SEKALI lagi, cadangan untuk memperkemaskan sistem pendidikan negara diuar-uarkan oleh kerajaan. Kali ini, ia melibatkan pemansuhan dua peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). UPSR adalah peperiksaan awam di peringkat sekolah rendah. Ia dahulunya dikenali Ujian Penilaian Darjah Lima. PMR pula menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP), khusus untuk pelajar tingkatan tiga.
Persoalannya, adakah relevan kedua-dua peperiksaan awam itu di negara kita hari ini? Apakah benar sistem pelajaran kita terlalu berorientasikan peperiksaan? Bukankah peperiksaan itu dijadikan kayu pengukur untuk menilai sejauh mana kemampuan, keberkesanan dan tahap seseorang pelajar itu.
Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran memaklumkan bahawa kerajaan akan mengkaji dahulu sebelum mengambil langkah untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan awam itu.
Pelbagai pihak turut memberikan pandangan dan pendapat. Ada yang menyokong dan ada yang menyanggah. Tetapi rata-rata pendapat dan pandangan yang diberi mempunyai asas dan alasan yang kukuh.
Ada yang berpendapat UPSR perlu dikekalkan sebagai satu-satunya peperiksaan awam di peringkat sekolah rendah. Ini kerana setelah enam tahun berada di bangku sekolah, pastinya ibu bapa hendak menilai kemampuan anak-anak mereka.
Adakah setakat tahu membaca, menulis dan mengira. Sejauh mana penguasaan tatabahasa serta nahu bagi Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Sebijak mana mereka berjaya menyelesaikan permasalahan matematik yang kadang-kadang turut gagal diselesaikan oleh ibu bapa masa kini. Adakalanya, anak-anak pula yang memberi tunjuk ajar kepada ibu bapa mereka kerana ada ibu bapa berkata "Dulu mak tak belajar macam ni."
Selain itu, UPSR boleh digunakan untuk menentukan kecenderungan anak-anak bagi memilih bidang mereka di peringkat sekolah rendah. Mereka mungkin berminat dengan sains, maka pilihannya tentulah ke sekolah-sekolah yang berteraskan sains. Ada yang aktif bersukan, sudah tentu sekolah sukan menjadi pilihan.
Kini, kita juga mempunyai sekolah seni yang mengkhususkan pembelajaran dalam bidang seni. Maka anak-anak yang cenderung dan minat dalam bidang berasaskan seni, mereka akan memilih untuk memasuki sekolah seni.
Begitu juga dengan sekolah agama. Mereka yang lebih mahir dalam mata pelajaran agama terutama yang mendapat pendidikan agama di sekolah rendah agama, pastinya ingin menyambung pelajaran di sekolah menengah agama.
Persaingan yang sihat turut berlaku dalam kalangan pelajar. Mereka berlumba-lumba untuk membuktikan pada diri sendiri, rakan-rakan, guru-guru dan keluarga bahawa mereka mampu mencapai keputusan cemerlang.
Tidak dinafikan jadual pembelajaran murid sekolah rendah masa kini agak padat berbanding zaman 1970-an dan 1980-an. Bagi yang bersekolah kebangsaan sesi pagi, mereka akan meneruskan sesi petang di sekolah rendah agama. Itu belum diselitkan dengan kelas tambahan di sekolah dan tuisyen.
Kadangkala terdengar juga rungutan pelajar, ibu bapa dan guru tentang anak-anak yang tidak cukup rehat, sering keletihan dan mengantuk di dalam kelas gara-gara jadual belajar yang padat sehingga ke malam.
Tetapi percayalah, pelajar yang berkualiti adalah pelajar yang berjaya mengimbangi segala aktiviti sama ada akademik dan kokurikulum. Pembahagian masa dan jadual yang teratur mampu membentuk sahsiah peribadi pelajar. Biar mereka merasai susah pada hari ini, kerana esok lusa mungkin kesenangan menanti.
Tidak dinafikan bukan semua pelajar dilahirkan sempurna dan dikurniakan otak yang bijak. Mungkin bagi mereka yang 'sedang-sedang' sahaja dalam pelajaran, menganggap peperiksaan itu adalah satu bebanan. Apatah lagi faktor-faktor persekitaran langsung tidak membina semangat mereka untuk belajar dengan lebih tekun.
Menyentuh PMR pula, ada baiknya jika ia dimansuhkan kerana di peringkat sekolah menengah, kita telah ada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai pengukur tahap akademik pelajar. Lagi pun, PMR hanya untuk menentukan aliran pelajar.
Jika PMR dimansuhkan, maka tumpuan untuk membina sahsiah diri pelajar dapat diberikan dengan sepenuhnya oleh guru kerana di peringkat sekolah menengah, pelajar akan melalui fasa peralihan usia dan pemikiran.
Perbanyakkan aktiviti yang membina jati diri, keberanian dan keyakinan kepada pelajar. Untuk menentukan aliran, adakan ujian kemahiran di peringkat sekolah dan dinilai oleh guru. Pembahagian markah boleh diambil kira dengan tugasan sewaktu pengajaran dan pembelajaran (P&P). Dengan kata lain, guru-guru perlu memantau dan memberi markah kepada pelajar mereka sendiri.
Kaedah penilaian yang tidak terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata mampu meningkatkan keupayaan pelajar, termasuk mengukur tahap pencapaian dan prestasi mereka melalui tugasan luar, kemahiran insaniah , ujian keupayaan dan pelbagai metod yang berkesan.
No comments:
Post a Comment