Saturday, February 6, 2010

Belasungkawa Dato Abdullah Majid, antara Pengasas GPMS.


Bekas Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Manusia, Datuk Abdullah Majid, 83, meninggal dunia di kediamannya di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini kira-kira jam 5 pagi semalam (3 Februari) selepas menderita hampir 20 tahun kerana menghidap angin ahmar.

Abdullah yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dipercayai meninggal dunia ketika dalam tidur.

Jenazah Allahyarham dibawa dari kediamannya untuk diuruskan dan disembahyangkan di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya kira-kira jam 10.30 pagi.
Anak Allahyarham, Rozihan, 43, berkata jenazah ayahnya akan dibawa ke kampung kelahirannya, Kampung Durian Sebatang, dekat Dong, Raub, Pahang untuk dikebumikan selepas solat Zuhur.

Rozihan berkata, kematian ayahnya disedari pembantu rumah ketika datang menjalankan pemeriksaan terhadap ayahnya kira-kira jam 5 pagi semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Hamidah Hussain, 63, dan dua anak, Rozihan dan Rozana, 45.

Turut hadir menziarah dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham adalah bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times Press Bhd (NSTP), Datuk Abdul Kadir Jasin dan Tan Sri Abdullah Ahmad, bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Rejal Arbee dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said

Allahyarham pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1976 ketika negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn selama empat tahun kerana dipercayai terbabit dengan elemen subversif komunis.

Ketika masih menjadi mahasiswa di Universiti Malaya Singapura pada 1952, Abdullah aktif terbabit dalam pelbagai persatuan dan cukup dikenali termasuk antara penggerak utama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Penubuhan GPMS digerakkan oleh lima orang mahasiswa dari Kolej Raffles dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura (kolej ini kemudiannya menjadi Universiti Malaya, Singapura selepas bergabung dengan Kolej Raffles). Mereka yang bertanggungjawab mengadakan konvensyen dan menubuhkan Jawatankuasa Sementara GPMS dibarisi oleh Aminuddin Baki (Presiden GPMS 1950-1951 dan 1952-1953), Datuk Paduka Prof. Abdul Wahab Mohamed Ariff (Presiden GPMS 1948-1949), Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Bertanding mewakili Barisan Nasional untuk kerusi Parlimen Raub pada Pilihan Raya Umum Keempat, pada 1974 Abdullah menang dengan majoriti sebanyak 5,040 undi mengalahkan calon DAP, Yusof Bador.

Kemenangannya membolehkan beliau diberi kepercayaan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk menganggotai barisan Kabinet dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Manusia pada 1974-hingga 1976.

Al-fatihah...Moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya..

2 comments:

Anonymous said...

Perancangan DAP disebalik pembelaan Anwar oleh Karpal Singh ?

ISAC said...

Alfatihah....


Mohon Tuan publish kan blog kawan; http://bumiyang.blogspot.com di blog tuan