Monday, October 26, 2009

Bajet 2010 responsif kepada suara mahasiswa



Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin merupakan bajet responsif kepada suara mahasiswa kerana sebahagian besar peruntukan adalah bagi perkara-perkara yang asalnya disuarakan oleh golongan itu.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara tersebut disuarakan kepada kerajaan melalui beberapa saluran seperti Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Saifuddin, ia juga disuarakan secara langsung dalam pertemuan antara golongan mahasiswa dengan Perdana Menteri.

Beliau berkata, melalui MPPK yang dianggotai oleh semua perwakilan pelajar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), mahasiswa telah menyuarakan perkara-perkara yang menyentuh kehidupan mereka dan juga masalah negara.

Kita minta mahasiswa memanfaatkan peruntukan tersebut sebaik-baiknya. Pada masa sama kita minta mereka terus bersuara menggunakan landasan sedia ada,” katanya.

Dalam Bajet 2010, Perdana Menteri antara lain mengumumkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukar kepada biasiswa bagi pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama.

Petikan Bajet 2010 yang menyentuh tentang kebajikan pelajar;

"Menjaga Kebajikan Golongan Pelajar Selain itu sebagai galakan, kerajaan berhasrat memberi ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan. Untuk ini, kerajaan akan:

Pertama
: Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik atau crème de la crème berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia;

Kedua:
Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula 2010;

Ketiga:
Kerajaan prihatin terhadap kebajikan golongan pelajar terutama mereka yang datang daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah. Untuk itu kita akan memberi diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar. Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma boleh diperoleh dari KTMB.
Diskaun tambang ini bermula 1 Januari 2010; dan
Keempat
: Menawarkan pakej netbook, termasuk perkhidmatan broadband percuma, kepada pelajar universiti dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun. Pakej ini adalah jauh lebih murah daripada harga semasa di pasaran dengan prioriti diberikan kepada pelajar tahun pertama dan dari keluarga berpendapatan rendah. Sebagai permulaan, pakej ini akan ditawar oleh Telekom Malaysia kepada 100,000 pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari 2010."

(MABRUK!!..Pihak GPMS Pahang ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Dato Saifudin Abdullah, Timb Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ahli Parlimen Temerloh di atas pengurniaan darjah kebesaran DSAP sempena Hari Keputeraan Sultan Pahang, dan memanjangkan perutusan tahniah kepada Setiausaha Sulit Perdana Menteri Kekanda Ybhg Dato Poad Jelani (bekas Ketua Penerangan GPMS Kebangsaan) yang menerima darjah DIMP.)

1 comment:

Solidariti Mahasiswa Malaysia said...

Goodies to trap mahasiswa? No way dude!!