Thursday, November 12, 2009

Khaled Bentang Lapan Agenda Pembangunan KPT Untuk RMK-10


Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membentangkan lapan agenda utama yang akan membawa perubahan besar kepada lanskap pendidikan tinggi negara untuk dirangka dan dilaksanakan oleh pihak kementerian dan agensi-agensi di bawahnya dalam Rancangan Malaysia Ke-10 yang akan bermula tahun hadapan.

Dengan tema “Menjamin Masa Depan Malaysia” atau “Securing Malaysia’s Future”, beliau mahu pihak kementerian mengurangkan penumpuan kepada pembangunan fizikal tetapi sebaliknya menumpukan peruntukkan yang besar ke atas pembangunan program dan juga penyelidikan.

Hanya dengan cara ini katanya, institusi pengajian tinggi negara - sama ada awam mahu pun swasta dapat melonjakkan Malaysia ke peta dunia.

Peruntukkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) berjumlah RM18 bilion.

Berucap di hadapan semua naib canselor, pegawai-pegawai tinggi kementerian, ketua pegawai eksekutif agensi dan juga politeknik serta kolej komuniti dalam Bengkel RMK-10 KPT di Nilai Spring Resort dekat sini, Mohamed Khaled menyenaraikan lapan agenda KPT seperti berikut;

Agenda 1: Menonjolkan Potensi Setiap Rakyat Malaysia melalui penglebaran akses kepada pendidikan tinggi dengan peranan yang lebih besar diberikan kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)

Agenda 2: Pelaburan Dalam Sains & Teknologi di mana dana penyelidikan untuk universiti ditambah secara siknifikan dalam RMK-10 malah bagi setiap projek yang berjaya mendapat geran penyelidikan dari industri akan dipertimbang untuk diberikan ‘matching grant’ oleh kerajaan.

Agenda 3: Menjadikan Malaysia Sebagai Pusat Perkembangan Pengetahuan & Inovasi iaitu dengan meneroka pasaran-pasaran baru dan mencari pelajar terbaik luar negara untuk datang belajar ke Malaysia.

Agenda 4: Institusi Penyelidikan & Autonomi, iaitu masanya telah tiba untuk kita menjadikan pusat perubatan dan penyelidikan institusi pengajian tinggi kita sebagai entiti bebas tetapi bersekutu dengan universiti masing-masing sepertimana John Hopkins Medical Centre dan Standford.

Agenda 5: Memperkasa Ijazah Kedoktoran & Pasca Doktoral, iaitu dengan menambah dana latihan di bawah RMK-10 bukan sekadar untuk membiayai kakitangan akademik belajar di luar negara tetapi juga menggalakkan mereka meneruskan pengajian dalam negara secara agresif.

Agenda 6: Mewujudkan Konsortium Bersepadu Projek Penyelidikan Berimpak Tinggi. Sebagai permulaan pihak KPT akan mengenalpasti enam (6) konsortium projek penyelidikan berdasarkan enam kluster penyelidikan dan mengajukan permohonan kepada kerajaan sebagai sebahagian daripada inisiatif KPT dalam RMK-10.

Agenda 7: Generasi Muda Malaysia Yang Dinamik dan Progresif iaitu mengesyorkan KPT untuk memulakan langkah awal dengan memperuntukkan dana untuk menonjolkan kreativiti, bakat dan potensi pelajar Malaysia yang muncul dengan idea besar dan berani.

Agenda 8: Universiti & Model Alternatif Kewangan. KPT mesti serius dalam memastikan IPTA dapat dan boleh menguruskan kewangannya secara mandiri sepertimana di United Kingdom yang mana hampir kesemua universiti dimiliki oleh kerajaan tetapi pada masa yang sama bebas merencanakan pengurusan masing-masing.

Dalam ucapannya itu juga, tidak kurang daripada empat kali Khaled menekankan betapa di bawah RMK-10, soal pembangunan fizikal seperti pembinaan kampus baru,bangunan baru, prasarana atau membina kampus yang lebih besar tidak harus menjadi keutamaan universiti.

Sebaliknya kata beliau, institusi pengajian tinggi harus memberi fokus yang lebih besar dan serius kepada pembangunan intelektual kerana ia mampu melonjak nama Malaysia di peta dunia.

Ada universiti yang sudahpun berura-ura untuk memohon peruntukkan pembangunan fizikal sehingga mencecah RM4 bilion yang mana permohonan seperti ini bukan sebahagian daripada fokus baru KPT di bawah RMK-10.

“Apa yang telah saya syorkan ini tidak akan terhenti setakat ini sahaja. Apa yang cuba saya nyatakan kepada semua staf kementerian dan universiti ialah RMK-10bukanlah sekadar soal pembangunan fizikal semata-mata tetapi juga pembangunan intelektual...di situlah sebahagian besar pelaburan kita perlu pergi pada masa hadapan,” katanya kepada para pemberita selepas itu.

No comments: