Monday, August 31, 2009

Tsunami Perubahan di Jepun Bakal ke Malaysia?

Parti pembangkang Jepun, Parti Demokratik Jepun(DPJ) mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum negara ini hari ini, menewaskan parti pemerintah Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Taro Aso.

Ia merupakan satu catatan sejarah dalam politik Jepun dalam tempoh lebih separuh abad.

Mengikut tinjauan yang dijalankan oleh TV Asahi, sebaik-baik pengundian tamat hari ini, DPJ dijangka memenangi 315 kerusi daripada 480 kerusi di Dewan Rendah, manakala Tokyo Broadcasting System pula meramalkan parti pembangkang berhaluan tengah-kiri itu akan memenangi 321 kerusi.

Badan penyiaran awam, NHK pula meramalkan DPJ akan memenangi antara 298 dan 329 kerusi, berbanding antara 84 hingga 131 kerusi oleh parti konservatif LDP pimpinan Perdana Menteri Taro Aso, 68 tahun.

Nippon Television pula menjangkakan DPJ memenangi 324 kerusi berbanding LDP sebanyak 96 kerusi.

"Ia merupakan kemenangan besar. Ia pilihan raya yang dramatik," kata wartawan veteran yang berkhidmat dengan akhbar harian Asahi Shimbun, Hiroshi Hoshi kepada TV Asahi.

LDP - yang telah memerintah Jepun sejak 1955 kecuali 'berehat sekejap' selama 10-bulan pada 1993-1994, mempunyai 303 kerusi di Parlimen berbanding DPJ sebanyak 112 kerusi sebelum Parlimen dibubarkan Julai lalu.

DPJ yang diketuai Yukio Hatoyama, 62, (gambar)dijangka menubuhkan Kabinet baru, dalam masa beberapa minggu lagi. Kemenangan besar ini akan memudahkan debat berhubung polisi di Parlimen, yang sebelum ini menghadapi kebuntuan berikutan kejayaan DPJ dan sekutunya menguasai Dewan Tinggi pada 2007.

"Parti pemerintah (LDP) telah mengkhianati rakyat sejak empat tahun lalu, menyebabkan ekonomi semakin parah, hutang awam meningkat melebihi enam trilion yen (RM225 bilion), pembaziran, merosakkan jaringan keselamatan sosial dan menjarakkan lagi jurang antara golongan miskin dan kaya," demikian menurut kenyataan DPJ ketika proses pengundian bermula pagi tadi.

Pegawai berkata, jumlah pengundi yang keluar mengundi adalah tinggi, walaupun diramalkan taufan menghampiri Jepun - menunjukkan orang ramai sangat berminat dalam pilihan raya kali ini.

Sementara itu, Taro Aso berkata, dia akan meletak jawatan sebagai Presiden LDP.

(IKTIBAR! Tu kalimah sesuai yang dpt Tok Adi gambarkan buat parti pemerintah di negara kita sempena 52 tahun menyambut Hari Kemerdekaan. Rakyat semakin akses kepada maklumat dan tentunya kejayaan parti pembangkang di Jepun ini mencetuskan semangat kamikaze Pakatan Rakyat untuk meneruskan momentum hingga PRU 13. Namun, masih belum terlambat untuk parti pemerintah merebut hati rakyat, kerana situasi politik berbeza dgn ala-Westminster politic di negara ini, selain dasar terkini kerajaan di bawah pimpinan YAB PM Dato Seri Najib , iaitu 1Malaysia semakin diterima rakyat....berubah sebelum rebah, kalau nasi dah jadi bubur sudah tidak ada gunanya lagi.)

Friday, August 28, 2009

Belasungkawa Dr Ismail


Negara kehilangan seorang ikon yang menjadi inspirasi rakyat Malaysia. Senator Datuk Dr Ismail Salleh meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari Beijing ke Kuala Lumpur melalui Singapura jam 3.50 pagi Khamis. Allahyarham,62 merupakan orang cacat penglihatan pertama dilantik sebagai seorang Senator. Beliau terkenal sebagai tokoh akademik dan pakar ekonomi.
Beliau telah membuktikan kecacatan tidak menghalang kita untuk berjaya dan menyumbang pada Negara. Tugas arwah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Twintech tidak menghalang beliau untuk memperjuangkan hak-hak dan kepentingan Orang Kurang Upaya (OKU). Hilangnya sebuah permata yang bernilai yang tiada tolok bandingnya. Semoga dicucuri rahmat ke atas rohnya.


Al Fatihah buat Dr. Ismail Salleh...........

(Tok Adi terkezut gak terima sms dan baca Facebook berita kematian Dato Ismail Kamus di Mekah, rupanya misinformation ...atau silap2 disinformation. Siap ada yang dah buat solah hajat ghaib dan tahlil untuk Dato Ismail Kamus)

Wednesday, August 26, 2009

Bila disalah gunakan....

Apa dah JADI, kongsi je ke?

Empat penjenayah yang menggunakan helah memakai penutup mulut dan hidung H1N1 berjaya melarikan barangan kemas bernilai kira-kira RM30,000 dalam rompakan di sebuah kedai emas di pusat membeli-belah Landmark Central, Kulim.

Helah sama pernah digunakan oleh dua penjenayah dalam rompakan kedai emas di pusat membeli-belah The Summit di Subang Jaya, 10 Ogos lalu mengakibatkan kerugian kira-kira RM350,000.

Dalam kejadian di sini, pada pukul 12.15 tengah hari, salah seorang perompak tersebut bertindak mengacukan sepucuk pistol kepada tiga pekerja kedai emas terbabit sebelum melarikan barangan kemas di ruang pameran.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Salleh berkata, ketika kejadian, tiada pelanggan dalam kedai emas yang baru dibuka penghujung Jun lalu.

Beliau berkata, siasatan mendapati pekerja-pekerja terbabit tidak sempat berbuat apa-apa kerana menyangka suspek merupakan pelanggan biasa yang memakai penutup hidung dan mulut.

''Seorang daripada suspek menunggu di luar kedai manakala tiga lagi termasuk seorang daripada mereka mengacukan pistol mengarahkan pekerja kedai itu memasukkan semua barangan kemas ke dalam sebuah beg.

''Selepas berjaya mendapatkan barang kemas, tiga lelaki terbabit keluar dari kedai sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta,'' katanya ketika dihubungi.

Ghuzlan berkata, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada premis terbabit.


Titah DiRaja: Biar mahkamah selesaikan isu Kartika - Tengku Mahkota Pahang


Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak agar bersabar dan menyerahkan kepada mahkamah untuk menyelesaikan isu hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor.

Baginda yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Pahang bertitah, keputusan menangguhkan hukuman tersebut perlu dihormati bagi membolehkan pihak mahkamah mencari penyelesaian sebaik mungkin dalam masa terdekat.

"Dengan berkat bulan Ramadan ini mungkin ia dapat diselesaikan," titah baginda selepas berbuka puasa bersama-sama penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam.

Baginda bertitah demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan beberapa pihak termasuk pemimpin kerajaan berhubung penangguhan hukuman sebat tersebut.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan.

Berikut disiarkan Komen "Pro-Syarie" melalui posting "Pahang DAULATkan Undang-undang Islam secara Tadrij.."20 Julai 2009...
Anonymous Pro Syarie said...

Deskripsi gambar tak betul! Tu hukuman dalam sivil mmg nampak kejam berbeza pelaksanaan dlm Syariah...
Procedure untuk menjalankan hukuman sebat di Negeri Pahang ada dinyata dan diperincikan secara jelas melalui Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 melalui Seksyen 125 dan 126 Enakmen itu.
Antara lain seksyen ini menyebut :-
1. Alat sebatan yang digunakan hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter
2. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas 2 bulan dia melahirkan anaknya.
3. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh Pegawai Kesihatan Kerajaan.
4. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran Pegawai Perubatan Kerajaan.
5. Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
6. Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk
7. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah.
8. Pegawai Perubatan Kerajaan akan memperakukan samada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.

August 1, 2009 8:39 PM

Hakikatnya, hukuman rotan Syariah tidak sama dengan cara sebatan sivil, dan ia lebih untuk mendidik masyarakat Islam supaya memahami pendekatan yang dipraktiskan. Kartika sendiri yang meminta supaya hukuman rotan ini dilaksanakan ke atasnya, bukan paksaan, walaupun terdapat pilihan lain iaitu lazimnya pesalah dikenakan hukuman denda @ penjara...Ini turut membuktikan bahawa perjuangan menegakkan hukum Syariah bukan HAK MILIK EKSKLUSIF pihak/parti tertentu...

