Saturday, September 26, 2009

RENCANA PILIHAN : Overhaul dan 'revolusi pendidikan'

SEJENAK BERSAMA CEO IPTA
OLEH YH PROF. TAN SRI DATUK DZULKIFLI ABDUL RAZAK Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia, 26 Sept 09.

PENJELASAN kepada komen Dato' Salleh Majid oleh Datuk Radin Omar (Utusan Malaysia, 23 Oktober 2009) adalah amat menarik. Isu ini boleh dijadikan satu pelantar positif untuk umum membincangkan tentang perubahan kepada pengajian tinggi secara ilmiah demi kebaikan bersama.

Pada saya yang paling menarik sekali adalah istilah overhaul yang digunakan oleh kedua-dua penulis tersebut. Di satu tahap, istilah ini memang tepat untuk menggambarkan satu "pembaharuan" melalui proses pembersihan yang rapi, termasuk mengganti bahagian-bahagian yang tidak lagi berfungsi dan sebagainya seperti mana yang dilakukan kepada enjin kenderaan.

Inilah yang lazim berlaku apabila dioverhaul dengan tujuan membaik pulih sesuatu secara mekanikal. Ia membawa kefahaman bahawa "benda yang lama" diperbaiki/ditambah baik/diperbetulkan supaya prestasi sedia ada ditingkatkan semula.

Pokoknya, sejauh mana sekalipun prestasinya ditingkatkan "benda" tersebut masih yang lama pada asasnya. "Pembaharuan" yang dilakukan hanya secara relatif.

Pada pendapat saya, dalam membincangkan tentang masa hadapan pengajian tinggi amnya, dan universiti khususnya, apa yang utama adalah soal-soal "asas" dari mana terbit segala-galanya. "Asas" tersebut mesti sesuai dengan masa dan ketikanya, lantas prestasi yang dihasilkan turut mendatangkan manfaat sepenuhnya. Dan berkesan pula dari segi kos yang dibelanjakan.

Misalnya, selepas overhaul dilakukan, hasilnya perlu meningkat berlipat-lipat kali ganda ekoran kecekapan telah ditingkatkan. Namun demikian jika tidak sesuai atau sepadan seperti yang dibangkitkan oleh Dato' Salleh, maka ia akan terus menghantui.

Datuk Radin ada membayangkan cara penyelesaiannya dengan memperkenalkan konsep profil graduan, bermaksud jika profil graduan yang dihasilkan sesuai, maka soal sepadan tidak timbul.

Ini membuka satu persoalan lain: siapa yang menentukan apa yang sepadan atau tidak? Sudah tentu pihak majikan kerana akhirnya perkiraan kita adalah untuk memenuhi sektor pekerjaan. Ini semacam Indeks Prestasi Utama (KPI) sesebuah universiti. Jika semua keluaran institusi pengajian tinggi (IPT) mendapat pekerjaan yang sepadan dan cepat, maka dianggap "berjayalah" IPT tersebut. Begitu pula jika di sebaliknya.

Pendek kata, tidak banyak bezanya di antara sebuah "kilang" yang mengilang barangan buatan yang sepadan dengan pasaran, dengan sebuah universiti yang mengeluarkan (mengilang?) "graduan" - asalkan prinsip "keterpasaran" (marketability) dipatuhi.

Seperti barangan perkilangan, selagi ada permintaan, selagi itulah mesti ada pembekalan. Namun kerisauan yang "kita sudah sampai tahap terlalu banyak universiti" menggambarkan pula sumber bekalan sudah terlalu banyak, dan dikhuatiri melebihi permintaan, biar sepadan mana sekalipun!

Mujurlah yang dikatakan universiti khusus seperti - Multimedia, Telekom, Petronas - juga menentukan "permintaan" pasaran (sekali gus merupakan majikan utama kepada industri-industri utama negara). Oleh itu cerita kesepadanan tidak timbul bagi mereka.

Halnya amat berbeza dengan IPT yang lebih umum di mana mencari kesepadanan agak lebih rumit. Ini memandangkan IPT umum juga menyasarkan industri yang sama. Di sini timbul isu keterpasaran, apa lagi sekiranya pasar telah ditepukan oleh graduan universiti khusus tersebut, yang pada adatnya lebih cenderung ditempatkan di industri yang berkaitan.

