(Disiarkan di dalam akhbar Sinar Harian Pahang, 8 April 2010(Khamis)
KUANTAN – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang menolak tanggapan bahawa keahliannya adalah eksklusif untuk golongan terpelajar sahaja sebaliknya menegaskan ia adalah terbuka untuk semua golongan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, stigma masyarakat bahawa GPMS adalah untuk orang terpelajar sahaja perlu dihapuskan kerana GPMS memperjuangkan hak untuk semua golongan, tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja.
Menurutnya, tanggapan seperti itu perlu dikikis kerana ia akan mengekang niat mereka yang berminat untuk sama-sama menyertai GPMS dalam memperjuangkan nasib bangsa dan pelajar Melayu
“Walaupun ada cawangan GPMS di sesetengah institusi pendidikan tinggi (IPT) menetapkan agar pucuk pimpinannya diterajui mereka yang memperoleh gred CGPA 3.0 ke atas, saya melihat langkah ini sebagai cara untuk menjaga kualiti kepimpinan.
“Namun itu tidak bermakna kita mengenakan syarat tahap pelajaran untuk dilantik sebagai pemimpin kerana apa yang penting ialah semangat untuk membela nasib pelajar Melayu,” katanya.
Kenyataan itu diberikan sebagai jawapan ke atas pertanyaan seorang pelajar IPT dalam sesi dialog yang mengemukakan isu tanggapan masyarakat bahawa GPMS adalah eksklusif untuk golongan berpendidikan sahaja.
Sesi dialog bersama kepimpinan GPMS itu adalah salah satu aktiviti dalam program Bina Insan anjuran GPMS untuk pelajar beberapa IPT negeri ini yang dijalankan di Kem Bina Negara, Felda Bukit Sagu.
Antara isu lain yang dikemukakan ialah kaedah yang digunakan GPMS untuk menarik minat lebih ramai golongan muda sebagai ahli terutamanya bagi belia yang tidak melanjutkan pelajaran di IPT.
Jais berkata, pihaknya akan memperkasakan cawangan yang ditubuhkan kerana mereka tidak mahu ada pihak yang akan terlepas dari mengikuti isu perjuangan GPMS dan sebagainya.
“Ahli cawangan ini akan menyebarkan isu yang diperjuangkan GPMS kepada saudara mara dan juga rakan-rakan agar mereka dapat menghayatinya bersama-sama.
”Selain itu, kita akan menganjurkan program kepimpinan lebih kerap di cawangan untuk memperkasa organisasi dan penjanaan pelbagai sumber yang diperlukan GPMS untuk mencapai matlamat,” katanya.
No comments:
Post a Comment