertama, peserta akan diberi pendedahan kepada latihan di tempat kerja serta turut menerima gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan oleh Majlis Pembangunan ECER serta syarikat-syarikat yang terlibat, selain berpeluang untuk diserapkan sebagai pekerja tetap pada akhir tempoh dua tahun.

Menurutnya, bagi program penempatan pekerja, Majlis Pembangunan ECER akan membantu syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini untuk mencari pekerja tetap dan sambilan dalam kalangan pekerja yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi baru-baru ini. “Pihak Majlis Pembangunan ECER mensasarkan untuk menempatkan lebih 360 pekerja di lebih 50 syarikat terpilih di serata negeri ini. “Selain itu, Majlis Pembangunan ECER juga mengendalikan program latihan kemahiran untuk penganggur, graduan serta pelajar lepasan sekolah sejak Ogos tahun ini melibatkan lebih 2,000 peserta,” katanya. Adnan berkata, pelaksanaan program pembangunan modal insan olah Majlis Pembangunan ECER itu sememangnya bertepatan pada masanya serta selari dengan pembangunan pesat ekonomi negeri ini.
Menurutnya, daripada Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Majlis Pembangunan ECER, terdapat beberapa projek berimpak tinggi yang sedang dijalankan, termasuk projek pembangunan bersepadu Bandar Pelabuhan Kuantan serta penaiktarafan Pelabuhan Kuantan untuk menjadi pintu masuk bagi perdagangan antara Malaysia dan negara-negara di rantau Asia Pasifik.

Saya yakin program kerjaya yang julung kali dilancarkan di negeri ini bukan sahaja akan meningkatkan pembangunan modal insan di negeri ini, bahkan akan membantu syarikat-syarikat di Pahang untuk mendapatkan pekerja-pekerja mahir dan separuh mahir yang berkelayakan,” katanya.
Katanya, program kerjaya itu juga dilihat mampu membantu memastikan tenaga kerja tempatan akan sentiasa dilengkapi kemahiran terbaik dan sepadan dengan kemahiran yang diperlukan oleh pihak industri, selain membantu mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke luar ECER dan mendorong anak watan Pahang yang terlatih dan mahir untuk kembali berkhidmat di negeri ini.

(GPMS Pahang berhasrat untuk mewujudkan one-stop centre dan pusat kordinasi graduan dgn ECER dan terbaru kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja sedang dirangka untuk memastikan perencanaan membantu graduan menganggur dapat dilaksanakan selaras dengan credos GPMS - Responsif Terhadap Isu...}

Wednesday, December 16, 2009

PROGRAM PERSEDIAAN TEMUDUGA DAN MENGURUS KERJAYA BERSAMA JTK


PROGRAM PERSEDIAAN TEMUDUGA DAN MENGURUS KERJAYA BERSAMA JABATAN TENAGA KERJA PAHANG
ANJURAN JTK DENGAN KERJASAMA GPMS PAHANG DI KIPSAS PADA 20 DISEMBER 2009 (AHAD)
____________________________________

8.OOpg Pendaftaran peserta

9.00pg Senario Pasaran Kerja Semasa

11.00 pg Persediaan Menghadapi Temuduga
Makan Tgh / Solat

2.30 ptg Cara-cara membuat Resume

3.30 ptg Bengkel Membuat Resume

4.30 ptg Majlis Perasmian Penutup oleh
Encik Sazali Keteh, Pengarah JTK Pahang

Thursday, December 10, 2009

GPMS buat laporan POLIS terhadap KULASEGARAN !


Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini membuat laporan di Balai Polis Sentul berhubung kenyataan Naib Pengerusi DAP, M. Kulasegaran yang terus mempersoalkan perihal ketuanan Melayu.

Laporan polis itu dibuat oleh Presiden GPMS, Jais Abdul Karim yang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kira-kira pukul 10 pagi ini ditemani beberapa ahli gabungan itu.

Menurut Jais, apa yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Ipoh Barat itu dilihat satu kenyataan berbaur hasutan yang boleh menimbulkan suasana tidak selesa di negara ini.

Katanya, kenyataan Kulasegaran itu turut termaktub dalam lima perkara yang boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan.

"Sehubungan itu, GPMS hari ini membuat laporan agar pihak polis dapat menjalankan siasatan di bawah Akta Hasutan atas apa yang dikeluarkan oleh Kulasegaran.

"Kenyataan itu dilihat boleh menyebabkan perpecahan kaum dan mengakibatkan berlaku huru-hara dalam negara," katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan IPD Sentul di sini hari ini.

Kulasegaran pada 3 Disember lalu mengeluarkan kenyataan mempersoalkan perihal ketuanan Melayu kerana disifatkan tidak adil untuk kaum lain semasa sidang Parlimen.

Jelas Jais, GMPS turut menghantar memorandum bantahan kepada Kulasegaran di bangunan Parlimen hari ini.

Tuesday, December 8, 2009

Perlukah GPMS menjadi Non-Partisan?


Salah satu daripada agenda kepimpinan baru GPMS Pusat adalah menjadikan GPMS sebagai pertubuhan non-partisan? Apakah maksud sebenar non-partisan? Adakah selama ini GPMS partisan? Mengapa baru KINI?
Adakah dengan menyokong dasar2 kerajaan atau menyatakan pendirian sealiran dengan parti2 tertentu GPMS dilihat partisan?

Thursday, December 3, 2009

Bicarawara Tokoh : Pemikiran Aminuddin Baki


PENGAJIAN tinggi negara boleh dikatakan bermula lebih dari 60 tahun yang lalu apabila Suruhanjaya Maclean menerbitkan Penyatanya pada 17 Jun 1939. Suruhanjaya tersebut menyatakan hasrat untuk menyatukan dua institusi - Raffles dan King Edward VII Medical College - yang telah ditubuhkan sebelum itu menjadi sebuah "University College Malaya" ataupun Universiti Kolej Malaya.