Selainnya, IPT umum masih memikul amanah menawar dan membangunkan kursus-kursus yang dianggap kurang mendapat pasaran. Misal bidang falsafah, kesusasteraan tempatan, bidang agama, seni, budaya dan warisan. Industri mana agaknya yang memerlukan bidang ilmu ini secara berterusan, kalaupun ada?

Wajarkah oleh kerana tidak ada pasaran bidang-bidang ini dicicirkan dengan sengaja seperti menutup kilang yang rugi? Sudah tentu tidak, kerana apa yang dipentingkan oleh universiti adalah nilai ilmu tersebut berbeza dengan industri. Ternyata terdapat percanggahan nilai ilmu di sini.

Diandaikan sebuah universiti itu adalah "kilang," perhitungannya teramat mudah sekali; lantas IPT swasta lebih berkecenderungan tidak menawar kursus yang tidak laku di pasaran, tidak kira setinggi mana sekali nilai ilmunya! Maka tidak hairan, hampir tidak ada IPT swasta yang menawarkan bidang-bidang tersebut. Kalau ada pun umpama seni, kerana ia boleh dipasarkan! Anehnya IPT swasta rata-rata dianggap lebih berjaya dan kos-berkesan berbanding dengan IPT umum kerana mereka pandai memilih-milih kursus untuk diperagakan.

Ringkasnya, kekusutan ini timbul kerana kita masih tidak jelas tentang apa yang dikatakan "universiti"? Adakah untuk tujuan pasaran semata-mata, seperti yang sering dipolemikkan? Jika ya, apakah akibatnya nanti jika universiti menjadi Pak Turut kepada telunjuk pasaran dengan anggapan ia juga adalah tuntutan negara?

Untuk menjawabnya lihat sahaja apa yang berlaku hari ini di mana Malaysia dikatakan terperangkap dalam tingkat ekonomi sederhana. Antaranya ia disebabkan bahawa universiti atau IPT kita, baik awam mahupun swasta gagal menyediakan graduan untuk tingkat ekonomi yang lebih tinggi gara-gara memenuhi permintaan pasaran yang agak ketinggalan dalam usaha ini.

Dengan kata lain pasaran yang ada tidak langsung berupaya/berminat menjangkau masa hadapan, malah terus ketinggalan agak jauh ke belakang.

Ambil contoh, bidang bioteknologi. Pasaran untuk graduan berkemahiran dalam bidang ini amat terhad, malah tiada langsung beberapa tahun yang lalu.

Jadi apa yang hendak disepadankan jika tiada pasaran, atau terlalu kecil untuk menjadi penentunya. Lantas kita terus tercicir dalam bidang bioteknologi kerana "universiti" kita hanya dikehendaki "mengisi" pekerjaan yang ada dan bukan mengambil risiko membina pekerjaan hari esok.

Jadi tidak hairanlah jika ekonomi kita "terperangkap" dan sukar berkembang maju berlandaskan kepesatan bidang-bidang baru, kerana tiada permintaan pasaran! Hal ini berlaku lagi apabila jika berbincang tentang bidang nanoteknologi sedangkan negara saingan kita telah mencurahkan ribuan juta membangunkan bidang-bidang baru melalui "universiti" mereka.

Di negara maju, universiti menjadi penyuluh masa hadapan untuk membuka pasaran baru dan membina kekayaan negara agar ekonomi mereka terus meningkat maju. Malangnya di Malaysia sebaliknya. Malah "universiti" didesak mengikut telunjuk pasaran bersuluhkan industri yang ada - tidak kira sejauh mana ia tercicir ke belakang, ataupun industri matahari terbenam asalkan sahaja mereka menawarkan pekerjaan.

Oleh itu, apa yang diperlukan bukannya overhaul, tetapi lebih hebat daripada itu. Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah mengesyorkan tidak kurang daripada "revolusi pendidikan" untuk menangani masa hadapan Malaysia. Ini juga bermasuk "asas" pendidikan yang ada perlu di pugar semula melibatkan semua pihak, peringkat dan dasar.

