Friday, July 2, 2010

ARTIKEL PILIHAN: Akademia pentas akliah, wadah kepemimpinan


MULAI minggu lalu, puluhan ribu mahasiswa baru mendaftar di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dalam pelbagai jurusan ilmu. Dijangkakan 77,500 mahasiswa akan memulakan pengajian sesi akademik 2010/11 di universiti awam, 23,000 di politeknik dan 8,650 di kolej komuniti. Sebahagian lagi di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan universiti luar negara.

Menurut perancangan, pada sesi akademik ini keseluruhan enrolmen mahasiswa di IPTA dan IPTS dijangka melebihi 500,000 peringkat sarjana muda. Jumlah ini ditokok lebih 66,000 peringkat sarjana dan hampir 25,000 peringkat kedoktoran. Peningkatan ini ketara berbanding enrolmen 2006, iaitu kira-kira 350,000 (sarjana muda), 36,800 (sarjana) dan 9,600 (kedoktoran).

Pada kesempatan ini saya mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya mengikuti pengajian dan hidup baru kepada semua mahasiswa baru. Kesempatan ini perlu digunakan sebaiknya kerana hidup berbekalkan ilmu adalah lebih bermakna kepada diri sendiri, keluarga dan negara. Hal ini selari dengan inisiatif Kerajaan Malaysia untuk memajukan ekonomi berasaskan inovasi dan kreativiti.

Seperti biasa, kemasukan mahasiswa ke IPT tempatan disongsong pelbagai isu. Ada isu agak bersifat negatif seperti pengangguran siswazah, penawaran kursus pengajian tidak seperti dipohon, skim biasiswa dan tabung pinjaman serta reputasi IPT tempatan, khususnya IPTS. Isu ini saban tahun diperkatakan. Kita berharap tidak memberi kesan negatif kepada motivasi dan aspirasi mahasiswa baru.

Pada hemat saya, isu ini juga perlu difahami mahasiswa baru dan ibu bapa dalam konteks semasa dengan menyedari bahawa peranan universiti sebagai institusi pengajian tinggi dan pembudayaan ilmu yang mungkin tidak lagi bersifat ‘menara gading’.

Barangkali tidak salah dirumuskan bahawa ketika ini peranan universiti, termasuk di kebanyakan negara maju, telah mengecil kepada proses pengijazahan dan penyelidikan. Universiti juga mungkin tidak lagi sinonim dengan budaya menara gading. Hal sedemikian kerana ketika ini hampir semua universiti lebih menumpu kepada perkembangan program akademik relevan dengan situasi semasa, terutama permintaan pasaran kerja.

Tumpuan ini telah ‘menyedut’ hampir seluruh kapasiti dan sumber universiti dari segi modal insan, pentadbiran, pengiktirafan, kualiti dan pemasaran. Kadangkala, dapat dirasakan betapa menjadi staf akademik tidak lagi memerlukan kemantapan intelektual dan kesegaran idealisme terhadap akademia. Lebih diperlukan ialah pengetahuan khusus pada peringkat PhD dalam bidang tertentu, kecekapan mengurus, kebijaksanaan mengelola dan sikap positif terhadap kerjaya.
Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kreatif dan inovatif, serta pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi dan persekitaran mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting. Bahkan personaliti sedemikian semakin pupus di kampus. Jarang kedengaran diskusi ilmiah mengenai isu pokok membabitkan perkembangan semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains atau teknologi. Kalau pun ada, tidak begitu mendapat sambutan. Itupun dengan segala perkiraannya supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif, bukan saja di kalangan mahasiswa, malah staf akademik.

Dengan fokus universiti ialah proses pengijazahan maka hampir semua program kampus berorientasi pengijazahan, termasuk bersukan dan berpersatuan di mana mahasiswa mendapat kredit tertentu. Kalau dilihat secara negatif, maka ketara betapa nilai kesukarelaan yang selama ini menjadi salah satu asas penting pembangunan minda kelas pertama semakin terhakis. Begitu juga dengan kesediaan dan ‘kerakusan intelektual’ dalam konteks untuk menambah ilmu dalam bidang tidak berkaitan dengan program pengijazahan juga kian pudar.

Secara idealnya, proses pembinaan budaya ilmu tidak perlu terikat kepada keperluan dan syarat pengijazahan semata-mata. Ini perlu difahami dalam konteks luas dan semasa di mana ilmu pengetahuan dan pelbagai perkembangan lain berlaku dengan pantas bersifat global dan lintas disiplin ilmu. Seorang profesor atau mahasiswa kejuruteraan misalnya, perlu pendedahan sedikit sebanyak terhadap perkembangan penting dalam bidang lain, seperti ekonomi, politik, sosial, agama, bioteknologi, ICT dan pertanian.

Saya tidak pesimis dengan persekitaran intelektual di IPT tempatan. Persekitaran sedemikian barangkali memang dirancang untuk maksud tertentu. Namun, persekitaran dan perkembangan yang berlaku tidak selari inisiatif kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membina ekonomi berteraskan inovasi dan kreativiti. Persekitaran sedemikian juga tidak membantu Malaysia menjadi pusat kecemerlangan pengajian tinggi di rantau ini.

Dalam keadaan universiti memberi fokus kepada permintaan pasaran kerja dan tidak begitu peka terhadap pembangunan intelektualisme, IPT tempatan masih dikatakan tidak mampu melahirkan siswazah memenuhi keperluan pasaran kerja, terutama dari segi pembangunan insaniah.

Inilah realiti menanti mahasiswa baru. Persoalannya apakah mahasiswa baru mampu membantu menyegarkan iklim intelektualisme di kampus tempatan? Apakah proses pengijazahan dapat dijalani tanpa menyerahkan seluruh kudrat dan harakat mahasiswa baru untuk menyemarakkan nilai kesukarelaan, kemahiran insaniah dan minda inovatif?

Penulis ialah Prof Dato Dr Zaini Ujang, Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)


No comments: