Friday, July 24, 2009

Dey Nizar apa ni berbelit-belit!


Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menafikan beliau menghadiri upacara menyalakan lilin bagi memperingati Teoh Beng Hock di sini pada Jumaat lalu dan mendakwa Utusan Malaysia menyiarkan laporan yang salah.
Sebaliknya, bekas Menteri Besar Perak itu menegaskan, beliau hanya menghadiri sidang akhbar mengenai majlis menyalakan lilin anjuran DAP.
Ekoran itu, katanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib memberikan komen atas laporan berita yang salah.
''Dia (Harun) baca Utusan Malaysia yang lapor tidak betul, jadi dia komen atas laporan yang salah. Dengar betul-betul, saya tidak kata dia buat komen yang salah tetapi buat komen atas laporan yang salah.
''Saya tidak hadir upacara pemasangan lilin itu tetapi saya cuma hadir sidang akhbar mengenai pemasangan lilin itu dan gambar yang disiarkan adalah semasa sidang akhbar tersebut di pejabat DAP," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohammad Nizar mengulas kenyataan Harun bahawa beliau tidak sepatutnya hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan seperti laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini.
Selain kenyataan Harun, Utusan Malaysia turut menyiarkan gambar Mohammad Nizar berdiri di sebelah Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham sambil memegang lilin.
Malah kata Harun, Pas sendiri telah membuat garis panduan bahawa majlis-majlis yang meragukan tidak harus dihadiri para pemimpin serta ahli parti itu.
Pada masa sama, Harussani pula menyifatkan tindakan memegang lilin oleh masyarakat Islam sebagai tanda memprotes dan mengingati orang mati adalah haram di sisi agama kerana ia menyerupai ajaran Kristian.
Mengulas lanjut, Mohammad Nizar yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, beliau tidak menyalahkan Harun, Zambry mahupun Harussani kerana membuat komen terhadapnya itu.
''Bukan salah Zambry, Mufti Perak, Dewan Ulama Pas dan bukan salah sesiapa pun yang membuat komen kerana Utusan Malaysia buat laporan fitnah.
''Saya cuma kasihan kepada mereka kerana membuat komen atas laporan berita yang tidak betul," katanya.
Mohammad Nizar berkata, pemberita yang melaporkan berita salah itu membuat fitnah besar dan beliau akan menuntutnya semasa di akhirat. (Saman la kalau berani! Dah terang2 gambar dia pegang lilin, memang dah tak betul bekas MB Perak ni...dan Tok Guru akhirnya menunjukkan pendirian & pegangan kuatnya pada puak Erdogan Liberal, Alhamdulilah)

Thursday, July 23, 2009

Perhimpunan lilin apa tujuan sekalipun syirik - Pakar Akademik/Ulama



Pemimpin-pemimpin parti politik beragama Islam diingatkan supaya tidak menggadai kesucian agama serta akidah semata-mata mahu menarik sokongan masyarakat bukan Muslim.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohammad Yusoff Hussain berkata, tindakan mereka antaranya menyertai perhimpunan lilin bagi tujuan memperingati kematian, jelas merupakan salah satu upacara dalam agama Kristian.

Beliau berkata, pemimpin terbabit harus sedar bahawa penyertaan mereka dalam urusan agama lain boleh mencacatkan akidah dan jika itu yang berlaku, mereka wajib bertaubat.

"Saya bercakap bukan sebab Pas atau UMNO tetapi saya bercakap atas dasar hukum serta ketetapan dalam Islam. Sama ada mereka orang Pas atau UMNO jika mereka terlibat di dalam perhimpunan lilin, kesannya amat buruk.

"Saya bersetuju perbuatan ini boleh mencacatkan akidah atau dengan kata lain hukumnya syirik. Dalam perkara ini saya ingin membuat satu persoalan, adakah kita terlalu mengharapkan manfaat dunia yang bersifat sementara hingga sanggup menggadai agama sendiri,'' katanya di sini semalam.

Beliau mengulas trend menyalakan lilin oleh pihak tertentu bagi memperingati atau membantah satu-satu isu dan kebiasaannya ia dianjurkan oleh parti-parti politik.

Terbaru, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Dr. Mohammad Nizar Jamaluddin menyertai majlis menyalakan lilin bagi memperingati kematian Setiausaha Politik kepada Exco Selangor, Teoh Beng Hock di Ipoh, Jumaat lepas.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ketika mengulas isu tersebut meminta ulama dalam Pas mengeluarkan satu fatwa berhubung perbuatan yang dilakukan oleh Mohammad Nizar.

Dalam perkembangan sama Mohammad Yusoff yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, Islam tidak pernah melarang umatnya menziarah kematian yang melibatkan orang bukan Islam tetapi mereka tidak dibenarkan sama sekali terbabit dalam sebarang upacara berbentuk keagamaan.

"Kita perlu tahu membezakan antara urusan agama dan urusan masyarakat. Menziarah kematian orang bukan Islam adalah urusan masyarakat dan ia merupakan sesuatu yang amat digalakkan.

"Manakala perhimpunan lilin bagi tujuan memperingati kematian adalah urusan agama dan umat Islam dilarang keras daripada terlibat dengan upacara seperti itu,'' katanya lagi.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid pula menegaskan, umat Islam yang menyertai perhimpunan lilin bagi apa tujuan sekalipun telah melakukan syirik.

Beliau berkata, hukumnya jelas memandangkan perbuatan tersebut merupakan salah satu amalan dalam agama Kristian.

"Golongan pemimpin atau rakyat beragama Islam harus sedar bahawa tindakan mereka menyertai upacara seperti itu adalah sia-sia dan boleh mendatangkan mudarat terhadap pegangan iktikad seseorang.

"Saya bercakap dalam konteks hukum kerana akidah merupakan tunjang kepada keimanan dan keislaman seseorang. Apabila akidah rosak, iman dan Islam juga akan menjadi rosak,'' katanya.

Mahmood Zuhdi memberitahu, keadaan tersebut berpunca daripada amalan politik melampau yang sanggup mengetepikan soal agama serta prinsip-prinsip keimanan.

Sambil menyifatkan budaya itu sebagai politik rakus, beliau berkata, ia telah membuatkan syariat Islam yang sepatutnya menjadi panduan telah dilanggar begitu sahaja.

"Malang sekali dalam negara kita sekarang politik telah mempengaruhi semua aktiviti. Kita tumpukan soal politik hingga lupa kepada nilai-nilai keagamaan, lupa kepada batas-batas yang telah ditetapkan dalam agama,'' katanya.

Monday, July 20, 2009

Pahang DAULATKAN UNdang-undang Islam SEcara Tadrij..




Seorang model pelancongan didenda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak.

Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, dari Sungai Siput, Perak menjalani hukuman penjara tiga tahun, jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating kira-kira pukul 11.40 malam pada 11 Julai tahun lepas, laporan Bernama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Abdul Rahman dalam penghakimannya berkata mahkamah tidak ragu-ragu dalam menjatuhkan hukuman selepas tertuduh mengaku bersalah ketika didakwa di mahkamah itu pada 1 Disember tahun lepas.

Tertuduh yang dilihat mengalirkan air mata ketika penghakiman dibacakan kemudian memohon penangguhan hukuman untuk rayuan melalui peguamnya, Mohd Zuki Che Mat Ghani.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Syarie, Saiful Idham Sahimi.

Tok Adi lihat ini satu perkembangan positif ke arah pemantapan dan pemartabatan undang-undang Syariah secara beransur-ansur @ Tadrij. Sebelum ni, Pahang menguatkuasakan undang2 orang yang membeli nombor ekor, tentunya banyak lagi perubahan yang kita harapkan akan berlaku....Ini secara langsung menjawab tuduhan pihak tertentu bahawa kerajaan pemerintah tidak menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan Islam. Takbir, Allahu Akbar!

Sunday, July 19, 2009

Kursus Kepimpinan Tertinggi Belia Pahang


Naib Pengerusi GPMS, Sdr Wan Emril telah dijemput menyampaikan satu ceramah pada program Kursus Kepimpinan Tertinggi Belia Pahang anjuran JBS Pahang dan Majlis Belia Negeri Pahang di Cherating Bay Resort jam 9 malam, 18 JUlai 2009. Beliau menyampaikan talk berkaitan pengurusan organisasi :- pengurusan fail dan sistem akaun untuk pemimpin2 belia negeri Pahang...(klik)

Thursday, July 16, 2009

GElomBaNG BirU bermula di Man U...


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk bekerja lebih keras lagi untuk rakyat kerana sudah terdapat petanda kebangkitan semula “gelombang biru” melanda seluruh negara ketika ini.

Katanya, kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan pembaharuan mesra rakyat serta diperkuatkan dengan kemenangan moral BN di Manek Urai baru-baru ini, kecekalan hati dan sikap tidak putus asa anggota perlu diperkuatkan lagi untuk mengekalkan mandat BN pada masa akan datang.

“Kita masih berkerajaan dengan mempunyai kuasa majoriti di peringkat negara meskipun di beberapa negeri menghadapi masalah. Dari Manik Urai, kita tidak pernah berputus asa dan saya yakin ada kebangkitan semula gelombang biru melanda seluruh negara.
"Oleh itu kita perlu berjuang dan kena kerja keras lagi, itu pokoknya,” kata Muhyiddin yang juga pengarah jentera pilihan raya BN.

Tok ADi yakin gelombang kebangkitan ini akan meneruskan momentum kejayaan kepada parti BN/UMNO. Ini kerana rakyat khususnya pengundi muda telah menghantar satu signal kepada parti pembangkang supaya menghentikan tindakan memperbodohkan rakyat, yang tahu menilai yang mana kaca yang mana permata.... Isu pemansuhan PPSMI membuktikan kerajaan prihatin kepada rakyat, manakala isu babi di Kedah dan kerajaan perpaduan merencatkan pengaruh PAS terhadap pengundi Melayu!

Sunday, July 12, 2009

Nape 100 hari?





    Pengumuman Najib sempena 100 hari sebagai Perdana Menteri:

1. Diskaun 20% kepada pengguna kad prabayar Touch ‘n Go dan SmartTag yang menggunakan tol lebuh raya 80 kali atau lebih dalam sebulan bermula 1 September 2009.

2. Penyewa Program Perumahan Rakyat di Wilayah Persekutuan dibenarkan membeli rumah yang disewa.

3. Potongan diskaun 50% kepada peniaga kecil di Wilayah Persekutuan memohon dan membaharui lesen perniagaan.

4. Tambahan RM150 juta bagi dana TEKUN dan RM15 juta untuk program pembangunan usahawan muda kaum India.

5. Tambahan kira-kira 3,000 lagi permit teksi individu dalam masa tiga bulan akan datang.

6. Komited untuk mengurangkan kadar jenayah terutamanya ragut dan kecurian kenderaan.

7. Mempergiatkan usaha bagi memastikan bilangan pendaftaran lewat kelahiran dapat dilaksanakan dengan segera.

8. Menyegerakan usaha menyelesaikan masalah kewarganegaraan rakyat.

9. Usaha menambah baik akses kepada kemudahan asas seperti pembinaan jalan dan penyaluran bekalan air serta elektrik di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak ditingkatkan.

10. Mengurangkan kadar bayaran permohonan lesen motosikal kepada RM211 berkuat kuasa pada 1 September depan.

11. Menubuhkan Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz sehingga 10 bilion unit dan terbuka kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas.

AKAN TETAPI Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak "lebih banyak yang negatif daripada yang positif".

Tambahnya, ia berdasarkan penilaian peribadinya terhadap pentadbiran Najib yang genap 100 hari itu.


Dr Mahathir berkata, yang negatifnya termasuklah cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura.

Satu perkara lagi yang dianggap negatif, menurut Dr Mahathir lagi, ialah pelantikan orang yang korup dalam pentadbiran Najib.

Ditanya mengenai perkara positif mengenai pentadbiran Najib, beliau berkata: "Yang positif ialah Najib berjumpa ramai orang dan dia tidak tidur malam."

(Heran gak Tok Adi, nape nak sambut 100 hari pemerintahan, Obama pun steady je, pastu Tun Dr M ni nak jadikan Tok Jib ni mcm PM yang lepas ke?)

Wednesday, July 8, 2009

Akhirnya.....isu PPSMI ter"URAI"



Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan.
Keputusan Kabinet itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan kebangsaan akan diajar dalam bahasa Melayu berkuatkuasa pada 2012.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan keputusan Kabinet itu berkata, pengajaran dan pembelajaran kedua-dua matapelajaran itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kerajaan juga memutuskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan dimantapkan.
Katanya, pelaksanaan bermula secara bertahap iaitu bagi tahun satu, tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat.
Perubahan dasar itu bagaimanapun tidak melibatkan tingkatan enam dan matrikulasi.

Rentetan pelaksanaan PPSMI

19 Julai 2002 - mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
Januari 2003 - dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah
Januari 2007 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah
Januari 2008 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah
Mac 2009 - lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.
Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."
Mei 2009 - kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan.
Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara"
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."
Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansukan sepenuhnya pada 2012.

(Tok Adi: Tahniah kepada pejuang2 bahasa!)

Tuesday, July 7, 2009

Nak ke Bukan Melayu sokong BN semula?


Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa beliau tidak begitu gembira dengan dasar liberalisasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan ia menghakis kepentingan bumiputera negara ini.

Mantan perdana menteri itu berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sedia diamalkan sama sekali tidak menghalang Malaysia dari terus maju berbanding negara membangun lain tetapi proses liberalisasi akan membantutkan perkembangan bumiputera.

"Faktanya ialah ketika kuota bumiputera masih belum dipenuhi, kuota bukan bumiputera pula semakin meningkat dan bertambah, dan polisi baru yang diperkenalkan ini hanya akan memburukkan keadaan," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya mengenai pentadbiran Najib yang bakal mencapai 100 hari Sabtu ini.

Dr Mahathir bagaimanapun mengakui bahawa pentadbiran Najib turut didasari oleh beberapa perkara yang diakui bagus, khususnya berhubung Indeks Prestasi Utama (KPI) yang bertujuan meningkatkan tahap perkhidmatan anggota-anggota kerajaan.

"Ia lebih baik berbanding pemerintahan sebelumnya," katanya

Merakyatkan ucapan - Dato Sri MB Pahang


Pada pagi 6 Julai 09 telah diadakan Perhimpunan Ke Arah Perkhidmatan Cemerlang di Dataran Wisma Sri Pahang, dan kepada mereka yang tidak berpeluang menyertai boleh mengikuti secara lintas langsung di Radio Pahang FM. YAB Menteri Besar Pahang telah menyampaikan ucapan merakyat dan menyentuh isu-isu semasa antaranya:-
a) Konsep 1Malaysia dan meminta rakyat supaya jangan disalahertikan pemahaman konsep ini mengikut citarasa dan keperluan masing-masing serta peranan agensi kerajaan negeri Yayasan Pahang menyalurkan bantuan kepada semua kaum tanpa mengira fahaman politik, merentasi agama dan budaya
b) Kebimbangan terhadap budaya meminjam dengan Ah Long di kalangan pegawai/kakitangan kerajaan, dan meminta agar mengamalkan perbelanjaan berhemah 'ukur baju di badan sendiri'

c) Kegagalan sistem ekonomi kapitalis dan mengharapkan kerangka model ekonomi baru yang lebih adil dan saksama...


Tok Adi yakin gaya kepimpinan mesra rakyat Long Nan ni akan terus menambat hati rakyat, dan konsisten mempelopori negeri berkebajikan sebelum PR mewarwarkannya.

Saturday, July 4, 2009

"Bu ke sheng zhe, shou ye, ke sheng ze, gong ye, shou ze bu zu, gong ze you yu"- Sun Tzu


Maksudnya- Those who are not able to win must defend, those who are able to win must attack ..... - be offensive BN!

Kerapuhan gabungan pakatan pembangkang tidak boleh diselindung lagi dan tidak mustahil pakatan itu akan terlerai sepenuhnya tidak lama lagi.

Perlu diakui PAS mempergunakan DAP dan DAP menjadikan PAS kuda tunggangan mereka dan apa yang berlaku di Kedah hari ini membuktikan pakatan itu rapuh kerana mereka sebenarnya hanya berkahwin mutaah.

"Cukuplah perkahwinan mutaah itu, bubarlah pakatan yang tidak memberi makna dan PAS sertailah kami (Barisan Nasional)," kata seorang pimpinan.
Beliau mengulas tindakan DAP Kedah semalam yang mengumumkan keluar daripada pakatan pembangkang negeri itu kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran PAS yang gagal menghalang perobohan pusat penyembelihan babi haram di Kampung Berjaya oleh Majlis Bandaraya Alor Setar.

Demi kepentingan negara, PAS sewajarnya mengkaji hubungan tidak bermakna itu kerana ia tidak memberi apa-apa keuntungan kepada rakyat.

Tindakan DAP Kedah itu membuktikan dakwaan pakatan pembangkang sebelum ini yang menyatakan gabungan mereka cukup kuat merupakan satu pembohongan.
Apabila dicadangkan untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, mereka kata mereka tidak boleh mengadakan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN).

Sebab mereka kata kerajaan perpaduan pakatan pembangkang sudah cukup kuat tetapi ternyata apa yang berlaku semalam di Kedah, itu membuktikan ia hanya merupakan satu pembohongan.

Manakala Pakatan di Pula Pinang kalut dan haru! Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim menyindir Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang tidak mengotakan apa yang pernah dikatakannya.

Zahrain juga mahu Guan Eng bersemuka sendiri dengan penduduk Kampung Buah Pala.

Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi mendakwa seorang Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) daripada PKR menyalahgunakan kuasa.

Penduduk Kampung Buah Pala mohon maaf kepada Perdana Menteri kerana silap pilih pembangkang.

Apa tunggu lagi, blue ocean strategy lah....

Wednesday, July 1, 2009

Pinda atau Mansuh Artikel 153?


(Petikan Ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ketika Sidang Invest Malaysia ke-5 di Hotel Shangri-La, 30 Jun 2009)


TERLEBIH dulu, saya ingin mengucap terima kasih kepada pihak penganjur Invest Malaysia 2009, kerana menjemput saya menyampaikan ucaptama pada Sidang Invest Malaysia ke-5. Saya gembira melihat begitu ramai pelabur yang hadir dan mengalu-alukan kehadiran kepada tetamu antarabangsa kita. Invest Malaysia sudah menjadi forum tahunan paling penting bagi kita bertemu dengan pelbagai pelabur antarabangsa dan mempersembahkan apa yang kita lakukan. Ia juga menyediakan peluang untuk syarikat pelaburan swasta tempatan berurusan dengan komuniti pelaburan. Pada pendapat saya, 'road show' yang membawa pelabur ke negara kita akan membolehkan pelabur menyaksikan sendiri apa yang kita ada dan menilai secara peribadi iklim pelaburan di Malaysia, mengkaji cara untuk saling melengkapi dan mempromosi usaha bersama di pasaran antarabangsa.

Seperti yang anda ketahui, acara ini selalunya diadakan pada Mac, seiring dengan perlumbaan Grand Prix Malaysia. Bagaimanapun, menyedari akan berlaku perubahan pada pucuk pimpinan negara, penganjur sengaja melewatkan program ini selama dua bulan bagi membolehkan saya berucap sebagai Perdana Menteri. Bagi saya, ini adalah majlis penting yang akan membolehkan saya berkongsi pendapat bersama anda semua dan memberi aspirasi kepada Malaysia dan pasaran modalnya. Bagi yang menjadi peminat Formula Satu di kalangan anda, saya memberi jaminan saya sendiri akan meminta penganjur mengadakan sidang ini mengikut jadual asal pada tahun depan. Hari ini kita bertemu dalam persekitaran yang amat mencabar. Dunia mengalami suasana luar biasa dalam aspek peraturan kewangan global. Krisis kewangan global telah menggugat teruk institusi kewangan yang amat mantap. Akibatnya, ia memusnahkan kekayaan dunia dan mencetus persoalan membabitkan kebijaksanaan corak pengurusan yang konvensional. Apa yang lebih buruk ialah krisis kewangan kali ini sudah melampaui pelbagai krisis kewangan yang pernah berlaku.
Apa yang nyata banyak pelajaran yang kita peroleh dan proses pemulihan perlu dilakukan untuk membetulkan keadaan. Semua pasaran kewangan mesti diberi perhatian lebih serius dan kita tidak boleh teragak-agak dalam membuat keputusan dasar yang sukar sebaik saja kita melihat tanda-tanda awal yang di luar kawalan mula berlaku. (klik)
(Tok Adi berpendirian isu ini jika dilihat dari kaca mata pejuang bangsa, ia merupakan satu 'ketewasan' dasar affirmatif terhadap hak keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan, memang adil dan saksama dari perspektif 1Malaysia. Selama ini pun kuota 30% hanyalah halusinasi politik semata2 kerana akhirnya Bukan Bumi atau lebih 'clear' orang Cina jualah yang menguasai ekuiti kepentingan tersebut melalui proksi Bumi. Akan tetapi momentum transformasi ini agak pantas selepas pemansuhan Kementerian MARA, liberalisasi sektor perkhidmatan, tawaran biasiswa berasaskan merit,dll Tok Adi memikirkan tibalah masanya agar Perkara 153 dipinda atau di'halusinasi'kan dalam kitab Perlembagaan negara..sayugia diingatkan, jangan lupa untuk toleh ke belakang mencari rentak baru supaya jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong jatuh terburai!)