Sir William Maclean, pemegang ijazah doktor falsafah, berpendapat bahawa masanya belum tiba untuk ditubuhkan sebuah universiti di Singapura, yang pada ketika itu sebahagian dari Malaya di bawah jajahan Inggeris.

Namun oleh kerana peperangan cadangan tersebut ditunda sehinggalah pada 1943, apabila satu lagi surahanjaya ditubuhkan yang mengulangi hasrat yang sama. Kali ini Suruhanjaya Asquith berjaya menyaksikan penubuhan Kolej Universiti tersebut sehinggalah pada pada tahun 1947 apabila ia dinaik taraf kepada sebuah universiti penuh.

Ini adalah ekoran laporan Suruhanjaya Carr-Saunders yang mencadangkan bahawa Malaya wajar mempunyai universitinya sendiri. Profesor Carr-Saunders yang merupakan pakar dalam bidang pendidikan menyarankan tiga aliran dimuatkan dalam institusi pengajian tinggi tersebut: aliran sastera, sains dan perubatan.

Ini sudah tentunya berpandukan kepada kolej perubatan yang telah ditubuhkan sejak tahun 1905, dan juga Raffles Colleges yang ditubuhkan pada 1929.

Maka pada 8 Oktober 1949, tertubuhlah dengan rasminya sebuah universiti bergelar "University of Malaya" berikutan perisytiharan yang dibuat oleh Cancelor pertamanya Malcolm MacDonald di Dewan Raffles College, Singapura. Antara intipati petikan ucapannya berbunyi: "Marilah hari ini kita tubuhkan dengan baik dan suci hati universiti ini. Marilah kita nyalakan dan angkat tinggi obor pengetahuan, obor kebenaran, obor kebajikan dan obor kecantikan dari turun-temurun, dan menyadupadukan manusia dalam ikatan kasih mesra terhadap makhluk Tuhan."

Dengan kata lain, satu lembaran baru bermula di tanah air yang bakal menentukan nasib dan masa hadapan bangsa dan negara yang dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu ketika itu.

Antara yang mengalukan perkembangan ini adalah wira pendidikan negara yang pernah menjejak kaki di universiti tersebut sewaktu ia diisytiharkan. Allahyarham Aminuddin Baki setelah lulus dari Raffles College pada Jun 1949 terus diterima masuk mengikuti program sarjana muda sastera.

Beliau lulus pada tahun berikutnya dengan ijazah Bachelor of Arts dan terpilih pula melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah dengan kepujian. Beliau kemudian ditawarkan Queen's Scholarship untuk ke United Kingdom, antara tahun 1951-1952.

Aminuddin Baki yang juga pernah menjadi pengasas dan Yang di Pertua GPMS (ketika itu, Gabungan Penuntut-penuntut Melayu Semenanjung dan Singapura) ada menulis: "Memanglah telah diakui dunia, sebuah universiti mestilah bebas mentadbir dirinya sendiri; ia harus sebagai satu pertubuhan yang tidak dikongkong oleh kerajaan, supaya ia dapat dijadikan satu tempat bagi mempelajari segala perkara secara objektif, walaupun perkara itu berlawanan dengan dasar pemerintah."

"Sebab pun dikehendaki kebebasan yang demikian adalah kerana hanya dari segala pelajaran itulah sahaja kebenaran mungkin didapati. Sebagaimana tuntutan itu Universiti Malaya adalah satu pertubuhan yang berkuasa sendiri dalam urusannya dan berkuasa buat mengambil segala langkah-langkah yang selaras dengan perlembagaannya. Satu pertubuhan yang dipunyai oleh ramai, dibina oleh ramai, dan bagi orang ramai," kata beliau.

Yang paling menarik adalah kata-kata mutiara ini dimuatkan dalam isu sulung lidah rasmi GPMS - Penuntut - keluaran April 1950. Ini sekali gus menampakkan kepemimpinan luar biasa Aminuddin Baki pada masa dan zaman di mana makna "university" itu masih samar-samar dan kabur seperti mana yang beliau cuba perjelaskan dalam penulisannya.

Allahyarham Aminuddin Baki yang kemudiannya menjadi seorang yang meneraju perkembangan pendidikan tanah air yang amat disanjung dan disegani telah pun mendahului apa yang kini mula dibincangkan semula selepas sekian lama beliau meninggalkan kita.

Ringkasnya, apa yang ingin beliau utarakan adalah apa yang kini diistilahkan sebagai "autonomi," dari pada kata Inggeris yang bermaksud "kebebasan untuk menentukan" termasuk dari segi tadbir urus, dari segi urusan kewangan, begitu juga dari segi perundangan.

Apalagi dari segi urusan ilmiah seperti mana yang diungkapkan oleh Aminuddin Baki hampir 60 tahun lalu. Kematangan anak muda ini wajar diteladani khususnya dalam mencerna maksud "autonomi" pada zaman ini sesuai dengan tuntutan di bawah perlembagaannya.

Apa yang jelas Perdana Menteri dalam ucapan belajawannya baru-baru ini telah pun mengangkat perbincangan tentang autonomi agar ia dijadikan salah satu landasan dalam kita membudayakan inovasi sebagai satu cara hidup. Ini sekali gus akan melonjakkan kedudukan negara dalam mencapai matlamat Wawasan 2020.

Tanpa autonomi, ataupun "dikongkong" seperti yang ditulis oleh Aminuddin, inovasi akan malap malah mati sama sekali. Ini telah terbukti apabila universiti dikenakan, baik disedari atau tidak, pelbagai bentuk peraturan, dasar pentadbiran, apalagi perundangan yang menidakkan apa yang dihasrat oleh Aminuddin dalam penulisannya.

Bayangkan sahaja para karyawan jika dibelenggu dengan segala macam rintangan sehinggakan membantutkan daya kreatifnya, sudah tentu menghampakan penghasilan karya yang bermutu.

Begitu jugalah dalam banyak hal yang lain, kerana "berkarya" itu sebenarnya membawa maksud "bekerja" - dan kongkongan yang dikenakan akan memberi gejala yang sama, dan hanya melebarkan kerenah birokrasi.

Secara keseluruhan, sedikit sebanyak ini telah dapat dikesan apatah lagi dalam usaha melonjakkan Malaysia ke tahap negara berpendapatan tinggi yang rata-rata berpaksikan kepada budaya ilmu dan inovasi.

Hakikatnya pembangunan yang hanya 'meminjam' akan ilmu dan inovasi orang lain sudah tidak lagi boleh menjamin masa hadapan kita. Yang amat menyedihkan adalah budaya 'meminjam' inilah yang semakin bermaharajalela di kalangan masyarakat Malaysia apabila mereka menghadapi ketandusan idea-idea baru.

Yang lebih malang lagi gagasan Wawasan 2020 sepatutnya didorong oleh prinsip 'acuan kita sendiri' yang sering dikumandangkan pada peringkat awal pelaksanaannya kian luntur dan diganti dengan budaya ikut-ikutan, kadang kala secara membabi buta sahaja. Episod "maling-sia" baru-baru ini bagaikan kemuncak kepada budaya tersebut.

Akibatnya kita menjadi masyarakat yang malas berfikir, bukan kerana kita kurang kreatif, tetapi semata-mata kerana kita lebih gah dengan cipta-cipta dan rekaan orang lain. Lantas masyarakat kita menjadi masyarakat lambakan, termasuk barangan tiruan, ijazah palsu, mahupun jolokan palsu asalkan saja ia berjenama dan berstatus, seolah-olah mengisi jiwa yang agak kosong. Bagi sebuah masyarakat yang dikatakan telah 'merdeka' tidak ada kontradiksi yang lebih buruk dari ini.

Oleh yang demikian, mahu tidak mahu pemupukan inovasi wajar diterajui oleh autonomi yang dipenuhi dengan rasa tanggungjawab dan beramanah (akauntabiliti) agar ia tidak disalahgunakan untuk memporak-perandakan.

Di atas sebab itu jugalah keluhuran berilmu dan berhemat lagi berwibawa menjadi landasan mutlak dalam menyalakan obor kebenaran. Kesemua ini memerlukan sifat kejujuran sebagaimana yang dicerminkan oleh Allahyarham Aminuddin Baki, semoga Allah mencucuri Rahmat keatas rohnya. Amin.

Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Naib Canselor USM dan Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia.

Monday, November 30, 2009

Modul BTN bersifat inklusif selaras Gagasan 1Malaysia- GPMS


Kurikulum Biro Tatanegara (BTN) akan dirombak bagi mencerminkan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata, Kabinet telah membuat keputusan untuk mengubah kurikulum tersebut supaya bersifat lebih inklusif dan tidak membelah bahagikan rakyat Malaysia.

"BTN mesti dirombak bagi menampakkan kehendak Perdana Menteri yang memperjuangkan semangat 1Malaysia.

"Saya percaya BTN telah diarah oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) untuk menukar kurikulumnya,"katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Isu ini timbul berikutan kerajaan negeri Selangor melarang penjawat awam dan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) miliknya daripada mengikuti kursus Biro Tatanegara (BTN).

Kerajaan negeri menerusi Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali mengumumkan arahan mengharamkan mana-mana pelajar institusi pengajian, kakitangan awam termasuk anak-anak syarikat yang terletak di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu dibuat kerana menuduh kursus tersebut adalah usaha BN untuk melakukan proses doktrinisasi yang kononnya memupuk sifat perkauman dan didakwa boleh memecahbelahkan rakyat di negara ini.GPMS Pahang difahamkan kerajaan-kerajaan yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat turut mengikut jejak langkah ini, yang terkini kerajaan Pulau Pinang.

Sebaliknya, kerajaan Selangor akan memperluaskan program Kerohanian, Fizikal, Intelektual, Emosi dan Sosial (SPIES) sebagai pengganti kursus Biro Tata Negara (BTN) yang diharamkan oleh kerajaan negeri itu Rabu lalu.

Bagaimanapun, program SPIES tidak terlepas daripada dikaitkan dengan kepentingan peribadi apabila sebuah laman blog, http://mykmu.net menyiarkan laporan bahawa ia bakal menguntungkan beberapa penceramah motivasi yang rapat dengan pemimpin pakatan pembangkang di negeri itu.Al-maklum la siapa tak kenal Dato Dr Hassan Ali yang terkenal dengan konsultan motivasi AKRAB...

Laporan itu mengaitkan individu yang bakal menerima keuntungan tersebut termasuk penulis ucapan kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selain mengatakan kerajaan negeri memberi peruntukan besar kepada program tersebut.Akhirnya, ibarat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri juga...

Hakikatnya, pembangkang ketandusan ide dan bangkrap modal politik, maka dijajanya isu murahan wal picisan ini, sedangkan bos besarnya lebih maha mengetahui rencah resepi di dalam adunan program BTN - menyemarakkan semangat patriotisme ke arah pembentukan negara bangsa...! (Kenyataan Media GPMS Pahang)

Tuesday, November 24, 2009

PEMBENTANGAN BAJET NEGERI PAHANG 2010 : Mesra Belia


Petikan Ucapan YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Adnan Yaakob yang menyentuh tentang keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap belia;

"Kerajaan juga akan memberikan perhatian kepada kegiatan pertubuhan bukan kerajaan. Selama ini pun banyak peruntukan yang disarlukan melalui peruntukan Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dan juga wakil-wakil rakyat yang disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan ini.

Kerajaan Negeri akan mendekati pertubuhan bukan kerajaan ini dengan cara mengadakan perjumpaan dan menganjurkan kegiatan yang memberikan faedah kepada pertubuhan dan ahli-ahli mereka.

Kegiatan yang bercorak kemasyarakatan dan kebajikan seperti bergotong royong, kempen kesedaran akan digalakkan dengan kerjasama yang akan diberikan oleh Kerajaan Negeri.

Program yang melibatkan belia akan diberikan fokus pada kali ini. Ini adalah untuk menjamin bahawa belia-belia tidak terabai dan mereka akan merasakan bahawa mereka adalah sebahagaian daripada kerajaan dan negeri.

Program yang melibatkan kegiatan belia akan dilipat gandakan dan apabila sesuai kerajaan akan menghulurkan bantuan yang sewajarnya. Adalah diharapkan dengan cara ini golongan belia akan sentiasa terlibat dalam kegiatan yang memberikan faedah kepada mereka sendiri.

Saya sendiri bercadang akan berjumpa dengan golongan belia yang sekarang ini digelar sebagai mat rempit. Dalam perjumpaan ini nanti saya akan memberikan nasihat dan pandangan yang sesuai untuk difikir dan ditimbang oleh mereka.

Ini akan membuktikan kepada mereka bahawa kerajaan tidak meminggirkan mereka sama sekali. Mungkin dengan cara ini kegiatan mereka yang membahayakan diri mereka dan pengguna jalanraya yang lain akan dapat dihapuskan ataupun dikurangkan.."

Sekitar Majlis Perasmian PAT 55



Monday, November 23, 2009

Naib Pengerusi GPMS Pahang menang VP!


SHAH ALAM 22 Nov. - Pemilihan barisan kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini menyaksikan Naib Presiden I, Jais Abdul Karim dilantik secara automatik sebagai presiden baru pertubuhan pelajar itu selepas penyandangnya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan tidak mempertahankan jawatan itu semalam.

Turut dilantik ialah Naib Presiden II, Rosdi Amir sebagai timbalan presiden baru pertubuhan itu selepas keputusan jawatankuasa kepimpinan baru GPMS bagi sesi 2009/2012 diumumkan pada pukul 7 malam tadi.

Pelantikan Jais dan Rosdi diputuskan ekoran tiada pencalonan dikemukakan untuk kedua-dua jawatan.

Berikutan itu hanya empat jawatan Naib Presiden serta enam Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pertubuhan itu dipertandingkan dalam pemilihan tersebut.

Pemilihan jawatankuasa kepimpinan baru GPMS diadakan kira-kira pukul 11 pagi ini melibatkan 539 orang perwakilan pertubuhan itu di seluruh negara sempena Persidangan Agung Tahunan Ke-55 GPMS di Dewan Sri Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Tiga Naib Presiden baru dipilih iaitu Pengerusi GPMS Perak, Hasnil Fairus Hushin Amri; Timbalan Pengerusi GMPS, Wilayah Persekutuan, Ezarudin Abdul Rahman; Yang Dipertua GPMS Kuala Lipis, Hishamuddin Abdul Rahman.

Pengerusi GPMS Kelantan, Rafidah Mohd. Ariffin juga dilantik Naib Presiden (Wanita).

Selain itu, jawatan ahli Majlis Tertinggi pula dimenangi oleh Ismadee Asmara Ishak, Mohd. Redzuan Mohamed Yusof, Mohd. Alif Anas Md. Nor, Khairul Adha Madzlan, Dr Hazzaini Hashim serta Azham Abara Ahmad.

Untuk jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap masing-masing dimenangi Hassanul Amir Abdul Halim dan Tajul Azmir Mustapha manakala jawatan Ketua Penerangan GPMS, kekal disandang oleh Irmohizam Ibrahim.

Sementara itu, Jais, 36, ketika ditemui selepas pengumuman tersebut berkata, beliau sedar akan tanggungjawab besar dan penuh cabaran yang menantinya.

Bagaimanapun katanya, beliau telah mengatur perancangan awal bagi meneruskan hala tuju GPMS yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

Malah, bersama kepimpinan baru, GPMS akan mengkaji had keahlian sebelum meminda konsep keahlian yang baru selain mahu menjadikan GPMS sebuah pertubuhan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

"Tiga penanda aras ditetapkan iaitu supaya pertubuhan ini tidak berpihak pada mana-mana parti politik sebaliknya menjurus kepada kepentingan tahap pendidikan masyarakat Melayu.

"GPMS sebenarnya juga dikenalpasti sebagai gedung untuk melahirkan pemimpin dan untuk itu juga, kami akan meneruskan tradisi melahirkan lebih ramai mahasiswa yang berkebolehan untuk menjadi pemimpin. Malah, kami juga akan memperkasakan pelbagai program di peringkat cawangan bagi memperkuatkan lagi GPMS," ujarnya.

Jais seorang perunding motivasi memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Beliau menyertai GPMS sejak 1988 sebelum dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi pada tahun 1993 serta Naib Presiden 1 GPMS (2006).

Saturday, November 14, 2009

Pemimpin muda teraju GPMS


KUANTAN – Barisan kepimpinan bawah usia 40 tahun menerajui Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang bagi sesi 2009 hingga 2012 selepas berlangsungnya Mesyuarat Agung dan Pemilihan 8 November lalu.(Klik)

Pengerusinya, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, penetapan peringkat umur berdasarkan kehendak Pendaftar Belia (ROY) mengikut Akta Pertubuhan Belia.

Menurutnya, secara automatik jawatan Yang Dipertua dan jawatankuasanya di 19 cawangan GPMS seluruh negeri mengalami proses perubahan yang akan digantikan dengan penyandang baru berusia bawah 40 tahun.

“Dalam masa sama, setiap program pada masa hadapan akan dilaksanakan dan diuruskan kepimpinan baru. Setiap jawatan dalam GPMS di peringkat cawangan atau negeri adalah berumur bawah 40 tahun.

