Friday, December 18, 2009

Belia Mesti Berani Berubah! - ADNAN


BENTONG – Generasi muda perlu berani berubah seiring dengan perkembangan semasa supaya mampu bersaing dan mencapai kejayaan cemerlang pada masa hadapan. Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub berkata, generasi muda dilihat mampu menjana pembangunan negara menerusi sumbangan idea dan pandangan yang disalurkan.
Menurutnya, mereka ini seharusnya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran termasuk penguasaan dalam bahasa selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
“Walaupun ada kalanya wujud kekangan dan keupayaan terhad untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang terutamanya melibatkan masalah kemiskinan keluarga ia tidak sepatutnya dijalankan penghalang. “Jalan perlu dicari untuk keluar dari kepompong kehidupan sedemikian dan cara yang paling baik ialah menerusi pendidikan berterusan,” katanya.
Adnan berkata, bagi mereka yang kurang berminat meneruskan pelajaran atau tidak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan boleh beralih kepada bidang kemahiran.
Menurutnya, menerusi bidang kemahiran juga seseorang itu mampu berjaya kerana tenaga kerja dalam bidang ini sentiasa diperlukan dan peluang luas terbuka terutama bagi mereka yang ingin menjalankan perniagaan.
“Sikap belia itu sendiri perlu berubah memandangkan banyak kemudahan tersedia untuk mereka dalam semua bidang termasuk sukan dan pendidikan. “Apa yang perlu ada dalam diri mereka ialah sentiasa berusaha dan tidak bersikap malas kerana sesuatu kejayaan itu tidak datang sekelip mata,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menjelaskan satu pertemuan akan diadakan bersama belia yang gemar aktiviti bermotosikal atau ‘mat rempit’ pada tarikh yang bakal ditetapkan kelak bagi memberikan suntikan motivasi dan membincangkan permasalahan yang wujud serta cara mengatasinya.

No comments: