Wednesday, January 13, 2010
Idea Parlimen Mahasiswa: IPT perlu cungkil bakat kepimpinan, ketengah idea
KUANTAN - Penubuhan Parlimen Mahasiswa di setiap institusi pengajian tinggi (IPT) boleh menjadi saluran terbaik kepada mahasiswa untuk menonjolkan diri dalam masyarakat.
Ia secara tidak langsung merupakan pendekatan terbaru yang mewujudkan ruang kepada mahasiswa menyuarakan pendapat mereka.
Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Negeri Pahang, Wan Emril Wan Embong berkata, mahasiswa perlu diberikan pendedahan yang realistik dan praktikal untuk mengenali sistem kepimpinan Parlimen.
Menurutnya, bakat kepimpinan mahasiswa dapat dicungkil sejak awal sekiranya Parlimen Mahasiswa diwujudkan, ia akan menjadi medan mengetengahkan idea dan membahaskan cadangan demi kebaikan semua.
“Dalam usaha melahirkan generasi pemimpin pelapis, alternatif mewujudkan Parlimen Mahasiswa adalah langkah proaktif yang wajar diteliti dan mendapat sokongan.
“Bagaimanapun, Kementerian Pengajian Tinggi perlu meletakkan garis panduan kepada mahasiswa agar tidak melampaui batas dan masih berada di bawah kawalan pensyarah, selain tidak menyalahi peraturan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku),” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Wan Emril berkata, melalui Parlimen Mahasiswa itu, mahasiswa hanya dibenarkan membahaskan isu berkaitan kebajikan dan perkembangan akademik dan tidak sesekali menyentuh isu politik.
“Mereka perlu berdebat secara intelektual dan masih mematuhi peraturan ditetapkan malah harus dibimbing agar mampu menunjukkan daya kepimpinan sebenar.
“Melihat situasi semasa, mahasiswa kini sudah bijak dan mereka tidak boleh dikawal kerana hakikatnya mereka mempunyai peranan tersendiri dalam ruang lingkup dalam masa sama masih berlandaskan kepada budaya akademik,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang, Zul Fadzli Shamsudin berkata, mahasiswa perlu mendapat peluang untuk menunjukkan bakat kepimpinan dan melibatkan diri dalam komuniti.
“Pendedahan perlu diberikan dalam aspek penglibatan dan peranan mereka dalam menegakkan pendirian di samping memperjuangkan kepentingan pelajar lain menerusi isu yang diketengahkan.
“Namun, mereka perlu ingat agar tidak melanggar garis panduan ditetapkan kerana mereka dianggap masyarakat sebagai golongan intelektual yang bijak membezakan baik dan buruk,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment