Friday, June 12, 2009
Sultan Perak: Jangan pertikai kedaulatan Yang di-Pertuan Agong
Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah bahawa sebarang gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, bukan sahaja telah melanggar peruntukan asas dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.
Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri ini adalah persetujuan yang dicapai secara bersama dalam semangat memberi dan menerima, serta dalam semangat memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.
"Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-raja Melayu," titah baginda pada perasmian Majlis Wacana Ilmu di Institut Tadbiran Islam Perak di Ipoh hari ini. Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, lapor Bernama.
"Pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis iaitu asas-asas yang telah dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka," titah Baginda.
Sultan Azlan bertitah penyimpangan daripada semangat asal yang telah dicapai itu tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.
"Pada masa yang sama, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalahgunakan di peringkat pelaksanaan sehingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas.
"Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum lain yang sah dari segi undang-undang turut dilindungi," titahnya.
Baginda bertitah amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku kerana setiap warganegara yang sah adalah rakyat yang harus diberikan keadilan yang setimpal.
Tafsir berdasar ilmu
Sultan Azlan bertitah manusia biasanya dapat berfikir dengan rasional jika asas pertimbangan sentiasa didasarkan kepada ilmu pada sesuatu peristiwa yang ditafsirkan secara objektif berdasarkan fakta.
Manusia yang mengasaskan tafsiran berdasarkan ilmu dapat memisahkan diri daripada pengaruh sentimen dan emosi yang dapat membezakan tentang apa yang dianggap fakta dengan apa yang diharapkan berlaku, titah baginda.
"Ilmu menjadi bernilai jika yang dipelajari itu dapat diamalkan dalam kehidupan harian. Ujian sebenar terhadap penguasaan ilmu adalah di peringkat aplikasi. Manusia yang berjaya menghayati ilmu akan memperlihatkan penguasaannya terhadap ilmu di peringkat aplikasi," titahnya.
"Lima puluh tahun yang lalu ketika negara masih kurang bilangan cerdik pandai dan profesional, kesopanan dan kesusilaan merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat di negara ini, merupakan komponen yang ditekankan dalam proses pendidikan dan penyampaian ilmu, merupakan elemen penting untuk mewujudkan kestabilan," titah Sultan Azlan Shah.
Baginda bertitah negara telah memiliki bilangan cerdik pandai dan profesional yang jauh lebih ramai namun ia mula memperlihatkan kelunturan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang menjadi prinsip kelima dalam Rukun Negara.
Titahnya aspek kesopanan dan kesusilaan juga bagaikan tidak diutamakan lagi walaupun institusi ilmu tumbuh bercambah pada hari ini.
"Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian, atau kemungkinan berlakunya satu keadaan tidak seimbang di antara pendekatan menyampai dan menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing hingga teralpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan," titahnya.
Sultan Azlan bertitah ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat.
"Semoga komponen kesopanan dan kesusilaan diberikan perhatian penting dan dianyam dengan bijak oleh setiap insan dan setiap institusi yang terlibat dengan aktiviti keilmuan," titah baginda.
(Pihak mempertikaikan kedaulatan dan peranan raja-raja Melayu tentunya inginkan negara ini menjadi republik, spt mana yang berlaku di Nepal, justeru sebagai rakyat kita wajar mempertahankan kedudukan istimewa dan maruah institusi kesultanan Melayu sebagai benteng terakhir kuasa Melayu!)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
1st : GPMS tak layan membicarakan tentang ketuanan Raja2 Melayu sebab Presiden MAMAK BENDAHARA dan Si Kitul durjana!
2nd: Dah sepenggal, apa yang GPMS Pusat dan GPMS Pahang buat, cube senaraikan...setakat program sama, PAS dan PKR/DAP jauh lebih hebat!
3rd: Di mana sumber kewangan GPMS kalau bukan daripada MB Pahang bagi GPMs Pahang, manakala UMNO taja untuk GPMS Pusat sebab Presidennya KETUA PENERANGAN PEMUDA UMNO MALAYSIA. Mana idealisme neutral membela pelajar Melayu??
Kita akan bertemu lagi....
Salam AntiGPMS,
Ternyata tuan/puan masih terlalu memtah pengetahuan ttg GPMS dan saf kepimpinannya, baik Pusat mahupun Negeri Pahang pelbagai program telah dilaksanakan untuk pendidikan pelajar Melayu - sila rujuk laman web gpms.org.my.
Mengenai sumber kewangan, kalau tuan/puan berhasrat untuk mendapatkan sumber kewngan drpd MB Pahang, tiada masalah sebab MB Pahang untuk org Pahang tentunya beliau memberikan sumbangan peruntukan untuk GPMS Pahang dalam jumlah yang berpatutan dan bersesuaian, manakala GPMS Pusat menerima peruntukan drpd Kementerian Belia dan Sukan, krn GPMS is not a political party.
Post a Comment