“Semua ini bagi mengikut kehendak ROY yang mahu GPMS diterajui generasi muda yang mempunyai pelbagai idea dan kreativiti bagi meneruskan kesinambungan GPMS yang ditubuhkan sejak 61 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau yang dilantik Presiden GPMS, Datuk Seri Rizal Merican Naina Merican menggantikan Mustapa Long berkata, fokus utama untuk menyusun semula struktur GPMS Pahang selain memperkasa Pusat Bimbingannya di Inderapura.

Selain itu, GPMS juga menyasarkan 3,000 ahli baru pada peringkat permulaan bagi menggantikan ahli lama yang berusia lebih 40 tahun dibantu jawatankuasa baru.:

“Pusat bimbingan GPMS di Inderapura menjalankan pelbagai program seperti motivasi, latihan, bimbingan, kelas tuisyen dan kemahiran belajar. Jadi kita akan mantap perkara ini menerusi jawatankuasa baru.

“Saya bersama jawatankuasa yang dilantik mempunyai perancangan untuk menjenamakan dan meremajakan GPMS Pahang bersesuaian dengan moto ‘responsif terhadap isu, inklusif untuk semua’,” katanya.

Dalam masa sama, GPMS juga akan membantu mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan masyarakat luar bandar dan meningkatkan kesedaran kepentingan 2M (menulis dan membaca).

Justeru, sokongan Kerajaan Negeri dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pelajaran dan Yayasan Pahang amat diperlukan untuk memantapkan perancangan pertubuhan itu.

“Saya ingin meminta kepada golongan profesional muda supaya sertai gabungan ini kerana ia sedang berusaha untuk wujudkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang dapat menjaga kepentingan pelajar Melayu,” katanya.

SAF KEPIMPINAN GPMS PAHANG SESI 2009-2012


PENAUNG : Y.BHG DATIN SRI DATO’HAJJAH JUNAINI BT KASSIM


JEMAAH PENASIHAT : YH DATO SAARIAH SAAD (PENGURUS BESAR YAYASAN PAHANG)

(Cadangan) : YB DATO HAJI MOHD SAHFRI BIN ABD AZIZ (EXCO

KERAJAAN NEGERI PAHANG)

: YBHG ENCIK MUSTAPA LONG (PEGAWAI KHAS MB

PAHANG)


PENGERUSI : ENCIK WAN EMRIL NIZAM BIN WAN EMBONG - (Pensyarah KIPSAS)

TIM.PENGERUSI : YB NOROL AZALI BIN SULAIMAN (ADUN Guai)

NAIB PENGERUSI 1 : ENCIK HISHAMUDDIN BIN ABD RAHMAN (Guru)

NAIB PENGERUSI 2 : ENCIK JOHARI BIN BUDIN @ MAHASAN (Guru Kanan)

NAIB PENGERUSI 3 : ENCIK AZRUL KHAIRI BIN MUHAMAD (Pengurus Bhg Mentiga Bhd)

BENDAHARI : ENCIK KHAIRULNIZAM BIN DATO’ ABU DAHARI (Usahawan)

KETUA SEKRETARIAT : PUAN NANI MASIDA BINTI NORDIN (Pensyarah IKIP)

WANITA

SETIAUSAHA : ENCIK NASRUL ISYAM BIN ABDUL HAMID (Guru)

PEN. S/U : CIK FATONAH TAHIDUL ASMAK (Eksekutif Bank Islam) - Cadangan

KETUA PENERANGAN : ENCIK MUHAMMAD FIKRI BIN ANUAR (Mahasiswa)


AHLI JAWATANKUASA :

1.ENCIK SHAHARUDDIN BIN AHMAD (Pegawai Khas YB Dato Ahmad Maslan)

2.CIK KHAIRUL NOORMAIDAH BT ZALI (Gadis Melayu/ Eksekutif TV9)

3.ENCIK KAMALI FAUZI BIN ABDUL RAZAK(Timb. Pengarah BTN)

4.ENCIK ALI BIN ABDUL RAZAK (Pen. Pengarah BTN Putrajaya)

5.ENCIK MOHD JOHARI BIN AWANG SAZALI (Pen Pengarah BTN)

6.CIK SIDA TANTIANA BINTI SARIAT (AJK Puteri Pekan)

7.ENCIK ROHAIFI AZRI BIN ROMAIHA (Usahawan)

8. ENCIK KAMIL HAKIMI ABDUL HAK (Guru ) - Cadangan

9. ENCIK SHANUL HISYAM SABRI (Eksekutif Karangkraf)- Cadangan

10. ENCIK ZULHAFNI AHMAD -(Yayasan Pahang) - Cadangan

11. ENCIK HARIS SALLEH HAMZAH (Peguam) - Cadangan


SETIAUSAHA KERJA : PUAN RAHILAH NOR HANIM BINTI MOHAMED NOR


EX OFFICIO : PENGARAH PELAJARAN NEGERI PAHANG

PENGARAH JABATAN BELIA DAN SUKAN NEGERI PAHANG

Thursday, November 12, 2009

Khaled Bentang Lapan Agenda Pembangunan KPT Untuk RMK-10


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membentangkan lapan agenda utama yang akan membawa perubahan besar kepada lanskap pendidikan tinggi negara untuk dirangka dan dilaksanakan oleh pihak kementerian dan agensi-agensi di bawahnya dalam Rancangan Malaysia Ke-10 yang akan bermula tahun hadapan.

Dengan tema “Menjamin Masa Depan Malaysia” atau “Securing Malaysia’s Future”, beliau mahu pihak kementerian mengurangkan penumpuan kepada pembangunan fizikal tetapi sebaliknya menumpukan peruntukkan yang besar ke atas pembangunan program dan juga penyelidikan.

Hanya dengan cara ini katanya, institusi pengajian tinggi negara - sama ada awam mahu pun swasta dapat melonjakkan Malaysia ke peta dunia.

Peruntukkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) berjumlah RM18 bilion.

Berucap di hadapan semua naib canselor, pegawai-pegawai tinggi kementerian, ketua pegawai eksekutif agensi dan juga politeknik serta kolej komuniti dalam Bengkel RMK-10 KPT di Nilai Spring Resort dekat sini, Mohamed Khaled menyenaraikan lapan agenda KPT seperti berikut;

Agenda 1: Menonjolkan Potensi Setiap Rakyat Malaysia melalui penglebaran akses kepada pendidikan tinggi dengan peranan yang lebih besar diberikan kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)

Agenda 2: Pelaburan Dalam Sains & Teknologi di mana dana penyelidikan untuk universiti ditambah secara siknifikan dalam RMK-10 malah bagi setiap projek yang berjaya mendapat geran penyelidikan dari industri akan dipertimbang untuk diberikan ‘matching grant’ oleh kerajaan.

Agenda 3: Menjadikan Malaysia Sebagai Pusat Perkembangan Pengetahuan & Inovasi iaitu dengan meneroka pasaran-pasaran baru dan mencari pelajar terbaik luar negara untuk datang belajar ke Malaysia.

Agenda 4: Institusi Penyelidikan & Autonomi, iaitu masanya telah tiba untuk kita menjadikan pusat perubatan dan penyelidikan institusi pengajian tinggi kita sebagai entiti bebas tetapi bersekutu dengan universiti masing-masing sepertimana John Hopkins Medical Centre dan Standford.

Agenda 5: Memperkasa Ijazah Kedoktoran & Pasca Doktoral, iaitu dengan menambah dana latihan di bawah RMK-10 bukan sekadar untuk membiayai kakitangan akademik belajar di luar negara tetapi juga menggalakkan mereka meneruskan pengajian dalam negara secara agresif.

Agenda 6: Mewujudkan Konsortium Bersepadu Projek Penyelidikan Berimpak Tinggi. Sebagai permulaan pihak KPT akan mengenalpasti enam (6) konsortium projek penyelidikan berdasarkan enam kluster penyelidikan dan mengajukan permohonan kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada inisiatif KPT dalam RMK-10.

Agenda 7: Generasi Muda Malaysia Yang Dinamik dan Progresif iaitu mengesyorkan KPT untuk memulakan langkah awal dengan memperuntukkan dana untuk menonjolkan kreativiti, bakat dan potensi pelajar Malaysia yang muncul dengan idea besar dan berani.

Agenda 8: Universiti & Model Alternatif Kewangan. KPT mesti serius dalam memastikan IPTA dapat dan boleh menguruskan kewangannya secara mandiri sepertimana di United Kingdom yang mana hampir kesemua universiti dimiliki oleh kerajaan tetapi pada masa yang sama bebas merencanakan pengurusan masing-masing.

Dalam ucapannya itu juga, tidak kurang daripada empat kali Khaled menekankan betapa di bawah RMK-10, soal pembangunan fizikal seperti pembinaan kampus baru,bangunan baru, prasarana atau membina kampus yang lebih besar tidak harus menjadi keutamaan universiti.

Sebaliknya kata beliau, institusi pengajian tinggi harus memberi fokus yang lebih besar dan serius kepada pembangunan intelektual kerana ia mampu melonjak nama Malaysia di peta dunia.

Ada universiti yang sudahpun berura-ura untuk memohon peruntukkan pembangunan fizikal sehingga mencecah RM4 bilion yang mana permohonan seperti ini bukan sebahagian daripada fokus baru KPT di bawah RMK-10.

“Apa yang telah saya syorkan ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Apa yang cuba saya nyatakan kepada semua staf kementerian dan universiti ialah RMK-10bukanlah sekadar soal pembangunan fizikal semata-mata tetapi juga pembangunan intelektual...di situlah sebahagian besar pelaburan kita perlu pergi pada masa hadapan,” katanya kepada para pemberita selepas itu.

Mahasiswa DiUTAMAkan, RM10k didahulukan...


Kerajaan Pahang akan terus menghantar pelajarnya melanjutkan pengajian ke Indonesia walaupun mereka terdedah dengan kejadian gempa bumi di negara itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, ini kerana kos pengajian terutama dalam jurusan perubatan di republik itu jauh lebih murah berbanding negara lain.

‘Kita akan terus menghantar pelajar ke Indonesia kerana perbelanjaan pendidikan terutama dalam bidang perubatan jauh lebih murah daripada tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan RM130,000 kepada 13 pelajar Pahang yang menuntut di Universiti Andalas, Padang, Indonesia yang menjadi mangsa gempa bumi pada 30 September lalu.

Pada majlis itu, setiap pelajar terbabit menerima RM10,000.

Pada 30 September lalu, lebih 1,000 terkorban dan cedera parah akibat kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter yang melanda Padang.

Adnan berkata, kerajaan negeri mengambil keputusan menyalurkan bantuan itu selepas menerima maklumat mengenai pelajar Pahang yang menjadi mangsa gempa bumi di Padang menerusi Persatuan Pelajar Anak-Anak Pahang di Universiti Andalas.

Bantuan itu, kata beliau, bukan bertujuan membayar ganti rugi terhadap kerugian pelajar terbabit sebaliknya mengambil kira trauma yang dialami mereka.

Monday, November 9, 2009

Peralihan Kuasa GPMS Pahang Lancar...










Pengerusi GPMS Pahang , Mustapa Long menyerahkan fail pengurusan sebagai simbolik penyerahan kuasa dan amanah teraju kepimpinan kepada Sdr Wan Emril Nizam sambil diperhatikan oleh S/U GPMS Pahang, Shaharir Abdulah dan disaksikan Naib Presiden Kebangsaan, Jais Abd Karim dan Rosdi Amir

Saturday, October 31, 2009

8,000 buta huruf di Pahang?


Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Pahang memandang serius isu buta huruf di Pahang sepertimana yg didedahkan oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Pahang, Dato Abdul Aziz Abdul Latif yang disiarkan di muka hadapan akhbar Sinar Harian bertarikh 31 Oktober 2009 bermauduk "8,000 buta huruf".
Menurut EXCO GPMS Kebangsaan merangkap Naib Pengerusi GPMS Pahang Sdr Wan Emril Nizam, walaupun terdapat kebarangkalian masalah buta huruf ini mencatatkan kadar yang tinggi di kalangan 'Orang kita' (Orang Asli), namun ia tidak boleh dipandang enteng oleh kaum lain kerana menurut beliau, sehingga Julai tahun 2009, seramai 4,091 murid Tahun Satu, 2,789 Tahun Dua dan 1,961 Tahun Tiga dikesan mengalami masalah itu.Golongan pendidik dan ibu bapa wajar berbincang dan duduk semeja (melalui medium PIBG) mencari jalan penyelesaian dan memikirkan pendekatan tuntas merungkai isu ini. 'Aspirasi dan usaha untuk menjadi negara maju akan terbantut sekiranya masalah ini tidak diselesaikan. Laporan Unesco tentang tahap literasi rakyat malaysia berbanding negara jiran amat membimbangkan,' ujar beliau. (rujuk Human Development Report 2009 m/s 171)
'Melentur buluh biarlah dari rebungnya", sewajarnya asas literasi ini diberi penekanan ketika peringkat prasekolah seperti di kebanyakan negara maju. Justeru, modul 2M perlu diperkasakan dan diperkemaskan di peringkat prasekolah supaya pelajar-pelajar ini didedahkan dengan asas 2M. Ini kerana , membaca adalah jambatan ilmu, tanpa kemahiran ini mereka akan terus tercicir daripada menyelami ke dasar keilmuan dan keintelektualan.
GPMS Pahang juga berhasrat utk bekerjasama dgn pihak Jabatan Pelajaran Pahang untuk membantu golongan pelajar yang 'tercicir' ini, dan bercadang mengadakan seminar dalam masa terdekat utk mencari pendekatan terbaik. Guru-guru juga disaran mengadakan kelas tambahan untuk membantu pelajar yg lemah, dan menyeru menjadikan ini satu jihad sosial membasmi kemiskinan intelek dan 'ilm ini daripada terus membarah dlm sistem pendidikan kelas pertama negara.

(Pihak GPMS mengalu-alukan sebarang sumbang saran ide dan cadangan program yang perlu dianjurkan untuk membantu golongan ini demi kelangsungan pendidikan anak bangsa..)

Monday, October 26, 2009

Bajet 2010 responsif kepada suara mahasiswa



Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin merupakan bajet responsif kepada suara mahasiswa kerana sebahagian besar peruntukan adalah bagi perkara-perkara yang asalnya disuarakan oleh golongan itu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara tersebut disuarakan kepada kerajaan melalui beberapa saluran seperti Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Saifuddin, ia juga disuarakan secara langsung dalam pertemuan antara golongan mahasiswa dengan Perdana Menteri.

Beliau berkata, melalui MPPK yang dianggotai oleh semua perwakilan pelajar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), mahasiswa telah menyuarakan perkara-perkara yang menyentuh kehidupan mereka dan juga masalah negara.

Kita minta mahasiswa memanfaatkan peruntukan tersebut sebaik-baiknya. Pada masa sama kita minta mereka terus bersuara menggunakan landasan sedia ada,” katanya.

Dalam Bajet 2010, Perdana Menteri antara lain mengumumkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukar kepada biasiswa bagi pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama.

Petikan Bajet 2010 yang menyentuh tentang kebajikan pelajar;

"Menjaga Kebajikan Golongan Pelajar Selain itu sebagai galakan, kerajaan berhasrat memberi ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan. Untuk ini, kerajaan akan:

Pertama
: Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik atau crème de la crème berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia;

Kedua:
Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula 2010;

Ketiga:
Kerajaan prihatin terhadap kebajikan golongan pelajar terutama mereka yang datang daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah. Untuk itu kita akan memberi diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar. Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma boleh diperoleh dari KTMB.
Diskaun tambang ini bermula 1 Januari 2010; dan
Keempat
: Menawarkan pakej netbook, termasuk perkhidmatan broadband percuma, kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun. Pakej ini adalah jauh lebih murah daripada harga semasa di pasaran dengan prioriti diberikan kepada pelajar tahun pertama dan dari keluarga berpendapatan rendah. Sebagai permulaan, pakej ini akan ditawar oleh Telekom Malaysia kepada 100,000 pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari 2010."

(MABRUK!!..Pihak GPMS Pahang ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Dato Saifudin Abdullah, Timb Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Temerloh di atas pengurniaan darjah kebesaran DSAP sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, dan memanjangkan perutusan tahniah kepada Setiausaha Sulit Perdana Menteri Kekanda Ybhg Dato Poad Jelani (bekas Ketua Penerangan GPMS Kebangsaan) yang menerima darjah DIMP.)

Sunday, October 18, 2009

MB PRIHATIN: Mangsa Gempa Bumi Padang diBela...

Pertemuan wakil mahasiswa anak Pahang yang menuntut jurusan Perubatan di UNAND Padang , MAMPAN dan Alumni bersama YAB MB Pahang ...1Malaysia, 1Pahang
YAB Menteri Besar Pahang menyatakan komitmen kerajaan Negeri Pahang untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa gempa bumi yang terdiri di kalangan mahasiswa anak Pahang yang mengambil jurusan perubatan di UNAND (universiti Andalas)
Pengerusi GPMS Pahang (Pegawai Khas MB), Encik Mustapa Long mendengar masalah dan keluhan daripada wakil pelajar Perubatan anak Pahang, Sdr Erhan & Sdri Nadiya tentang anggaran kerugian yang ditanggung oleh siswa-siswi akibat gempa bumi di Padang baru-baru ini. (sambil diperhatikan oleh Presiden MAMPAN dan Naib Pengerusi GPMS )

Thursday, October 15, 2009

Bahasa Melayu @ Bahasa 1Malaysia?



Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mencadangkan tiga perkara penting untuk diberi perhatian kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Tiga langkah itu adalah mengembalikan istilah bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selain meminta pertimbangan kerajaan memberi kuasa penuh kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menguatkuasakan undang-undang atau kesalahan bahasa yang diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Satu lagi langkah yang disyorkan gabungan itu adalah meminta para pemimpin menunjukkan teladan baik dengan menggunakan bahasa Melayu yang tepat terutama ketika bercakap kepada media.

Timbalan Presiden GPMS, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tiga langkah itu perlu diberi perhatian dalam usaha menjulang martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, istilah bahasa Melayu perlu dikembalikan semula sekali gus mengikis penggunaan istilah bahasa Malaysia yang tidak tepat seperti diamalkan sekarang.

"Pada masa sama, GPMS meminta Kabinet berbincang semula untuk mengembalikan istilah bahasa Melayu yang lebih tepat. Kita harap semua pihak tak kira kerajaan atau rakyat lebih serius melaksanakan dasar dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

"Semua saranan ini bersempena sambutan Bulan Bahasa Peringkat Kebangsaan sepanjang bulan ini dan kalau boleh sambutan biarlah bermula 1 Oktober seterusnya ke bulan-bulan lain, bukan terhad bulan Oktober saja," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syed Anuar menjelaskan, DBP sewajarnya diberi kuasa meluluskan penggunaan bahasa terutama pada papan tanda atau iklan kerana walaupun telah mendapat kelulusan PBT, kesalahan penggunaan bahasa masih ketara.

Menurutnya, penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda atau iklan biarlah tepat tanpa perlu dicampur dengan bahasa asing.

"Kita sedia maklum, PBT mempunyai kuasa berkaitan papan tanda atau iklan tetapi biarlah mereka lebih cakna dan sensitif mengenai penggunaan bahasa itu sendiri demi memartabatkan bahasa kebangsaan," tegasnya.

Mengenai bahasa yang digunakan oleh pemimpin, beliau berkata, setakat ini hanya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim satu-satunya menteri yang menggunakan bahasa Melayu yang tepat kepada media.

Katanya, ia penting memandangkan kata-kata seseorang menteri akan menjadi ikutan rakyat termasuk pelajar dan golongan muda dan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dapat membantu mengelak timbul kekeliruan.

(Tok Adi berpandangan sudah tibalah masanya Bahasa Melayu dimartabatkan selaras dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Negara, no kompromi, jangan perjuangan ini diambil alih oleh pihak2 tertentu yang mempunyai seribu satu muslihat dan agenda tersembunyi menggugat kemuliaan Bahasa ibunda kita...biarlah gelaran pejuang bahasa kembali ke pangkuan parti keramat dan pertubuhan GPMS}

Thursday, October 8, 2009

Tahniah UM! Inspirasi Manifestasi Aspirasi


Universiti Malaya (UM) meletakkan Malaysia semula dalam senarai 200 universiti terbaik oleh Times Higher Education (THE)-QS World University Rankings 2009 selepas melonjak sebanyak 50 tangga tahun lalu ke tangga 180 tahun ini.

Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli berkata, ranking itu bukan sahaja mengenalpastikan ranking tertinggi universiti di dunia, bahkan universiti yang cemerlang dalam subjek-subjek utama tertentu, menjadi sasaran para majikan, menghasilkan penyelidikan terbaik, melabur dalam pengajaran serta mempunyai profil antarabangsa.

Universiti tempatan lain yang turut meningkat rankingnya ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menduduki tangga 320 berbanding 356 tahun lalu.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) jatuh antara satu hingga 41 tangga kepada kedudukan ke-291, 314 dan 345 masing-masing.

Ketua QS Quacquarelli Symonds Ltd Intelligence Unit Ben Sowter berkata, kebangkitan semula UM dalam ranking 200 terbaik dunia adalah amat mengagumkan.

"Usaha kolektif universiti untuk menarik sejumlah besar para pelajar antarabangsa menunjukkan satu harapan yang progresif," katanya dalam satu temuramah emel.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu The Star bahawa kementerian menyedari universiti-universiti tersebut lemah dalam citation per faculty dan peer review.

Universiti Harvard sekali lagi mengungguli ranking THE-QS diikuti Cambridge, Yale, University College London, Imperial College, Universiti Oxford, Universiti Chicago, Universiti Princeton, Massachusetts Institute of Technology dan California Institute of Technology.

Institusi pengajian tinggi Asia yang mempunyai ranking tertinggi dalam senarai THE-QS adalah Universiti Tokyo (22), Universiti Hong Kong (24), Universiti Kyoto (25) dan National University of Singapore (30).

Naib Canselor UM Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon berkata kejayaan tersebut meningkatkan semangat dan motivasi semua staf dan pelajar agar lebih berusaha mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

"Pendefinisian semula Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk para akademik, inisiatif-inisiatif baru dilaksanakan dalam rangkaian antarabangsa, pengambilan staf dan para pelajar telah menghasilkan impak yang cepat dan positif," katanya.

Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Zaini Ujang berkata peningkatan dalam ranking universiti adalah ekoran strategi dalam perangkaian, kualiti, penyelidikan strategik, sinergi dan budaya organisasi.

THE-QS telah menunjukkan bahawa penyelarasan secara metodologi dan tinjauan dinamik akan mengurangkan markah secara signifikan untuk academic peer review and kriteria tinjauan majikan untuk tempoh tiga tahun bermula tahun 2008.

GPMS Pahang berharap agar kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada IPTA untuk meningkatkan kualiti dan prestasi institusi memanifestasi aspirasi.