Monday, December 21, 2009

JTK pantau laman web Portal Job Malaysia


KUANTAN (klik) - Jabatan Tenaga Kerja Pahang (JTK) akan memantau laman web Portal Job Malaysia dalam usaha mengenal pasti majikan menawarkan jawatan kosong melalui portal berkenaan kepada graduan.

Pengarahnya, Sazali Keteh berkata, kebanyakan graduan hanya memohon jawatan yang ditawarkan tanpa membuat tindakan susulan selepas membuat permohonan. Menurutnya, sikap tunggu dan lihat dalam kalangan graduan merugikan mereka kerana peluang sedia ada tidak digunakan dengan bijak.

Proses mencari kerja bukan bergantung kepada satu cara sahaja tetapi graduan harus bijak meneroka peluang itu melalui pelbagai tawaran disediakan. “JTK akan ambil inisiatif memantau dan mengenal pasti majikan menawarkan jawatan kosong, selain melihat kelayakan ditetapkan. “Dengan kata lain, JTK akan menjadi orang tengah menghubungkan graduan menganggur kepada majikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Persediaan Temu Duga dan Menguruskan Kerjaya di Kolej Islam Pahang Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam. Program itu adalah anjuran JTK dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang. :Hadir sama Presiden GPMS Pahang, Wan Emril Wan Embong dan Pegawai Khas Menteri Besar, Mustafa Long.

Dalam perkembangan lain, Sazali berkata, JTK giat turun padang ke Felda bagi mendekati golongan muda melalui Program Hari Penempatan Pekerjaan. Katanya, program berkenaan sebahagian daripada usaha JTK menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi kedua Felda.

Majikan pelbagai bidang menyertai program berkenaan dan banyak peluang kerja boleh diterokai golongan muda yang menganggur. “Mereka perlu ambil perhatian khusus terhadap tiga aspek yang dinilai iaitu kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan penampilan sewaktu hadir temu duga,” katanya.

Bagaimanapun, Sazali berkata, graduan kini sudah mempunyai kesedaran terhadap aspek berkenaan malah melihat perubahan demi perubahan dalam setiap sesi temu duga yang dijalankan. Katanya, sepanjang bulan ini, JTK sudah menjelajah beberapa Felda di negeri ini, antaranya Felda Selendang, Rompin, Felda Sungai Koyan, Lipis, Felda Lepar Hilir, Kuantan, Felda Jengka 15, Maran dan Felda Mempaga, Bentong.

No comments: