Saturday, September 26, 2009

Belasungkawa Mantan MB Pahang


PEMERGIAN ke rahmatullah Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Abu Bakar yang dikenali sebagai seorang yang tegas di kalangan pemimpin dan rakan-rakannya, meninggalkan banyak jasa kepada rakyat dan negeri Pahang.

Allahyarham seorang pemimpin yang berprinsip dalam membuat keputusan, tetapi mudah didekati.

Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Jalan U-Than, Kuala Lumpur pada pukul 7.10 petang kelmarin dipercayai akibat serangan jantung, ketika menunggu azan untuk berbuka puasa.

Dalam arena politik, sikap tegas Allahyarham itu mewujudkan perasaan kurang senang kepada pihak tertentu, termasuk Istana hatta digelar Jebat Moden.

Namun apa yang pasti katanya, Allahyarham mencipta banyak kejayaan dalam kerjayanya meliputi pelbagai bidang termasuk politik, sukan, pertubuhan belia, koperasi dan juga pembangunan bahasa.

Walaupun Allahyarham menjadi Menteri Besar hanya dalam waktu yang singkat, namun beliau berjaya mewujudkan kawasan penempatan penting di Kuantan iaitu Bandar Atabara yang kini dikenali sebagai Indera Mahkota, jelas Abdul Jabbar.

Menurut beliau lagi, Allahyarham juga banyak membangunkan tanah di Pahang untuk kepentingan rakyat dan negeri semasa mengetuai Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

Dalam bidang koperasi pula, antara kejayaan besar Allahyarham ialah 'menyelamatkan' Koperasi Shamelin yang ketika itu berdepan bebanan hutang.

Allahyarham merupakan Pengerusi Shamelin Holding Sdn. Bhd. dan Koperasi Shamelin Berhad sejak 1991 sehingga kini. Di bawah kepimpinannya, beliau berjaya melangsaikan hutang koperasi berkenaan sehingga mampu pula memberi dividen, seterusnya mendapat kepercayaan menerajui takhta kepimpinan Koperasi ANGKASA.

Mengulas penglibatannya di dalam pertubuhan NGO dan Belia, semasa hayatnya Allahyarham adalah antara orang yang terlibat dalam penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kini menjadi pertubuhan belia disegani sama di dalam dan luar negara.

Katanya, sepanjang menjadi Menteri Besar walaupun dalam waktu yang singkat, Allahyarham terlibat dalam rancangan mewujudkan bandar dan pusat perniagaan baru di seluruh Pahang antaranya di Chenor, Maran dan Bentong.

Tidak kira pihak kawan mahupun lawan dalam politik, Allahyarham dihormati sebagai seorang pejuang bahasa (pernah menakhodai Dewan Bahasa dan Pustaka) dan rakyat Pahang harus mengenang beliau sebagai 'pejuang rakyat'. GPMS PAhang mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohNya.Al-fatihah..

No comments: