Friday, December 18, 2009

Program Modal Insan Menerusi ECER


KUANTAN – Program pembangunan modal insan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama berjumlah RM7 bilion yang diumumkan kerajaan bagi keseluruhan ECER.
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, program kerjaya ECER melibatkan tiga program utama iaitu program penempatan graduan, program penempatan pekerja dan program latihan kemahiran. Menurutnya, pada akhir tempoh latihan itu yang dijangka berlangsung selama satu hingga lapan bulan, Majlis Pembangunan ECER menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada peserta yang dilatih akan layak ditempatkan dengan syarikat-syarikat terlibat. “Bagi peringkat negeri Pahang, seramai 610 peserta sudah pun berdaftar untuk mengikuti pelbagai latihan kemahiran.
“Antaranya termasuk dalam bidang-bidang berteknologi tinggi seperti teknologi ICT dan optik fiber, teknologi pemasangan robotik dan automation, kursus-kursus premusaji dan kulinari, program-program pembangunan pengurusan seperti program pembangunan pengurusan penyeliaan serta sistem pengkomputeran,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis pelancaran Program Kerjaya ECER Peringkat Negeri di Pejabat ECER Pahang, di sini semalam. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John.

Beliau berkata, sepanjang tempoh sembilan bulan pertama, peserta akan diberi pendedahan kepada latihan di tempat kerja serta turut menerima gaji minimum sebanyak RM1,200 sebulan oleh Majlis Pembangunan ECER serta syarikat-syarikat yang terlibat, selain berpeluang untuk diserapkan sebagai pekerja tetap pada akhir tempoh dua tahun.

Menurutnya, bagi program penempatan pekerja, Majlis Pembangunan ECER akan membantu syarikat-syarikat yang beroperasi di negeri ini untuk mencari pekerja tetap dan sambilan dalam kalangan pekerja yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi baru-baru ini. “Pihak Majlis Pembangunan ECER mensasarkan untuk menempatkan lebih 360 pekerja di lebih 50 syarikat terpilih di serata negeri ini. “Selain itu, Majlis Pembangunan ECER juga mengendalikan program latihan kemahiran untuk penganggur, graduan serta pelajar lepasan sekolah sejak Ogos tahun ini melibatkan lebih 2,000 peserta,” katanya. Adnan berkata, pelaksanaan program pembangunan modal insan olah Majlis Pembangunan ECER itu sememangnya bertepatan pada masanya serta selari dengan pembangunan pesat ekonomi negeri ini.
Menurutnya, daripada Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Majlis Pembangunan ECER, terdapat beberapa projek berimpak tinggi yang sedang dijalankan, termasuk projek pembangunan bersepadu Bandar Pelabuhan Kuantan serta penaiktarafan Pelabuhan Kuantan untuk menjadi pintu masuk bagi perdagangan antara Malaysia dan negara-negara di rantau Asia Pasifik.

Saya yakin program kerjaya yang julung kali dilancarkan di negeri ini bukan sahaja akan meningkatkan pembangunan modal insan di negeri ini, bahkan akan membantu syarikat-syarikat di Pahang untuk mendapatkan pekerja-pekerja mahir dan separuh mahir yang berkelayakan,” katanya.
Katanya, program kerjaya itu juga dilihat mampu membantu memastikan tenaga kerja tempatan akan sentiasa dilengkapi kemahiran terbaik dan sepadan dengan kemahiran yang diperlukan oleh pihak industri, selain membantu mengurangkan penghijrahan tenaga kerja ke luar ECER dan mendorong anak watan Pahang yang terlatih dan mahir untuk kembali berkhidmat di negeri ini.

(GPMS Pahang berhasrat untuk mewujudkan one-stop centre dan pusat kordinasi graduan dgn ECER dan terbaru kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja sedang dirangka untuk memastikan perencanaan membantu graduan menganggur dapat dilaksanakan selaras dengan credos GPMS - Responsif Terhadap Isu...}

1 comment:

Penanam Anggur.com said...

Good job, keep it up...we'll watch it out!