Saturday, February 6, 2010

Abadikan nama Ghazali Shafie di sekolah Pahang


TEMERLOH 1 Feb. - Kementerian Pelajaran disaran supaya mengabadikan nama Allahyarham Tun Mohd. Ghazali Shafie untuk mana-mana sekolah kebangsaan atau menengah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, langkah itu dapat mengenang jasa tokoh tersebut sebagai pejuang kemerdekaan selain peranannya dalam proses pembangunan negara selepas merdeka.

"Jasa Tun Mohd. Ghazali cukup besar dan tidak ternilai, jadi apa salahnya jika kerajaan mengabadikan nama beliau pada sekolah di negeri ini terutama di daerah Lipis.

"Kalau boleh namanya diabadikan di sekolah di mana tempat Allahyarham belajar sama ada di peringkat rendah atau menengah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan bekas-bekas tentera di Taman Sri Layang/Rimba Mentakab dekat sini .

Pada majlis itu, beliau menyampaikan sumbangan kepada anak-anak bekas tentera yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Sementara itu, beliau turut meminta Kementerian Pelajaran menilai semula beberapa sekolah di Pahang untuk disenaraikan dalam 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang diumumkan baru-baru ini.

Katanya, penilaian itu penting memandangkan tiada satu pun sekolah di Pahang tersenarai dalam 20 SBT.

20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin , dalam usaha mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik ke taraf dunia.

1. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor.

2. Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor.

3. Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.

4. Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.

5. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.

6. SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

7. Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.

8. Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan.

9. Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.

10. SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah.

11. SMK (P) St. George, Pulau Pinang.

12. Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Perlis.

13. Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.

14. SMS Muzaffar Syah, Melaka.

15. Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.

16. SK Zainab (2), Kota Bharu, Kelantan.

17. SK Taman Tun Dr. Ismail 1, Kuala Lumpur.

18. SK Convent Kota, Taiping, Perak.

19. SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

20. SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru, Johor.

(GPMS Pahang menyokong supaya nama arwah Tun Ghazali diabadikan selaras dengan sumbangan dan jasanya yang tidak ternilai, dan akan menghantar satu memorandum ke Kementerian Pelajaran dalam tempoh terdekat supaya mengambilkira sekolah di negeri Pahang untuk disenaraikan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi)

No comments: