Saturday, November 14, 2009

Pemimpin muda teraju GPMS


KUANTAN – Barisan kepimpinan bawah usia 40 tahun menerajui Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang bagi sesi 2009 hingga 2012 selepas berlangsungnya Mesyuarat Agung dan Pemilihan 8 November lalu.(Klik)

Pengerusinya, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, penetapan peringkat umur berdasarkan kehendak Pendaftar Belia (ROY) mengikut Akta Pertubuhan Belia.

Menurutnya, secara automatik jawatan Yang Dipertua dan jawatankuasanya di 19 cawangan GPMS seluruh negeri mengalami proses perubahan yang akan digantikan dengan penyandang baru berusia bawah 40 tahun.

“Dalam masa sama, setiap program pada masa hadapan akan dilaksanakan dan diuruskan kepimpinan baru. Setiap jawatan dalam GPMS di peringkat cawangan atau negeri adalah berumur bawah 40 tahun.

“Semua ini bagi mengikut kehendak ROY yang mahu GPMS diterajui generasi muda yang mempunyai pelbagai idea dan kreativiti bagi meneruskan kesinambungan GPMS yang ditubuhkan sejak 61 tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau yang dilantik Presiden GPMS, Datuk Seri Rizal Merican Naina Merican menggantikan Mustapa Long berkata, fokus utama untuk menyusun semula struktur GPMS Pahang selain memperkasa Pusat Bimbingannya di Inderapura.

Selain itu, GPMS juga menyasarkan 3,000 ahli baru pada peringkat permulaan bagi menggantikan ahli lama yang berusia lebih 40 tahun dibantu jawatankuasa baru.:

“Pusat bimbingan GPMS di Inderapura menjalankan pelbagai program seperti motivasi, latihan, bimbingan, kelas tuisyen dan kemahiran belajar. Jadi kita akan mantap perkara ini menerusi jawatankuasa baru.

“Saya bersama jawatankuasa yang dilantik mempunyai perancangan untuk menjenamakan dan meremajakan GPMS Pahang bersesuaian dengan moto ‘responsif terhadap isu, inklusif untuk semua’,” katanya.

Dalam masa sama, GPMS juga akan membantu mengurangkan kadar buta huruf dalam kalangan masyarakat luar bandar dan meningkatkan kesedaran kepentingan 2M (menulis dan membaca).

Justeru, sokongan Kerajaan Negeri dan agensi kerajaan seperti Jabatan Pelajaran dan Yayasan Pahang amat diperlukan untuk memantapkan perancangan pertubuhan itu.

“Saya ingin meminta kepada golongan profesional muda supaya sertai gabungan ini kerana ia sedang berusaha untuk wujudkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang dapat menjaga kepentingan pelajar Melayu,” katanya.

2 comments:

Cucu Amin Baki said...

Tahniah, akhirnya GPMS kembali ke tangan pendidik! Moga KATA DIKOTA...

Anonymous said...

Memang itu hasrat kita. Namun gabungan pelbagai displin amat perlu untuk keutuhan organisasi. Tahniah kpd kepimpinan lama kerana telah berjaya mengatur tokoh2 muda yang berwibawa menduduki barisan kepimpinan baru. Kita faham kepimpinan lama tak byk pilihan dlm menentukan barisan kepimpinannya tapi bila masuk akta belia ia dapat disusun semula dgn meletakkan barisan yang benar2 berkualiti, harapnya gitulah.