Monday, June 8, 2009

Tun M setuju syor bahasa Inggeris wajib lulus dalam SPM


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju dengan cadangan Kementerian Pelajaran untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Katanya, cadangan itu boleh memberi nilai tambah kepada masa depan pelajar terbabit khususnya untuk bersaing dalam dunia pekerjaan dalam era globalisasi. Bagaimanapun, beliau berharap kementerian terbabit akan mendapatkan pandangan daripada orang ramai khususnya ibu bapa terlebih dahulu sebelum melaksanakannya kerana ia menyentuh masa depan anak-anak mereka.

Sebenarnya keputusan sama ada cadangan itu boleh dilaksanakan atau tidak bergantung kepada ibu bapa dan bukannya kerajaan kerana ia membabitkan masa depan anak-anak mereka. "Lagipun dengan menguasai pelbagai bahasa khususnya bahasa Inggeris ia memudahkan mereka untuk menyambung pelajaran di luar negara dan memperolehi pekerjaan yang baik," katanya kepada media selepas menerima anugerah Doktor Kehormat Kemanusiaan daripada Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing (LUCT) di sini, hari ini. Beliau mengulas cadangan Kementerian Pelajaran semalam yang mahu menjadikan bahasa Inggeris mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaaan SPM.
Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyuarakan cadangan itu dilaporkan bersedia mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak sebelum ia dilaksanakan. Mengenai kemungkinan kerajaan tidak melaksanakan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Dr Mahathir berkata: "Saya berasa amat sedih (jika PPSMI tidak dilaksanakan) kerana ia menyebabkan rakyat Malaysia dan orang Melayu menjadi `bodoh' pada masa akan datang," katanya.

1 comment:

Anti Bahasa Melayu said...

Satu lagi eksperimen nak menjahanamkan pelajar Melayu? Gamaknya ramai la x dpt sjil SPm!