Peluang Kerjaya Bersama GPMS Pahang


Kementerian Sumber Manusia di bawah Program Train & PLace, tawaran dibuka bagi belia/graduan menganggur untuk mendapatkan elaun RM500-RM800 sebulan bagi tempoh 3 bulan.Hanya ikuti latihan sebagai penceramah @ fasilitator bermula September 2009 di Pusat Bimbingan GPMS Pahang, Taman Inderapura Jalan Kuantan-Pekan.
Masa : 9 pg - 5 ptg (Isnin - Jumaat)
Sila hubungi : Fieda (0122609699) / Halim - 0193282385)
@ DAFTAR online sebelum 31 Ogos 2009...KLIK

Friday, August 21, 2009

Orang Asal Didahulukan....

Rosman Abdullah (kanan), Wahid Abdullah dan Norizan Abdullah antara 161 Orang Asli dari Pos Lanai, Cameron Highland, Pahang yang menerima bayaran dividen RISDA sebanyak RM500 seorang. Penyampaian dividen berjumlah RM80,500 itu disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, Dato Sri Adnan Yaakob.
Ini membuktikan kerajaan Negeri Pahang di bawah kepemimpinan beliau terus mengutamakan pembangunan di kalangan orang Asal di negeri tersebut, selain program PETAMA Yayasan Pahang yang ternyata membela nasib mereka dari aspek pembangunan modal insan.

Salam Ramadhan 1430 H & Selamat Hari Kebangsaan !

Salam Kemerdekaan ke 52!
Ramadhan Al-Mubarak

Thursday, August 13, 2009

"Fatwa" Tok Guru Lesen Besar DAP Hina Islam...



Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.
Beliau sebaliknya menyalahkan sikap pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan telah disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.
"DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas tindak-tanduk beberapa pemimpin DAP kebelakangan ini yang dilihat menghina Islam.
Nik Aziz berkata, untuk meningkatkan kefahaman DAP terhadap Islam, Pas sebagai rakan kepada DAP dalam pakatan pembangkang, mengambil pendekatan memberi penerangan kepada pemimpin-pemimpin parti itu supaya mereka lebih memahami Islam.
"Kita mendekati mereka melalui forum, wacana dan perbincangan," katanya.


(Tok Adi bimbang dengan tafsiran "Tok Guru Politik" ni akan mencetuskan lebih ramai "ulama" DAP, kalau dah nama kafir harbi buat ape lg kita nak berdampingan, silap2 dgn kita kena kesampingkan, mungkin Pok Nik terlupa (atau buat2 terlupa) kalimah keramat Sheikhul Karpal tentang kalau nak tubuh negara Islam.....Kenyataan ini ternyata meletakkan kedudukan Islam berada pada situasi terancam, jangan disebabkan matlamat politik dan kuasa, masa depan & kesucian agama kita dinodai ...Nauzubillah)

Wednesday, August 12, 2009

Notis Mesyuarat Agong Tahunan GPMS Cawangan dan Negeri Pahang


Mesyuarat Agong Cawangan bermula 13 Ogos hingga 17 Oktober 2009

Mesyuarat Agong Tahunan Negeri - 25 Oktober 2009

Menurut Artikel 22 Perlembagaan GPMS, Mesyuarat Agong Tahunan Cawangan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhir tahun kewangan setiap tahun sekali tidak terlewat dari April pada tarikh, masa, tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Cawangan.
Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan ialah:
a) Melantik seorang pengerusi dan setiausaha Mesyuarat Agung
b) Menerima dan mengesahkan korum Mesyuarat Agung
c) Mengesah dan Meluluskan Mesyuarat Agung Lalu
d) Membentang dan menerima LAporan Tahunan
e) Membentang dan mengesahkan Laporan Kewangan
f) Membentang usul Pindaan Perlembagaan GPMS (jika ada)
g) Melantik AJK untuk tempoh dua (2) tahun
h) Melantik dua org pemeriksa kira-kira untuk 2 tahun
i) Ucapan penangguhan

KOrum mesyuarat Agung Tahunan Cawangan dianggap cukup jika ahli-ahli yang hadir berjumlah lebih dari 1/2 jumlah ahli yang berhak mengundi @ dua(2) kali bilangan AJK Cawangan mengikut mana yang terkurang.