Perubahan tempelan di sana-sini umpama proses overhaul pada "benda yang lama" lagi usang tidak lagi memadai; dan akan hanya membuang masa dan tenaga sahaja kerana keadaan sudah terlalu banyak berubah, dan tidak lagi sesuai, termasuk konsep sebuah "kilang." Apa lagi jika dihitung hari muka.

Inilah penyelesaian pokok yang perlu segera dilaksanakan. Soalnya bila, kerana ia menuntut satu bentuk keberanian untuk meroboh dan merubah dari segenap lapisan politik, ekonomi dan sosial?

Belasungkawa Mantan MB Pahang


PEMERGIAN ke rahmatullah Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Abu Bakar yang dikenali sebagai seorang yang tegas di kalangan pemimpin dan rakan-rakannya, meninggalkan banyak jasa kepada rakyat dan negeri Pahang.

Allahyarham seorang pemimpin yang berprinsip dalam membuat keputusan, tetapi mudah didekati.

Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Jalan U-Than, Kuala Lumpur pada pukul 7.10 petang kelmarin dipercayai akibat serangan jantung, ketika menunggu azan untuk berbuka puasa.

Dalam arena politik, sikap tegas Allahyarham itu mewujudkan perasaan kurang senang kepada pihak tertentu, termasuk Istana hatta digelar Jebat Moden.

Namun apa yang pasti katanya, Allahyarham mencipta banyak kejayaan dalam kerjayanya meliputi pelbagai bidang termasuk politik, sukan, pertubuhan belia, koperasi dan juga pembangunan bahasa.

Walaupun Allahyarham menjadi Menteri Besar hanya dalam waktu yang singkat, namun beliau berjaya mewujudkan kawasan penempatan penting di Kuantan iaitu Bandar Atabara yang kini dikenali sebagai Indera Mahkota, jelas Abdul Jabbar.

Menurut beliau lagi, Allahyarham juga banyak membangunkan tanah di Pahang untuk kepentingan rakyat dan negeri semasa mengetuai Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).

Dalam bidang koperasi pula, antara kejayaan besar Allahyarham ialah 'menyelamatkan' Koperasi Shamelin yang ketika itu berdepan bebanan hutang.

Allahyarham merupakan Pengerusi Shamelin Holding Sdn. Bhd. dan Koperasi Shamelin Berhad sejak 1991 sehingga kini. Di bawah kepimpinannya, beliau berjaya melangsaikan hutang koperasi berkenaan sehingga mampu pula memberi dividen, seterusnya mendapat kepercayaan menerajui takhta kepimpinan Koperasi ANGKASA.

Mengulas penglibatannya di dalam pertubuhan NGO dan Belia, semasa hayatnya Allahyarham adalah antara orang yang terlibat dalam penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kini menjadi pertubuhan belia disegani sama di dalam dan luar negara.

Katanya, sepanjang menjadi Menteri Besar walaupun dalam waktu yang singkat, Allahyarham terlibat dalam rancangan mewujudkan bandar dan pusat perniagaan baru di seluruh Pahang antaranya di Chenor, Maran dan Bentong.

Tidak kira pihak kawan mahupun lawan dalam politik, Allahyarham dihormati sebagai seorang pejuang bahasa (pernah menakhodai Dewan Bahasa dan Pustaka) dan rakyat Pahang harus mengenang beliau sebagai 'pejuang rakyat'. GPMS PAhang mengucapkan takziah kepada keluarga beliau dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohNya.Al-fatihah..

Saturday, September 19, 2009

Mat Rempit: Berbaloi-baloi ke?



Seramai 50 orang mat rempit berusia 18 hingga 25 tahun bakal menyertai kumpulan pertama program pemulihan khas Remaja Perkasa Negara bagi membentuk mereka menjadi belia yang berjaya dalam kehidupan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek perintis di bawah Permata Negara itu yang dijadual bermula awal Januari depan akan mendedahkan mereka dengan kemahiran memimpin dan menguasai diri.

Menurutnya, program tersebut memakan masa antara dua minggu hingga enam bulan dan akan dilaksanakan di sebuah pusat khas terletak di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

"Mereka (mat rempit) yang terpilih ini merupakan golongan tegar dan telah melakukan kesalahan sama berulang kali.

"Program ini bukan bertujuan menghukum tetapi memberi keyakinan supaya mereka menjadi manusia berguna dan lebih berjaya," katanya.

Putera UMNO pernah mendekati golongan 'istimewa dan unik' ini, tapi hasil mahsul nya? Ideanya menarik tapi pelaksanaan nya perlu lebih teliti dan diperhalusi dengan betul agar tidak menambah koleksi program bermusim yang tidak penghujungnya.

Penggunaan istilah mat rempit satu ketika dahulu hangat diperdebatkan, namun masih kedengaran lagi, sebaliknya tiada satu identiti baru untuk melabelkan mereka yang pernah di"jenama'kan sebagai samseng jalanan dsb.

Apapun ini, projek perintis dan selalunya ada opsyen untuk diberi penambahbaikan atau dimansuhkan terus.., elemen kerohanian dan keinsanan wajar dijadikan teras agar mereka lebih terarah dan menuju matlamat hidup.

Thursday, September 17, 2009

Himpunan 10,000 Anak Pahang di PICC?



Satu Himpunan Mahasiswa & golongan Profesional Muda anak Pahang seluruh negara melibatkan hampir 10 ribu orang akan diadakan pada 17 Oktober 2009 , dan mengikut sumber-sumber, ia akan diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC).
Difahamkan majlis ini diadakan bersempena 10 tahun penubuhan badan gabungan mahasiswa anak Pahang di institusi pengajian tinggi di seluruh negara, MAMPAN . Ia juga menandakan sedasawarsa hubungan akrab wal mesra pimpinan politik negeri Pahang, YAB Menteri Besar Pahang, Long Nan dengan golongan muda terutamanya mahasiswa.
Selain itu, usaha sedang digerakkan untuk mendapatkan bekas Perdana Menteri, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, negarawan ulung untuk menyampaikan syarahan perdana kepada mahasiswa Pahang dan golongan profesional muda.
Ironinya, program ini akan dapat meneruskan momentum sokongan golongan muda terhadap kepimpinan politik negeri dan negara.

Tuesday, September 15, 2009

Lulusan STAM; Biar sekali merengkuh dayung, dua tiga pulau terlampau..


Lulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kini diterima melanjutkan pengajian di IPTA selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengiktiraf peperiksaan itu setaraf Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengenai hala tuju pengajian aliran agama.
Keputusan ini memberikan kelegaan dan ibarat talian hayat kepada pelajar lepasan sekolah agama yang menduduki STAM, pembelaan yang menjamin masa depan mereka khusus untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Sepertimana yang sedia maklum, sebelum ini pelajar lepasan STAM yang cemerlang (mendapat jayyid jiddan - mumtaz) akan menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar Mesir dan beberapa institusi pengajian yang terkemuka di Timur Tengah. Setidak-tidaknya, keputusan hikmah kerajaan ini mampu mengurangkan proses indoktrinasi pemikiran pelajar lepasan STAM/ sekolah agama agar tidak dipengaruhi pemikiran anti-establishment dan mirip kepada parti pembangkang.
Selain itu, mereka juga boleh memilih bidang pengajian yang tidak bersifat tipikal dengan pemelajaran mereka di sekolah, terutamanya mencari bidang yang lebih bersifat kebolehpasaran (marketability). Sebagai produk sekolah agama, mereka wajar pantas menjadi "visible" di pasaran, sekali merengkuh dayung dua tiga pulau terlampau, sekali membuka pura, dua tiga hutang langsai, berkayuh biar sampai ke hilir. Bukan hanya sekadar 2nd class graduan!

Monday, September 14, 2009

Apa Tampangnya, Itulah Tumbuhnya, Asal Ditugal, Adalah Benih.


Graduan cemerlang Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari keluarga miskin akan dibantu untuk membayar balik sebahagian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka melalui skim dermasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka yang mendapat ijazah kelas pertama dan aktif dalam kegiatan kokurikulum akan dinilai melalui kriteria keluarga berpendapatan rendah dan jumlah adik beradik yang ramai.

''Kita akan membuat perbandingan antara mereka yang cemerlang mengikut garis panduan kemiskinan dalam negara iaitu mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai adik beradik yang ramai.

''Wang biasiswa tersebut akan terus dimasukkan dalam tabung PTPTN bagi membayar balik sebahagian daripada pinjaman yang diperoleh," katanya.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi YTAR berkata, biasiswa YTAR diberikan kepada pelajar cemerlang tahun pertama dalam program ijazah sarjana muda IPTA dan aktif dalam kokurikulum.

''Bagi tahun ini, seramai 17 calon telah layak menerima biasiswa ini daripada 662 permohonan yang memenuhi syarat.

''Amaun biasiswa ini meliputi semua yuran yang dikenakan oleh universiti serta elaun sara hidup sebanyak RM1,000, elaun buku RM500 setiap semester serta penerbangan pergi balik sekali setahun bagi penerima dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pada tahun ini seramai 1,040 pelajar IPTA dan swasta termasuk politeknik dan kolej komuniti dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima bantuan kewangan sebanyak RM300 sebulan.

Mohamed Khaled berkata, seramai 133 pelajar turut diberikan biasiswa pelajar cemerlang pada tahun ini dalam tumpuan untuk mengisi keperluan sumber tenaga akademik di IPTA pada masa hadapan.

Saturday, September 12, 2009

Kempen Ahli Melalui Facebook, Myspace..


Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg menyatakan jumlah mereka yang menggunakan perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian itu meningkat kepada 250 juta orang.

Zuckerberg dalam mesej yang disiarkan dalam blog rasmi Facebook berkata, perkembangan pesat itu membuatkannya terharu dan teruja.

“Bagi kami, peningkatan kepada 250 juta pengguna bukan sahaja sebagai angka yang mengagumkan tetapi juga sebagai ukuran berapa banyaknya hubungan peribadi yang anda telah lakukan,” jelasnya.

Palo Alto, ibu pejabat Facebook di California yang ditubuhkan pada 2004, menjadi perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian yang paling popular mengalahkan MySpace yang dimiliki oleh News Corporation.

Syarikat Internet Rusia menawarkan AS$100 juta (RM358 juta) untuk membeli saham daripada pekerja-pekerja Facebook melalui perjanjian yang akan meningkatkan nilai perkhidmatan rangkaian sosial dalam talian kepada AS$6.5 bilion (RM23.3 bilion).

Syarikat Rusia, Digital Sky Technologies (DST) itu melabur sebanyak AS$200 juta (RM716 juta) ke atas Facebook pada Mei lalu dan menawarkan sebanyak AS$14.77 juta (RM52.8 juta) untuk satu unit saham biasa Facebook.

Zuckerberg yang juga ketua eksekutif Facebook berkata, keputusan untuk menjual saham-saham itu terletak di tangan para pekerja dan tawaran itu dikatakan akan mengiktiraf pertumbuhan Facebook serta menjadikan dunia lebih terbuka dan saling berhubung.

Syarikat gergasi perisian komputer AS, Microsoft telah membeli 1.6 peratus kepentingan dalam Facebook bernilai AS$240 juta (RM859 juta) pada 2007, perjanjian yang meletakkan nilai syarikat itu kepada AS$15 bilion (RM53 bilion). – AFP

Secara realitinya, kumpulan generasi Y yang merangkumi kumpulan anak muda 18 tahun ke bawah, jargon seperti Yahoo Messenger, Blogspot, Twitter, MySpace, Spacebook, PS3 dan XBox barang kali bukan lagi sesuatu yang asing. Tak keterlaluan jika dikatakan, elemen-elemen sebegini bagai 'santapan' harian anak-anak pasca abad ke-21. Daripada penyelidikan dan pemantauan, didapati hampir 90 peratus pelajar memiliki telefon mudah alih sendiri. Rata-ratanya pula cenderung ke arah perisian permainan PSP dan PS3 terkini serta 'ketagihan' aplikasi Web 2.0 seperti Facebook dan Friendster.

Dengan jutaan laman web membanjiri dunia maya, teknologi perlu dipergunakan semaksimum mungkin untuk kebaikan, menggali ilmu dan informasi terkini di serata dunia.

Justeru, GPMS perlu kreatif dan inovatif untuk menarik gen Y melalui medium baru ini, seterusnya merancakkan kempen keahliannya yang dilihat agak suram / kurang sambutan. Berapa status terkini ahli GPMS seluruh negara? 3000? 30 000, @ 300,000?

Iftar Jama'ei GPMS Pahang


JEMPUTAN KE MAJLIS IFTAR JAMA'EI GPMS PAHANG BERSAMA YAB MENTERI BESAR PAHANG, DATO SRI HAJI ADNAN BIN HJ YAAKOB
MASA : 6.30ptg
TARIKH : 15 SEPTEMBER 2009 (SELASA)
TEMPAT : DEWAN KEDIAMAN RASMI MENTERI
BESAR PAHANG


Ramadhan Kareem...kehadiranmu dirai, pemergianmu ditangisi

Friday, September 11, 2009

Madu diSUa, Tuba yang DibALaS!

MELAMPAU! Terpacul kalimah keramat tu dari mulut seorang pemimpin NGO Indonesia di Malaysia.....Gerakan 'Sapu Malaysia' yang dilancarkan sekumpulan ekstremis di Indonesia mula memberi kesan terhadap industri pelancongan apabila banyak tempahan lawatan ke republik itu dibatalkan.




Malah, rakyat Malaysia terutama pelajar di republik itu juga mengakui keadaan di Jakarta masih tidak menentu berikutan isu penggunaan 'Tarian Pendet', sejenis tarian tradisional Kepulauan Bali dalam promosi pelancongan Malaysia.

Di Jakarta, rakyat Malaysia, terutama pelajar terpaksa mengubah penampilan diri supaya tidak menampakkan identiti rakyat negara ini kerana bimbang dicederakan kumpulan anti-Malaysia itu yang terlalu taksub dengan isu 'Tarian Pendet'

Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Kristen Krida Wacana (Ukrida), berkata berikutan kontroversi itu, pelajar perempuan tidak lagi memakai baju kurung dan bertudung ala-Malaysia ketika keluar ke bandar.

"Kami tidak lagi berani berjalan seorang diri untuk ke sesuatu tempat, termasuk pusat beli-belah di bandar. Terasa banyak sangat mata memerhati kami dengan pandangan sinis, seolah-olah tidak berpuas hati. Malah, kami turut dimaki hamun dan dilempar pelbagai kata kesat," katanya ketika dihubungi di Jakarta.

Selasa lalu, Kumpulan Anti-Malaysia (KAM) mengadakan sekatan jalan raya dan membawa buluh runcing untuk mengugut rakyat Malaysia di Jalan Diponegoro, Jakarta.

Penyelaras KAM, Muchtar Bonaventura, dilaporkan berkata tindakan itu sebagai amaran kepada Malaysia supaya tidak memberi layanan buruk kepada rakyat Indonesia atau mendakwa elemen budaya republik itu sebagai miliknya.

Beliau juga merancang untuk meluaskan operasi kumpulan itu dan menjadikan pejabat dan rumah milik rakyat Malaysia sebagai sasaran.

Seorang lagi pelajar Malaysia di Ukrida, Ahmad Akmal, berkata suasana agak tegang berikutan demonstrasi jalanan oleh kumpulan berkenaan yang menyokong kempen 'Sapu Malaysia".

Wednesday, September 9, 2009

Ganyang II? Hentikan konfrantasi, tingkatkan integrasi

Ganyang Malaysia! Pergeseran antara Malaysia dan Indonesia gara-gara isu tarian Pendet yang disiarkan seolah-olah tarian Malaysia dalam sebuah iklan oleh Discovery Channel sampai kemuncaknya apabila Jalur Gemilang dibakar di sebuah universiti terkemuka di Yogyakarta.

Apa pun perdebatan mengenai tarian Pendet atau mana-mana lagi isu berbangkit antara kedua-dua negara ini, yang pastinya ada sedikit ketidaksefahaman yang sudah lama wujud dalam perhubungan dua hala Malaysia-Indonesia – kalau tidak di peringkat Kerajaan pun, tetapi di peringkat warga biasa.

Dengan persamaan tradisi, sejarah, budaya, bahasa, agama dan rumpun bangsa, persefahaman Malaysia-Indonesia yang baik juga boleh menjadi asas kepada ASEAN yang lebih bersatu. Sayugia diingatkan bahawa kedua-dua negara kita kini melangkah masuk ke era globalisasi yang menuntut lebih kerjasama serantau bagi menjana kebaikan bersama, terutamanya dari sudut kemajuan ekonomi. Untuk itu, peranan ASEAN yang lebih mantap amat diperlukan, dan hubungan Malaysia-Indonesia mampu merangka gagasan 1ASEAN menjadi badan serantau yang berdaya saing dan lebih berintegrasi .

Walaupun timbul isu-isu kontroversi kebelakangan ini - baik dari segi isu Tenaga Kerja Indonesia (TKI), pencerobohan Ambalat, terorisme warga Malaysia Nordin Mat Top hatta konflik Manohara mahupun tarian Pendet - hubungan unik ini perlu diberi perhatian sewajarnya agar penularan nasionalisme sempit dan agresif di kalangan rakyat kedua-dua negara dapat dibendung.
Semuanya BERPUNCA akibat satu salah faham mengenai tarian pendet dipaparkan dalam iklan Discovery Channel seakan berasal dari Malaysia, walhal pihak Malaysia tidak terbabit pun dalam penghasilan iklan tersebut.Soal pencurian budaya ini tidak wajar dilemparkan sewenang-wenangnya oleh pihak Indonesia, terutamanya apabila kedua-dua negara berkongsi tamadun dan warisan, serta banyak mempengaruhi antara satu sama lain semenjak berkurun-kurun dahulu. Kita tidak mempersoalkan hakikat tarian Pendet itu berasal dari Bali, tetapi mana mungkin kita dapat melabel sesuatu aspek budaya itu sebagai 100% Indonesia, atau 100% Malaysia, sedangkan perkongsian budaya itu sudah lama berlaku sebelum lahirnya konsep negara-bangsa .

Sesudahnya Kerajaan Malaysia menjelaskan kesilapan yang tidak sengaja atas isu pendet ini demi meredakan keadaan, perasaan marah dan benci dari dalam Indonesia dilihat masih berkobar-kobar. Meskipun Malaysia sanggup berkompromi dengan harapan menutup episod ini, “hackers” Indonesia bertindak menggodam laman-laman web Malaysia pada ulangtahun kemerdekaan ke-52 Malaysia, kutukan dan cacian terhadap Malaysia sebagai ‘ Malingsia @ negara pencuri’ diteruskan di forum dan platform maya, manakala demonstrasi agresif dianjurkan oleh para mahasiswa Indonesia di Kedutaan Malaysia sehinggakan kehadiran pelajar Malaysia di kampus Universitas Gadjah Mada di Yogyakarta pun membawa kepada protes yang sudah berbaur diskriminasi.

Rakyat Indonesia perlu memahami bahawa di Malaysia juga sensitif dan marah apabila melihat dan mendengar negara ini dilabel dengan deskripsi negatif dan kata-kata kesat, disamping bendera kebanggaan Jalur Gemilang dibakar tanpa sedikit pun rasa hormat. Belum diambil kira ugutan buluh runcing di Jl Diponegoro dan dakwaan pemuda kebal berani mati mereka yang bersedia bertempur.

Walaupun hakikatnya tindakan anti-Malaysia melampau yang dilaporkan ini tidak menggambarkan perasaan seluruh warga Indonesia. Namun, jangan kerana sikap dan sentimen sebahagian dari warga Indonesia, orang Malaysia di sini mula menanam benih-benih kebencian terhadap Indonesia sekaligus mengorbankan tradisi hubungan istimewa antara Malaysia dan Indonesia dan merugikan sesama kita. Yang paling nyata, kebergantungan ekonomi melalui peluang pekerjaan dan perniagaan antara Malaysia dan Indonesia masih cukup penting.

Menjadi harapan supaya kedua-dua belah pihak boleh memainkan peranan untuk memastikan kontroversi ini tidak berlanjutan sehingga mendatangkan perkara atau insiden yang lebih buruk. Ayuh mari kita bangkit bersuara untuk menghentikan sengketa ini, demi kebaikan Malaysia, Indonesia, Melayu Raya dan rantau ASEAN amnya.