KUANTAN 29 Mei - Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Suhaimi Ibrahim dipilih sebagai Tokoh Jasa Belia pada sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Pahang di Kompleks Belia dan Sukan, di sini hari ini.
Dengan penganugerahan itu, bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) itu menerima hadiah wang tunai RM3,000 beserta plak dan sijil penghargaan.
Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang turut menyampaikan enam lagi anugerah yang dipertandingkan.
Persatuan Belia Felda Chini 3, Pekan dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Pertubuhan Belia negeri manakala bagi kategori Keusahawanan diterima oleh Jamaluddin Abd. Rahim dari syarikat pengiklanan, Fine Art Advertising Sdn. Bhd. di Bera.
Pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP), Norashikin Mat Zain pula menerima anugerah bagi kategori Kemahiran dan Inovasi.
Pengerusi GPMS Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong pula dipilih sebagai penerima Anugerah Kepimpinan manakala Pengerusi Kelab Belia Bell Kuantan, Thiagaselan Muniam memenangi kategori Kesukarelaan.
Usahawan tani, Mohd. Azizi Abdul dari Syarikat Penternakan Ayam Kemayan Sdn. Bhd. memenangi kategori Wira Tani.
Suhaimi, 50, ketika ditemui berkata, rajin menuntut ilmu, berdisiplin dan sentiasa memberi komitmen yang tinggi kepada setiap perkara yang dilakukan adalah asas untuk berjaya di samping mempunyai keinginan untuk membantu masyarakat.
Menurutnya, ilmu pengetahuan yang tinggi sangat penting dalam menjadikan seseorang belia dihormati masyarakat.
"Saya telah berkecimpung secara aktif dalam aktiviti belia sejak berumur 16 tahun dan sehingga sekarang masih lagi berminat membuat kerja-kerja sukarela," katanya.
Suhaimi yang juga salah seorang penerima Anugerah Tokoh Belia Peringkat Kebangsaan baru-baru ini berkata, golongan belia wajar diberi peluang untuk mengemukakan sebarang pendapat atau cadangan.
"Seperti kita tahu belia masa kini terdedah kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ia juga memberi kesan yang besar ke atas penyebaran ilmu dan maklumat terkini.
"Justeru, belia seharusnya kreatif dan berinovasi untuk membaiki taraf hidup dengan membangunkan ekonomi termasuk melalui ICT dan jangan sesekali menyalahgunakan sumber itu," katanya.
No comments:
Post a Comment