Sayugia diingatkan, GPMS Negeri Pahang mohon kerjasama dari setiap YDP Cawangan GPMS Pahang untuk menghantar minit mesyuarat agung tersebut dengan seberapa segera ke :
GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG NEGERI PAHANG
B12 TKT ATAS TAMAN SRI INDERAPURA
KM 15 JALAN KUANTAN-PEKAN
25150 KUANTAN PAHANG.

Tuesday, August 11, 2009

TOKOH PengKhianat @ PeTualang Melayu ISlaM?




PETUALANG AMANAH BANGSA& AGAMA Versi 1:
Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin melabelkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘pengkhianat terbesar perjuangan orang Melayu’.

Beliau turut menyifatkan Anwar sebagai pemimpin ‘lidah bercabang’ yang tidak ragu-ragu untuk menukarkan dasarnya semata-mata untuk manfaat dan cita-cita politik peribadi.

“Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, sama seperti saya sekarang, namun beliau kini menggunakan pendekatan penuh penipuan bagi memusnahkan perjuangan kita.

“Beliau sekarang memberitahu semua orang bahawa kita (Umno) berkelakuan kejam. Tolong katakan kepada saya, dalam apa cara kita bertindak kejam?

“Mengapa dia tidak lemparkan tuduhan seumpama ini apabila menjadi salah seorang pemimpin kita?” katanya pada ucapan perasmian mesyuarat Umno bahagian Seri Gading, di Parit Raya.

Muhyiddin juga berkata, pembangkang menerusi kepemimpinan Anwar sedang ‘memutarbelitkan’ fakta untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap usaha Umno mempertahankan hak dan institusi Melayu. “Taktik mereka ialah mengulangi satu pembohongan berkali-kali sehingga orang ramai percaya dengan pembohongan itu.

---Anwar yang pada ketika ini merengek dengan sengaja untuk meraih perhatian masyarakat untuk terus bersimpati terhadap kemelut dan masa depannya yang semakin gelap.

Anwar secara terus-terusan menyusahkan rakyat negara ini dengan pelbagai hal yang boleh menghuru harakan serta mencetuskan kekalutan didalam masyarakat khususnya melayu.


Anwar berpolitik semata-mata hanya kerana pangkat dan kuasa. Anwar tidak akan mempedulikan nasib bangsa melayu yang dibelenggu masalah kemelesetan ekonomi atau kesukaran bersaing di bumi Malaysia ini.

Justeru itu, manusia yang bernama Anwar Ibrahim ini adalah ulangan kembali watak si kitul yang menjadi pengkhianat kepada Raja Mendeliar. Cuma bezanya sekarang ialah Anwar sedang mengkhianati bangsanya sendiri.

Apa pun yang pasti, Anwar tentu tidak akan terlepas dengan pembalasan Allah yang Maha Mengetahui terhadap segala perkara yang tersurat dan tersirat.


PENGKHIANAT AMANAH RAKYAT Versi 2:

Ketua Pemuda DAP Anthony Loke Siew Fook membuat aduan polis hari ini dengan "menafikan sekeras-kerasnya" menghina Islam yang didakwa tuduhan palsu terhadapnya melalui blog dan mesej SMS.

Dalam aduannya Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi petang ini, Loke menafikan sekeras-kerasnya pernah menulis beberapa artikel menghina Islam dan juga Sultan Perak dan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah.

"Dalam dua hari (kebelakangan) ini, beberapa blog dan sebaran SMS telah menuduh saya menulis yang dikatakan menghina Islam dengan kata-kata lucah dan kesat dan yang terbaru menuduh saya menghina Sultan Perak," laporan polis itu dipetik.

"Mereka mendakwa saya menulis artikel-artikel tersebut dalam laman blog http://sjsandteam.wordpress.com/. Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak tahu-menahu tentang kewujudan blog ini dan tidak tahu siapa pemunya blog tersebut.

"Saya hanya mengetahui bahawa ada orang yang tidak bertanggungjawab yang telah meletakkan satu kenyataan akhbar saya yang bertajuk 'Ridhuan Tee must apologize to Teoh Beng Hock's family' ke dalam blog tersebut.

"Selepas itu, ada pemberi-pemberi komen yang saya tidak tahu siapa telah menulis beberapa ayat yang kesat terhadap Ridhuan Tee dan agamanya.

"Saya langsung tidak bertanggungjawab terhadap komen-komen tersebut."

Menurut ADUN Lobak, terdapat artikel yang menuduhnya menghina Sultan Perak dan Raja Nazrin seperti didakwa blog-blog marahku.blogspot.com dan kitaanakmelayu.blogspot.com.

