Monday, September 14, 2009

Apa Tampangnya, Itulah Tumbuhnya, Asal Ditugal, Adalah Benih.


Graduan cemerlang Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari keluarga miskin akan dibantu untuk membayar balik sebahagian pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mereka melalui skim dermasiswa Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, mereka yang mendapat ijazah kelas pertama dan aktif dalam kegiatan kokurikulum akan dinilai melalui kriteria keluarga berpendapatan rendah dan jumlah adik beradik yang ramai.

''Kita akan membuat perbandingan antara mereka yang cemerlang mengikut garis panduan kemiskinan dalam negara iaitu mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai adik beradik yang ramai.

''Wang biasiswa tersebut akan terus dimasukkan dalam tabung PTPTN bagi membayar balik sebahagian daripada pinjaman yang diperoleh," katanya.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi YTAR berkata, biasiswa YTAR diberikan kepada pelajar cemerlang tahun pertama dalam program ijazah sarjana muda IPTA dan aktif dalam kokurikulum.

''Bagi tahun ini, seramai 17 calon telah layak menerima biasiswa ini daripada 662 permohonan yang memenuhi syarat.

''Amaun biasiswa ini meliputi semua yuran yang dikenakan oleh universiti serta elaun sara hidup sebanyak RM1,000, elaun buku RM500 setiap semester serta penerbangan pergi balik sekali setahun bagi penerima dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, pada tahun ini seramai 1,040 pelajar IPTA dan swasta termasuk politeknik dan kolej komuniti dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) menerima bantuan kewangan sebanyak RM300 sebulan.

Mohamed Khaled berkata, seramai 133 pelajar turut diberikan biasiswa pelajar cemerlang pada tahun ini dalam tumpuan untuk mengisi keperluan sumber tenaga akademik di IPTA pada masa hadapan.

1 comment:

YANG GAMBI said...

Salam, itulah yang patut disedari oleh pelajar-pelajar Melayu, mereka tidak seharusnya mudah berselingkuh dengan 'pengkhianat bangsa'.....