"Saya menafikan sekerasnya-kerasnya dakwaan tersebut. Saya tidak pernah menulis apa-apa tulisan berkenaan dengan Sultan Perak. Ia adalah satu dakwaan yang palsu dan fitnah terhadap saya," kata Loke dalam aduan tersebut.

Benarlah seperti apa yg diperkatakan dalam Al-Quran...jangan terlalu bekerjasama dengan orang2 kafir HARBI ini, akhirnya mereka tidak gerun lagi dengan umat Islam malah memperlekehkan lagi sewenang wenangnya agama serta bangsa kita.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu
apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.”

(Ali ‘Imran: 28)


Saturday, August 8, 2009

Dari Rompin ke Washington ...


Bekas menteri Kabinet Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, 58, dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat yang baru berkuatkuasa Selasa, kata Wisma Putra dalam kenyataan.

Menurutnya anggota Parlimen Rompin itu yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno, akan memegang jawatan itu dengan taraf menteri.

Beliau telah pun menerima watikah pelantikannya daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Dr Jamaludin, yang memegang ijazah kedoktoran dalam kejuruteraan elektrik pengkhususan sistem kuasa dari McGill University, Kanada, menyertai Kabinet sebagai Menteri Kewangan Kedua pada November 2002.

Dalam rombakan Kabinet secara kecil-kecilan pada Januari 2004, beliau dilantik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan kira-kira tiga bulan kemudian sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, jawatan yang dipegangnya sehingga Mac tahun lepas.

"Sebelum menyertai Kabinet, beliau ialah pengerusi Tenaga Nasional Berhad, syarikat utiliti tenaga negara dan syarikat senaraian terbesar di Bursa Saham Kuala Lumpur(BSKL) daripada segi penguasaan pasaran," kata Wisma Putra.

Beliau juga bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), katanya.

Dr Jamaludin memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 1974 dan meninggalkan institusi itu pada 1984 untuk memulakan syarikat perkhidmatan perundingannya sendiri, J & A Associaties, khusus dalam kuasa elektrik dan kejuruteraan mekanikal.

Beliau berkahwin dengan Dr Kalsom Ismail, lulusan doktor pergigian, dan mereka mempunyai empat cahaya mata.

Friday, August 7, 2009

H1N1 Ancaman No.1 Negara!


Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan menganggap penularan Influenza A (H1N1) sebagai ancaman serius kepada negara, sekali gus menasihatkan rakyat mengambil langkah penegahan menyeluruh.

Serentak itu, Perdana Menteri mahu rakyat mengelak daripada menghadiri atau mengadakan perhimpunan di tempat awam sekiranya tidak perlu.

"Tidak perlu adakan perhimpunan. Jika dirasakan tidak perlu, jangan buat perhimpunan sebagai langkah mencegah wabak ini menular," katanya.

GPMS Pahang menyeru agar semua pihak terutamanya golongan pelajar agar mengambil langkah pencegahan yang berkesan sepertimana disarankan oleh Kementerian Kesihatan. Ini memandangkan pandemik ini telah meragut 2 nyawa di Pahang, dan sedang menyerang fasa kluster (IPT, Tadika, sekolah, Kem PLKN), dan difahamkan wabak ini akan merebak di kalangan komuniti.

GPMS Pahang juga berdoa agar wabak ini dapat ditangani dan semoga Allah melindungi seluruh rakyat Malaysia, maka perbanyakkan lah bermunajat serta bertawakkal melalui solat hajat. Insya Allah.

Wasiat Keramat, Panji Azimat


Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah:

Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);

Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini;

Kami isytiharkan Islam adalah Agama Persekutuan;

Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu;

Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Kepentingan sah kaum-kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Raja Nazrin Shah bertitah demikian semasa melancarkan tiga buku allahyarham Datuk Dr Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, bersempena seminar antarabangsa legasi pemikiran pemikir itu yang bermula Selasa lalu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di ibu negara.

Menurut Bernama, baginda bertitah wasiat sembilan Raja Melayu - yang terdiri empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu - disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.

"Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu," titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).

Menurut Raja Nazrin Shah fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.

"Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah," titah baginda.

(Tok Adi gesa kaum lain menghormati wasiat ini, dan hayati sejarah serta susur galur pembinaan negara ini, jangan lah menidakkan apa yang hak dan termaktub dalam Kitab Perlembagaan)